Isnin, 20 Julai 2009

PERTEMUAN MENTERI PERTAHANAN MALAYSIA - ISRAEL DI PARIS? APA ‘AGENDA TERSIRAT’?

Adalah amat ‘pelik dan memalukan’ apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terpaksa ‘menafikan’ laporan awal yang di keluarkan oleh saluran berita resmi kerajaan Malaysia, Bernama bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa Pertunjukkan Udara Paris di Perancis pada Jun lepas. Sebaliknya menurut kenyataan. terbaru yang dikeluarkan pegawai khasnya, Halim Majid, Ahmad Zahid hanya menemui Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak semasa majlis koktel di pertunjukan udara tersebut.

Namun isu pokok disini bukanlah samada bertemu dengan batang tubuh Netanyahu atau Ehud Barak? Kedua-dua mereka adalah pemimpin kanan negara Zionis Israel dan terlibat secara aktif dalam kancah kepimpinan Zionis yang merampas tanahair serta membunuh penduduk Palestin yang tidak berdosa. Persoalan besar yang timbul sekarang adalah apakah motif sebenar pertemuan kedua-dua Menteri Pertahanan tersebut di kota Paris? Apakah sekadar ‘secara kebetulan’ untuk minum petang atau berkenalan semata-mata? Dan apakah pula implikasinya kepada dasar luar kerajaan Malaysia terhadap negara Zionis Israel? Begitu juga dengan pendirian rakyat serta umat Islam Malaysia terhadap pertemuan ‘sulit’ tersebut?

Malah lebih ‘pelik’ dan ‘dangkal’ lagi Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa pertemuan tersebut bukan atas permintaannya tetapi diminta sendiri oleh pemimpin Israel itu dan beliau adalah satu-satunya Menteri Pertahanan yang ditemui Ehud Barak. Alasan Ahmad Zahid menerima ‘jemputan pertemuan’ itu adalah untuk menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia berhubung isu di Asia Barat kepada Menteri Pertahanan Zionis Israel tersebut.

Persoalannya apakah begitu mudah seorang yang bertaraf Menteri Kanan kerajaan Malaysia boleh bersetuju untuk bertemu dengan seorang pimpinan kanan Zionis Israel walaupun bukan atas permintaan beliau tanpa melihat implikasi dan kesan keatas pertemuan yang di anggap ‘tidak diatur’ tersebut?. Di manakah Ahmad Zahid Hamidi mahu meletakkan ‘dasar luar’ yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia selama ini yang sehingga kini ‘mengharamkan’ setiap warga yang memiliki paspot Malaysia dari memasuki negara haram Israel? Begitu juga dengan ketegasan pengharaman warga Israel dari memasuki negara Malaysia.

Malah Zahid dilapurkan berkata bahawa; "Saya mengenakan syarat kepada beliau (Ehud Barak) sekiranya mahu bertemu dengan saya, iaitu tiada pegawai pengiring daripada pihak Israel, tiada jurugambar dan tiada "double standard", dan beliau akur,".
Bagi saya daya pemikiran daan bacaan politik Ahmad Zahid Hamidi adalah amat dangkal. Implikasi dari pertemuan tersebut bukanlah dengan “tiada pegawai pengiring daripada pihak Israel, tiada jurugambar dan tiada "double standard", tetapi beliau telah meletakkan ‘dasar luar’ Malaysia terhadap negara Zionis Israel itu semakin kabur dan bercelaru. Sedarkah Ahmad Zahid Hamidi bahawa samada beliau bertemu dengan Netanyahu atau Ehud Barak kedua-duanya adalah anggota ‘terroris Zionis’ yang terlibat secara langsung melakukan pelbagai bentuk ‘pencabulan hak asasi manusia’ dan kezaliman terhadap penduduk awan Palestin.

Bagi saya, Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang Menteri Pertahanan seharusnya menjawab persoalan ini;

Pertama kewujudan negara Zionis Israel adalah hasil dari kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan sejak berpuluh-puluh tahun dengan merampas bumi dan hak umat Islam Palestin. Rakyat Palestin telah menjadi mangsa lebih dari setengah abad dimana tanahair mereka dirompak, mereka dihalau daripada rumah kediaman dan tempat kediaman mereka diroboh, kebun-kebun buah Zaitun dan Tin yang merupakan sumber kehidupan mereka juga di bakar dan dimusnahkan. Di atas tanah rampasan inilah pula dibina tempat kediaman pendatang Zionis Yahudi, di mana rakyat Palestin pula dipaksa terus menjadi pelarian tanpa negara.

Kedua, negara Zionis Israel tidak pernah mengenal erti ‘keadilan dan hak asasi manusia’ apabila mereka terus menerus membunuh dan memenjarakan ribuan penduduk Palestin termasuk menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen Palestin. Lebih angkuh lagi sehingga kini mereka terus mengepung bumi Gaza yang berkependudukan sejumlah 1.5 juta orang tanpa sebarang perikemanusiaan. Mereka bertindak memutuskan bekalan letrik dan air serta menyekat sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan dari sampai kepada penduduk yang tidak berdosa.

Ketiga negara Zionis ini juga tidak pernah menghormati sebarang keputusan serta resolusi yang di keluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak mereka menghenti membina penempatan haram di tanah-tanah rampasan serta menyerahkannya kembali kepada penduduk Palestin di Tebing Barat. Malah negara Zionis ini sentiasa mendapat dokongan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuasai oleh Kuasa Besar Dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain yang menjadi anggota tetap yang mempunyai ‘Kuasa Veto’ bagi melindungi setiap kekejaman Zionis Israel. Tambahan pula boleh dikatakan semua badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), dan negara-negara Kuasa Besar G8 membisu seribu bahasa terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Zionis Israel ini.

Keempat di manakah pula pendirian Ahmad Zahid Hamidi terhadap pencerobohan berterusan yang di lakukan oleh Zionis Israel terhadap Qiblat pertama umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa? Apakah pembebasan Masjid Al-Aqsa kekal menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa bagi kerajaan Malaysia atau sudah sampai masanya kerajaan Malaysia mengambil pendirian untuk membuka jalan ‘hubungan diplomatik’ serta ‘mengiktiraf’ kewujudan negara Zionis ini?

Bagi saya, apakah Ahmad Zahid Hamidi tidak malu dengan tindakan protes terhadap kebiadapan Zionis Israel yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki Rejab Tayyeb Erdogan di Persidangan Davos dan Presiden Iran Mahmood Ahmadinejad di Geneva? Apakah Ahmad Zahid tidak merasa malu dengan contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin negara-negara kecil di Amerika Latin seperti Presiden Chavez di Venezuela dan Moralis di Bolivia yang sanggup secara terbuka menghalau duta Israel serta memutuskan hubungan diplomatik bagi menunjukkan rasa simpati kepada rakyat Palastin?

Pokoknya negara Zionis Israel ini telah berpuluh-puluh tahun mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta melakukan jenayah perang yang besar terhadap penduduk awam Palestin. Pertemuan Ahmad Zahid dengan Ehud Barak seharusnya menjadi pengajaran kepada kepimpinan negara bahawa sebahagian besar dari pemimpin dunia Islam termasuk Malaysia sendiri masih di kongkong dengan tekanan dan hegemoni Zionis di negara umat Islam sendiri?

Bagi saya, dasar Luar PAS terhadap negara Zionis Israel ini adalah jelas. PAS sentiasa berdiri teguh dan memberi sokongan padu terhadap intifadah yang di terajui oleh Harakah Muqawammah (Hamas) di bumi Palestin. PAS juga sentiasa mengutuk sikap ‘double standard’ Kuasa Barat khususnya Amerikat Syarikat dan Britain yang secara membabi buta mempertahankan segala tindakan zalim dan tidak bertamaddun negara Zionis ini kononnya atas dasar ‘memerangi keganasan’. Bagi PAS, keamanan dan perdamaian di rantau Asia Barat hanya akan wujud apabila dunia mengembalikan hak serta maruah penduduk Palestin yang di halau dari bumi tanah tumpah darah mereka sejak berpuluh-puluh tahun. Isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa akan tetap kekal menjadi agenda terpenting PAS di peringkat antarabangsa.

Ahad, 5 Julai 2009

IRAN – KEMENANGAN DEMOKRASI AHMADINEJAD DI CEMBURUI BARAT

Dengan terpilihnya Mahmoud Ahmadinejad menjadi Presiden Iran bagi penggal kedua telah membuktikan kepada dunia antarabangsa bahawa mereka amat demokratik dan lebih terbuka dari kebanyakan negara yang menjadi sekutu rapat Barat samada di rantau Teluk dan Timur Tengah. Ia juga menjadi contoh yang terbaik bagi menjadi simbol kemenangan demokrasi di sebuah negara Islam yang mengamalkan ketelusan ‘suara rakyat’. Apa tidaknya, Iran sebagai sebuah negara yang sering ditohmoh sebagai sebuah negara di bawah pemerintahan Mullah ‘berkuku besi’ dan tidak menjamin hak asasi rakyat.

Masyarakat dunia terpukau apabila pemerintah Mullah ini telah membenarkan diadakan debat terbuka di antara calon-calon Presiden dan disiarkan secara langsung di radio dan TV Iran. Dbegitu juga dengan rapat umum serta kempen pilihanraya yang dibenarkan diadakan tanpa sebarang halangan. Malahan media massa termasuk media Barat seperti CNN,BBC dan Al Jazeere telah diberikan kebebasan untuk membuat liputan serta pemberitaan sepanjang kempen berjalan.

Kemenangan Presiden Ahmadinejad dalam Pilihanraya presiden amat mengkagumkan. Beliau telah dengan mendapat 63.3% (24.5 juta undi) berbanding dengan pencabar terdekat Hossein Mousavi yang mendapat 34.2% (13.2 juta undi). Ramai melihat Ahmadinejad menang hasil dari dukungan kuat pengundi-pengundi kelas bawahan yang terdiri dari warga miskin serta kalangan ulamak yang berpengaruh di Iran.

Pemilihan presiden yang berjalan cukup lancar dan aman ini menjadi simbol kemenangan demokrasi di negeri Islam tersebut. Namun kemenangan besar Ahmadinejad ini amat dicemburui oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis serta sekutu Baratnya. Media Barat cuba menggambarkan kepada dunia bahawa Hossein Mousavi sebagai tokoh reformis yang mendapat sokongan majoriti rakyat Iran dan ‘pasti akan menang’. Dia dikatakan menjanjikan keterbukaan hubungan dengan Barat dan akan mengembalikan Iran kepada zaman gemilangnya seperti mana di zaman Shah. Begitu juga dengan kerjasama politik-ekonomi dengan Barat yang di lihat akan memajukan lagi ekonomi Iran. Amerika Syarikat sendiri berkerja keras bagi memastikan ‘kemenangan Mousavi’ dan mewarwar beliau sebagai seorang ‘reformis’ yang amat toleransi terhadap Barat.

Namun sebaik sahaja kemenangan Ahmadinejad di umumkan secara resmi, media Barat dengan propaganda secara agresif terus menyerang Iran dan cuba menggambarkan bahawa pilihanraya kali ini adalah ‘tidak adil’. ‘berat sebelah’ dan wujudnya penipuan besar-besaran oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Iran. Serangan ‘perang saraf’ terus dilancarkan dengan menggunakan media massa utama seperti The New York Times, Washington Post, CNN dan BBC yang memberi liputan 24 jam secara berterusan terhadap bantahan dijalan-jalanraya oleh ‘ratusan ribu pengundi’ yang dikatakan tertipu dengan keputusan yang tidak munasabah itu. Malahan Kementerian Luar Israel dan pertubuhan Yahudi yang bepengkalan di Amerika Syarikat telah menggesa agar dikenakan tekanan serta sekatan terhadap Iran bagi ’mengembalikan demokrasi dan kebebasan’.

Sementara itu Presiden Amerika Syarikat Barrak Obama, yang sebelum berlangsungnya pilihanraya Iran telah menyatakan “akan mengulurkan tangan persahabatan kepada Iran walau siapapun yang terpilih sebagai presiden”. Namun setelah keputusan tidak menyebelahi mereka beliau telah mengeluarkan ‘kenyataan keras’ membantah kemenangan Ahmadinejad yang dianggap sebagai ‘meragukan’ dan ‘curiga’. Penggubal polisi Rumah Putih itu juga telah ‘membela’ rusuhan yang terjadi di Iran dan mengeluarkan kenyataan bahawa “Biarkan bangsa Iran menentukan sendiri siapa pemimpin mereka” dan “Bangsa Iran merasa dikhianati”.

Amat jelas, sehingga kini para pemimpin Barat dan media-media utama mereka terus mengumandangkan ‘propaganda licik dan jahat’ mereka terhadap kemenangan Ahmadinejad. Mereka melemparkan tuduhan bahawa ‘pilihanraya yang curang’, ‘rakyat mahukan perubahan reformasi’ serta mendukung demonstrasi jalanan yang mereka istilahkan sebagai ‘sedang memperjuangan demokrasi dan kebebasan’. Namun agenda tersirat mereka bukan semata-mata mahukan kemenangan Mousavi tetapi mahu mengguling seluruh kepimpinan Iran yang memerintah berpandukan kepada ‘Wilayat al-fakih’.

Ramai yang bertanya siapakan ‘dalang’ di belakang demonstrasi serta kekacauan yang berlaku selama lebih seminggu selepas pilihanraya tersebut? Dan siapakah pula yang dikatakan sebagai penyokong pro-reformis Houssien Mousavi? Kumpulan ini adalah terdiri dari kalangan penduduk ‘North Tehran Syndrome’ (Utara Tehran) yang hidup mewah yang terdiri dari kalangan peniaga-peniaga yang kaya, golongan kelas menengah atasan yang hidup mewah di Utara Tehran. Manakala golongan muda yang digambarkan oleh media Barat sebagai ‘pejuang demokrasi dan reformasi’ adalah juga dari kalangan anak-anak golongan Utara Tehran ini. Penunjuk-penunjuk perasaan ini di gambarkan oleh media Barat sebagai golongan ‘cerdik’, ‘berpakaian kemas’ dan fasih berbahasa inggeris tetapi mereka ini ternyata kalah teruk dalam pengundian yang telah dijalankan ini Ya, mereka menang di Utara Tehran tetapi dunia tidak pernah di beritahu bahawa mereka kalah teruk di kota besar lain seperti Isfahan, Qom, Kerman dan Khuzestan.

Begitu juga dengan persoalan kenapa Amerika Syarikat serta sekutu Barat mereka begitu ‘takut dan gerun’ terhadap Ahmadinejad dan Iran? Namun kebimbangan paling utama Amerika Syarikat adalah mengenai program nuklear Iran yang telah berjalan lebih 20 tahun. Ini ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan para pimpinan Washington sendiri yang menilai Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad sebagai ‘bukan kawan demokrasi tetapi musuh kepada kebebasan’. Washington juga menuduh program nuklear Iran ini sebagai salah satu usaha Iran untuk mengugat penguasaan Amerika Syarikat dan sekutunya di negara-negara Teluk. Malahan Iran juga di tuduh sebagai dalang kepada ‘ketidakstabilan’ berterusan yang sedang berlaku di Irak dan Afghanistan.

Namun Iran sehingga kini tetep bertegas bahawa program nuklear mereka adalah untuk kepentingan tenaga dan pembangunan negara dan bertepatan dengan piagam ‘Non Proliferation Treaty’ (NPT) yang membenarkan mana-mana negara membangunkan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan. Tambahan pula teknologi yang dibangunkan oleh Iran adalah hasil penelitian ilmiah saintis-saintis tempatan Iran sendiri.
Persoalan besar yang juga timbul sehingga sekarang adalah apakah Amerika Syarikat serta sekutunya Israel akan menyerang Iran? Malah pada awal tahun lalu, Seymour Hersh seorang pengkaji politik terkenal dari majalah The New Yorker telan membongkar 3 ‘tindakan keras’ yang telah digariskan oleh pimpinan Rumah Putih terhadap Tehran. Antaranya;

- merancang pelbagai operasi sulit terhadap Iran, Syria dan juga terhadap pertubuhan Hizbullah di Lebanon termasuk kepada peringkat memberi bantuan kepada kumpulan-kumpulan ekstrimis Sunni yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan Al-Qaeda.

- Menghantar ‘US special forces’ jauh kedalam sempadan Iran untuk melakukan operasi-operasi untuk ‘destabilize Iran’ (menimbulkan ketidakstabilan di Iran), operasi ketenteraan serta untuk melakukan intipan terhadap kepentingan pertahanan dan ketenteraan Iran.

- Kebanyakan ‘Operasi sulit’ yang dijalankan ini adalah di ongkoskan melalui negara sekutu di Teluk bagi mengelakkan persoalan timbul di Kongres Amerika Syarikat. “Wang hitam’ (black money) ini digunakan untuk pelbagai misi sulit di seluruh pelusuk dunia bagi menghadapi ancaman Iran.

Beliau menambah lagi satu ‘planning group’ peringkat tertinggi pegawai ketenteraan di Pantegon telah melebarkan rancangan serangan mereka bukan sahaja terhadap kepentingan nuklear di seluruh Iran tetapi juga terhadap pusat-pusat ketenteraan yang dianggap sebagai terlibat membantu kumpulan-kumpulan militia Syiah di Irak. Strategi baru ini adalah untuk menyekat kebangkitan pengaruh Iran di rantau Teluk yang kini di anggap sebagai ‘ancaman terbesar’ terhadap kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya Israel.

Malah mantan Presiden Bush telah mendapat kelulusan dari Kongres Amerika Syarikat peruntukan berjumlah lebih US$400 juta untuk melalukan aktiviti ‘covert’ (sulit) bagi ‘memporak-perandakan’ Iran serta mewujudkan ketidakstabilan politik dan kepimpinan mereka. Maltlamat terakhir mereka adalah untuuk menggulingkan kerajaan Islam Iran dan menggantikannya dengan boneka Amerika Syarikat di atas nama ‘demokrasi dan ‘kebebasan’.

Begitu juga dengan tindakan terbaru Washington menyenaraikan pasukan tentera elit ‘Iran Revolutionary Guard Corps’ atau IRGC sebagai kumpulan terroris antarabangsa. Washington menuduh tentera elit Iran ini sebagai dalang yang telah memainkan peranan besar bagi membantu serta menyalurkan senjata kepada pergerakan Hizbullah di Lebanon dan Hamas di Palestin. Begitu juga dengan konflik yang sedang berterusan berlaku di Iraq. Washington menuduh IRGC melatih pasukan militia “tentera Mehdi’ serta membekalkan mereka dengan senjata canggih yang telah mengorbankan ribuan tentera Amerika Syarikat di bumi Iraq.

Tindakan yang di ambil oleh Washington ini adalah yang julung-julung kali dilakukan terhadap sesebuah pasukan tentera dari sebuah negara yang di senaraikan sebagai ‘terroris’ oleh Washington. Matlamat utama Washington adalah untuk menyekat sebarang bentuk penyaluran kewangan serta membolehkan mereka menyiasat mana-mana induividu, organisasi atau negara yang mengadakan hubungan dengan pasukan tentera elit Iran ini. Adalah dianggarkan pasukan IRGC ini mempunyai lebih dari 125,000 anggota di seluruh Iran.

Sekutu rapat Amerika Syarikat, Israel juga amat bimbang dengan kemenangan Ahmadinejad ini. Sokongan moral dan ekonomi secara terbuka Presiden Iran ini kepada Pergerakan HAMAS di Palestin telah mengakibatkan Israel terpaksa menilai semula polisi mereka di Timur Tengah. Malahan Ahmadinejad secara konsisten ‘mengecam kewujudan sebuah negara haram Israel’ dan menyeru umat islam seluruh dunia bersatu menentang kezaliman Zionis Israel.

Namun ramai pengkaji-penkaji politik beranggapan bahawa ‘perang Barat terhadap Iran’ ini akan bermakna berlakunya krisis minyak dunia yang lebih teruk dan boleh mengakibatkan berlakunya krisis ekonomi dunia yang bertambah parah. Begitu juga dengan kedudukan Iran yang strategik dan berjiran dengan Iraq dan Afghanistan. Sebarang tindakan ‘perang’ terhadap Iran akan menyemarakkan lagi konflik berterusan yang sedang berlaku di kedua-dua negara tersebut. Malahan pengaruh politik Iran di kedua-dua negara tersebut juga tidak boleh di ambil ringan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya.

Yang nyata polisi luar Amerika Syarikat di Timur Tengah di bawah pimpinan Barrak Obama terus tidak menentu dan kehilangan arah. Mereka kini tidak lagi mempunyai sebarang kredibiliti dan wibawa bagi mengembalikan keamanan serta kestabilan di rantau ini. Polisi ‘kuku besi’ serta ‘pro Zionis’ mereka tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada Washington. Jalan keluar mereka hanyalah satu iaitu segera tidak campurtangan di Iran serta membuat penilaian kembali polisi luar mereka terhadap Islam dan negara Islam secara keseluruhannya. Sejauh mana keikhlasan jambatan persahabatan Presiden Obama yang telah dihulurkan kepada Iran serta masyarakat Islam akan terus di nantikan…