Isnin, 20 April 2009

KEMELUT KEPIMPINAN TERENGGANU – KEMBALIKAN MANDAT KEPADA RAKYAT

KEMELUT KEPIMPINAN TERENGGANU – KEMBALIKAN MANDAT KEPADA RAKYAT
– Oleh Dr. Syed Azman Syed Ahmad – AJK Pas Pusat & ADUN Batu Buruk
Kemelut kepimpinan politik Terengganu mencapai kemuncaknya apabila buat kali pertama dalam sejarah negeri ‘Penyu bertelur’ itu sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak ‘secara berani’ memulaukan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Pemulauan ini dilihat oleh ramai kalangan sebagai mengenakan ‘tekanan’ dan ‘perang psykologi’ bagi memaksa Menteri Besar Trengganu Datuk Ahmad Said meletakkan jawatan seberapa segera.
Ahmad Said yang dilantik mengetuai kerajaan negeri dalam suasana penuh ‘drama dan kontroversi’ pada Mac 2008 kini berhadapa dengan ‘krisis keyakinan’ yang amat parah. Beliau dilihat telah hilang kepercayaan dari kalangan majoriti Adun UMNO serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Lebih parah lagi di bawah kepimpinan beliau di lihat bagaikan ‘memikul biawah hidup’ dan berhadapan dengan kepimpinan kerajaan negeri yang diibaratkan ‘bagaikan duri dalam daging’.
Mereka yang bertindak tidak hadir hari ini ialah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Wan Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).
Tindakan mereka pada umumnya dilihat mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh Adun Permaisuri, Paka dan Ajil berhubung kemelut politik dalaman negeri. Isu itu dipercayai berlaku selepas Menteri Besar membuat kenyataan untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat mana-mana Adun BN sekiranya mereka membentangkan usul undi tidak percaya terhadap beliau.
Namun di sebalik isu ‘SMS ugutan’ tersebut, dikalangan pimpinan UMNO dan pegawai-pegawai kerajaan mereka melihat isu ‘kegagalan’ Ahmad Said menerajui kepimpinan kerajaan negeri dengan baik sebagai punca utama. Beliau di lihat telah hilang kepercayaan kebanyakan ahli-ahli UMNO sendiri, pegawai-pegawai kerajaan serta rakyat jelata. Antara ‘isu panas’ yang kini menjadi perbualan hangat ramai kaalangan pimpinan UMNO sendiri di bawah pentadbiran beliau adalah;
1. Melantik mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengetuai beberapa agensi kerajaan negeri, termasuk Terengganu Inc.
2. Memecat pegawai dan tokoh politik dalam era pentadbiran Datuk Idris Jusuh termasuklah ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Terengganu (TDI) Dr Azmi Omar, dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan negeri Terengganu Inc. Datuk Seri Azlan Hashim dan Tan Sri Razali Ismail dengan alasan berlakunya penyelewengan dan salahguna kuasa.
3. Tidak melantik Adun sebagai pengarah penyelaras Dun dan semua peruntukan di salurkan melalui penyelaras yang dilantik atau Ketua bahagian yang dilihat menyokong Ahmad Said.
4. Jawatan senator diberi kepada ketua-ketua Wanita Umno yang menjadi kroni tetapi tidak mempunyai wibawa langsung serta tidak lagi mampu menyumbang kepada pembanguunan negeri.
5. Memecat Pengarah eksekutif Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, pengurus besar Kemaman Supply Base (KSB), dan pengurus besar Konsortium Pelabuhan Kemaman tanpa alasan yang kukuh serta mengheret kes ini ke mahkamah.
6. Membahagi-bahagikan ribuan ekar kawasan pembalakan kepada kroni tanpa pemberian tender yang telus
7. Menangguhkan banyak mesyuarat exco dan mengenepikan pandangan kebanyakan exco yang di lantik
8.Melantik dua bekas guru sekolah rendah untuk memimpin Unit Terengganu Bestari (U-Best) dan KMC yang dianggap "tidak tepat" dan boleh menjejaskan reputasi kerajaan negeri
9.Membuat pertukaran besar-besaran serta menurunkan pangkat 67 orang para pegawai tadbir kerajaan negeri pada Disember 2008.
Namun apa jua hujah dan alasan yang di berikan di atas, tindakan kesemua adun-adun UMNO yang memboikot sidang Dun telah menjejas serta mencemar kesucian Dewan undangan Negeri, Dari kacamata rakyat umum di Terengganyu, ianya juga telah menjejaskan kedudukan serta reputasi UMNO sebagai tonggak kerajaan negeri Darul Iman. Kredibiliti serta keyakina terhadap kepimpinan Ahmad Said sebagai menteri Besar juga dilihat terjejas teruk di kalangan rakyat jelata.
Begitu juga di sepanjang sidang Dun pada kali ini. Ianya agak tidak konstruktif dan boleh menjejaskan kredibiliti Dun;

i. Ucapan menyokong menjunjung kasih terhadap yang Teramat Mulia Tengku Sri Panglima Raja hanya di sertai oleh seorang Adun Umno dan dilihat berucap dengan begitu hambar. Sebaliknya kesemua lapan Adun dari Pas telah mengambil bahagian berucap dengan bernas tanpa sebarang gangguan.

ii. Hampir tiada satu pun soalan lisan dan bertulis yang di kemukakan oleh adun-adun UMNO/BN sedangkan kelapan-lapan Adun Pas mengemukan soalan penuh sepanjang sidang.

iii. Jawapan-jawapan lisan yang di kemukakan oleh adun-adun Pas dijawab oleh sebahagian exco kerajaan negeri bagaikan ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja

Trend politik ‘perebutan kuasa’ dan ‘perpecahan dalaman UMNO’ yang sedang berlaku ini amat merugikan rakyat Terengganu. Rakyat Terengganu seolah-oleh telah di heret bersama didalam kancah yang tidak berkesudahan ini. Bagi saya, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said tidak mempunyai pilihan kecuali melaksanakan tiga langkah berikut;
a. Terus memimpin kerajaan negeri dan bersedia menghadapi apa jua kemelut yang akan di hadapi beliau serta tekanan dari Adun-Adun Umno sendiri termasuk kemungkinan usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

b. Meletakkan jawatan seberapa segera dan diganti oleh mana-mana Adun lain yang mendapat sokongan dan mandat majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

c. membubarkan Dewan Undangan Negeri Terengganu seberapa segera bagi mengembalikan mandat kepada rakyat Terengganu membuat pilihan untuk menentukan siapa yang paling layak menerajui tapuk pimpinan negeri

Namun bagi saya, langkah ketiga adalah jalan penyelesaian terbaik bagi merungkai kekusutan kemelut politik Terengganu. Ahmad said sebagai Menteri Besar harus ‘berjiwa besar’ dengan mengambil tindakan pro-aktif bagi membubarkan DUN seberapa segera sebelum berlaku krisis yang lebih kronik yang melibatkan perlembagaan sebagaimana yang dihadapi oleh negeri Perak.
Saya yakin Ahmad Said akan dipuji dan dikenang oleh rakyat Terengganu sekiranya beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dengan membubarkan DUN dan mengembalikan mandat kepada rakyat menentukan kepimpinan serta halatuju negeri Terengganu Darul Iman ini. Sekiranya Ahmad Said berjiwa besar untuk melakukan sedemikian, penyu di Terengganu tidak akan menangis lagi…