Betapa kerdil rasanya diri ini apabila saya berkesempatan hadir di sambutan Jubli Perak ‘kepimpinan ulamak’ Pas pada minggu lepas. Programnya sarat dengan pelbagai pembentangan terutamanya tentang pengkisahan serta mengenangkan pengurbanan besar ulamak-ulamak silam Pas. Nama-nama seperti Ustaz Abu Bakar Baqir yang menubuhkan Hizbul Muslimin membawa kepada Tuan Guru Haji Ahmad Fuad, Dr. Burhanuddin Al-Hilmy, Haji Yusuf Rawa serta Datuk Fadzil Mohd Nor mengingatkan kita tentang pengorbanan besar yang telah mereka lakukan untuk perjuangan ini.
Namun bagi saya di antara nama-nama agong ulamak di dalam sejarah perjuangan Pas ini, nama Datuk Fadzil Nor yang paling dekat dengan denyutan perjuangan yang saya sendiri lalui. Kehebatan kepimpinan beliau sentiasa segar dalam minda setiap pimpinan dan ahli Pas kerana ketokohan yang ada padanya. Beliau juga telah berjaya menyediakan tapak perjuangan bagi Pas untuk berada di persada dakwah dan politik di tanahair kita.
Bagi saya, al-Marhum adalah seorang peribadi pemimpin ulamak yang menguasai konteks, realiti dan cabaran pentas perjuangannya. Ini adalah intisari kekuatan fikrah al-Marhum sebagai seorang ulamak yang sekaligus mempamerkan penguasaan kepemimpinannya. Beliau juga amat teliti menyorot setiap tindak rencana politiknya dalam menangani pergolakan politik dan persimpangan getir bagi menjamin kesinambungan perjuangan parti.
Seluruh tenaga kepimpinan Pas berjaya beliau gabungkan dengan mantap walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan displin ilmu. Malah pada tahun 1997 sewaktu saya masih lagi menjadi pensyarah di Universiti Malaya saya sendiri pernah diberi amanah besar oleh al-Marhum untuk menubuhkan serta memimpin Pusat Kajian Pas (PPP). Saya merasa bertuah mengenali dengan dekat peribadi al-Marhum sebagai seorang ulamak agong pada fasa kemuncak perjuangannya.
Malahan ‘Haibah’ atau kehebatan penguasaan fikrah al-Marhum serta kepemimpinannya amat terserlah ketika negara diancam krisis politik yang tercetus akibat pemecatan dan tangkapan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim. Begitu juga diwaktu negara dilanda kegawatan ekonomi dan krisis matawang pada tahun 1997.
Di waktu krisis kepimpinan negara yang memuncak inilah kepimpinan Al-marhum terserlah dengan hebat sekali. Al-Marhum dengan penuh keyakinan ‘ijtihad’ sebagai seorang pemimpin agong telah melebarkan lembayung kepimpinannya secara praktik. Beliau berjaya menaungi seluruh kepentingan negara dan umat dengan penuh kesabaran walaupun mendapat tentangan dari dalam parti pada tahap awalnya.
Begitu juga di tengah-tengah kegawatan ekonomi negara beliau sendiri telah mengambil inisiatif bersama-sama dengan beberapa pakar ekonomi yang menyokong Pas telah menggerakkan satu jawatankuasa khas bagi menyiapkan ‘Memorandum Penyelesaian Kemelut Ekonomi Negara’ yang bernas dengan saranan dan cadangan serta disampaikan terus kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.
Sejarah mencatat secara abadi bagaimana dibawah kepimpinan al-Marhum mencetuskan telah Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menangani kemelut politik negara. Teringat saya di waktu itu bersama saudara Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Dr. Hatta Ramli dan rakan-rakan lain telah berjaya menggerakkan seluruh parti-parti pembangkang serta NGO seperti ABIM, JIM, PUM, PKPIM, MAUFAKAT serta kalangan masyarakat Cina dan India. Bagaikan suatu mimpi besar apabila berbekalkan waktu kurang dua puluh empat jam kami telah menempa sejarah apabila berjaya menghimpunkan massa lebih dari 100,000 orang untuk berkumpul di Taman Melewar bagi membantah kepimpinan Dr. Mahathir yang rakus dengan kuasa dan bersifat ‘kuku besi’.
Natijahnya amat jelas apabila berlaku perubahan besar dalam politik negara. Pas mengambil dimensi gabungan politik pembangkang atas wadah Barisan Alternatif atau BA. Hasilnya sehingga kini, betapa kebijaksanaan tindakan al-marhum telah merubah landskap politik negara. Malah ia telah mematangkan lagi dan mengangkat keberanian rakyat untuk menentang setiap kezaliman. Bagi saya penubuhan GERAK ini cukup istimewa pada kepemimpinan politik al-Marhum.
Saya masih ingat bagaimana al-Marhum menekankan kepentingan untuk ‘bersikap terbuka’ dalam menghormati rakan-rakan dari pelbagai latarbelakang serta pertubuhan Islam lain seperti PUM, ABIM dan JIM. Tidak ada sedikitpun sikap prajudis serta keraguan beliau apabila menerima ahli-ahli dari pelbagai latarbelakang ini. Malah beliau sendiri mengambil inisiatif bagi menonjolkan beberapa pimpinan pertubuhan ini untuk bertanding atas tikat Pas pada pilihanraya 1999 dan seterusnya memegang beberapa jawatan penting dalam Pas. Tidak pernah saya mendengar ungkapan ‘musuh dalam selimut’ dari al-marhum, malah beliau mengungguli ciri kepimpinan yang sentiasa ‘berjiwa besar’ dan tidak mudah melatah.
Sukar untuk saya rumuskan. Yang nyata al marhum sebagai seorang ulamak agong tidak pernah bersifat ‘jumud’ menilai serta menafsir setiap isu yang di hadapi oleh Pas. Malah di bawah kepimpinan beliau ‘pintu ijtihad’ di buka luas dengan mengambil pendekatan politik yang ternyata membuahkan hasil bagi Pas. Al Marhum juga tidak pernah kedekut untuk berkongsi pengalaman dengan ramai kalangan golongan intelek berpendidikan barat dan sentiasa berusaha keras menggabungkan kekuatan kepimpinan Pas dari pelbagai latar belakang pendidikan serta displin ilmu sesuai dengan Pas sebagai parti dan gerakan Islam terbesar di Malaysia.
Bagi saya al-Marhum adalah sosok peribadi ulamak-profesional yang telah berjaya meletakkan Pas di persada politik negara. Al-marhum berkawan dan kenal rapat dengan siapa sahaja, dari kepimpinan tertinggi Pas kepada setiap ahli bawahan Pas tanpa sebarang tembok pemisah. Saya yakin tidak ada ahli Pas bahkan rakyat awam yang boleh 'mentajrih'nya atau mencari keburukannya cara al-Marhum melayani atau bermuamalat dengan mereka. Lazimnya, akan ada saja ingatan manis untuk dikongsi bersama tentang keistimewaan peribadi al-Marhum. Beliau bukan sahaja sebagai seorang ulamak tetapi adalah seorang 'negarawan' yang sentiasa mendepani isu kepentingan negara dan masyarakat dengan penuh prihatin.
Ya, inilah juga ‘permata berharga kepimpinan ulamak’ yang kini ada pada kedua-dua pimpinan tertinggi Pas. Murshid Am Pas, Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat terkenal sebagai ulamak yang memimpin bukan sahaja di geruni tapi di segani oleh kawan dan lawan kerana ketegasan serta sifat zuhud dan rendah diri yang sentiasa ada pada beliau. Begitu juga dengan Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga amat di segani oleh kawan dan lawan kerana kehebatan ilmu serta peribadi yang ada pada beliau. Malah gabungan kemantapan kedua-dua pimpinan agong ini telah berjaya meletakkan Pas sebagai ‘kerajaan-menanti’ (government in-waiting) di persada politik nasional.
Apa yang pasti kemantapan kepimpinan kedua-dua ulamak besar ini bersama gabungan pimpinan dari pelbagai displin ilmu dan pengalaman, Pas kini berada ditahap yang amat membanggakan. Ia terus mendapat kepercayaan serta sokongan dan dokongan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari kalangan masyarakat Cina dan India. Ya, jangan ada lagi keraguan ‘ulamak-profesional dan professional-ulamak’ di dalam menerajui saf kepimpinan Pas kerana inilah rahsia kekuatan yang ada pada Pas selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan