Selasa, 23 Jun 2009

USTAZ FATHI YAKAN – ULAMA TARBIYYAH TERKENAL TELAH PERGI MENINGGALKAN KITA

Saya menerima berita sedih mengenai pemergian Ustaz Dr. Fathi Yakan menerusi kiriman sms dari sahabat di Beirut pada pagi Ahad lepas. Beliau yang lahir pada tahun 1933 wafat pada usia 76 tahun setelah lama mengalami keuzuran. Beliau adalah ulamak terkenal serata dunia dan juga merupakan antara penggerak awal gerakan Islam Ikhwan Muslimin di dunia Arab. Beliau juga adalah merupakan satu-satunya pimpinan Ikhwan Muslimin yang amat rapat dengan pimpinan Pas. Dari Al-marhum Datuk Fadzil Nor kepada Dato’ Sri Haji Abdul Hadi Awang kesemuanya banyak merujuk dan menerima tunjuk ajar dari ‘Sheikhul Tarbiyyah’ yang agong ini.

Malah bagi setiap pimpinan Pas yang berkunjung ke Syria atau Lubnan tidak pernah melepaskan peluang untuk menziarahi beliau. Dari situlah kami diberi nasihat dan tunjuk ajar melalui pengalaman serta ilmu tarbiyyah dan politik yang mendalam yang ada pada beliau. Sifat rendah diri, sentiasa menghormati tetamu serta tidak pernah kedekut berkongsi ilmu dan pengalaman menjadikan hubungan kami amat rapat dengan beliau.

Sheikh Fathi juga telah beberapa kali berkunjung ke Malaysia dan menjadi tetamu khas Pas. Malah sepatutnya beliau sekali lagi menjadi tetamu Pas di Muktamar yang di adakan di Ipoh, Perak pada tahun lepas. Walaupun semua persiapan telah di buat termasuk tempahan tikat kapalterbang, namun disaat akhir saya sendiri menerima panggilan talipon dari beliau yang menyatakan keuzuran untuk bersama di Muktamar Pas.

Ya, bila disebut sahaja nama Ustaz Fathi Yakan kepada masyarakat Malaysia maka akan teringat kita kepada puluhan buku-buku yang dikarang beliau dan yang paling terkenal adalah buku Apa Ertnya Saya Menganut Islam’, ‘Islam dan Cabaran Kini’ serta ‘Tuntutan Dakwah dan Pendakwah’. Ulamak terkenal ini amat disegani dan dihormati di seluruh pelusuk dunia kerana penulisan serta pemikiran beliau yang tajam dan bersifat semasa. Beliau telah mengarang berpuluh-puluh buah kitab mengenai dakwah dan gerakan Islam dan ianya tersebar luas di serata dunia dan di terjemah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, bahasa Cina serta bahasa Tamil. Sungguh besar jasanya dalam mewarnai dunia harakah islamiyyah

Masih lagi segar di ingatan kenangan manis sewaktu saya bersama Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berkunjung ke pejabat beliau di kota Tripoli di Selatan Lubnan setahun yang lalu. Pejabat yang terletak di pinggir bandar Tripoli itu juga merupakan sebahagian daripada kampus Universiti Jinnan yang telah dibangunkan oleh beliau bersama isterinya sejak lebih daripada 15 tahun. Kini universiti Jinnan berdiri tersergam indah dan telah berjaya menghasilkan ribuan graduan dari serata pelusuk dunia. Ustaz Fathi Yakan sewaktu kami berkunjung ke pejabat beliau dikelilingi oleh ratusan kitab-kitab dan buku-buku yang ditulis serta dirujuk oleh beliau setiap waktu.

Dalam pertemuan bersama Ustaz Fathi Yakan, beliau telah mengingatkan tentang tuntutan perjuangan serta cabaran yang sedang dihadapi oleh umat Islam serta dunia Islam. Bagi Ustaz Fathi musuh-musuh Islam kini sedang meletakkan Islam ‘dikandang orang salah’ dan sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan Islam dan kebangkitannya dengan apa cara sekalipun. Bagi beliau perkembangan yang sedang berlaku kini merupakan satu cabaran yang besar yang perlu ditanggapi oleh seluruh umat Islam dengan penuh kesabaran dan berhemah. Ustaz Fathi juga mengingatkan umat islam bahawa musuh-musuh Islam tidak akan sedikitpun berdiam dengan perkembangan kesdedaran dan kebangkitan Islam yang sedang berlaku di seluruh dunia Islam. Cabaran dan kebangkitan Islam di Palestin, Iraq. Afghanistan dan seluruh dunia Islam merupakan cabaran yang besar yang perlu dihadapi dengan penuh berhati-hati.

Sementara itu semasa berbincang soal politik dalaman Lubnan Ustaz Fathi Yakan menceritakan tentang percubaan Kuasa Besar Amerika Syarikat serta sekutu terdekatnya Zionis Israel yang berusaha untuk mengujudkan ketegangan dan perpecahan berlandaskan mazhab terutama di antara kelompok penduduk Sunni dan Syiah. Namun demikian beliau menegaskan bahawa percubaan ini berjaya digagalkan kerana gerakan Islam di Lubnan telah bersatu menentang konspirasi jahat ini tanpa mengira mazhab. Beliau dengan tegas menyatakan sokongan terbuka kepada gerakan pembebasan Hizbullah yang berjuang menentang penjajahan serta kekejaman zionis Israel. Apa jua percubaan untuk memecahbelahkan umat Islam serta rakyat Lubnan akan terus disanggah oleh umat Islam Lubnan sendiri.

Bagi Ustaz Fathi, situasi di Lubnan sekarang ini berada dalam keadaan yang amat kritikal. Pergolakan politik yang berterusan terutamanya di antaranya gerakan Hizbullah dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Fuad Sinora tidak menampakkan jalan penyelesaian. Beliau mengingatkan akan bahaya campurtangan kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat, Perancis serta sekutunya dalam politik dalaman Lubnan. Apabila ditanya kenapakah beliau secara terbuka memberi sokongan kepada Hizbullah, Ustaz Fathi Yakan dengan tegas menyatakan bahawa “kita bukan berhadapan dengan soal-soal yang remeh-temeh yang boleh memecahbelahkan umat islam sendiri tetapi kita berhadapan dengan musuh yang lebih besar iaitu Amerika Syarikat dan Zionis Israel yang sentiasa melakukan kezaliman terhadap umat islam di serata dunia”. Bagi beliau Hizbullah adalah sebahagian dari perjuangan Umat Islam menentang musuh yang besar ini. Beliau juga menegaskan bahawa penyelesaian kepada konflik politik Lubnan adalah dengan tidak membenarkan penglibatan mana-mana kuasa asing luar untuk turut campurtangan dalam menentukan masa depan politik Lubnan.

Perbincangan kami juga berkisar tentang persoalan konflik dunia Islam di bumi Palestin. Ustaz Fathi menyatakan bahawa gerakan Hamas yang menang dan berkuasa secara demokrasi sehingga kini tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh dunia Barat. Malah mereka terus ditekan dengan pelbagai bentuk sekatan politik dan ekonomi yang tidak berperikemanusiaan terutamanya terhadap penduduk Palestin yang menderita kekurangan makanan harian dan bahan perubatan. Begitu juga usaha yang dilakukan bagi menyatukan kepimpinan politik Palestin tanpa mengira parti dan kelompok dengan membentuk sebuah ‘kerajaan kesatuan’ masih tidak di diiktiraf oleh Kuasa Besar Barat terutamanya Amerika Syarikat dan sekutunya. Gerakan Hamas terus dilabelkan sebagai sebuah pertubuhan terroris serta pengganas walaupun mereka terlibat dan mendapat sokongan daripada rakyat melalui sistem demokrasi yang disanjung oleh kuasa barat sendiri.

Begitu juga dengan situasi terkini di Irak. Ustaz Fathi melahirkan kesedihan beliau terhadap apa yang sedang berlaku di mana setiap hari ratusan rakyat yang terbunuh secara kejam akibat daripada penjajahan tentera Amerika dan sekutunya. Yang lebih membimbangkan beliau lagi adalah usaha memecahbelahkan penduduk Iraq berlandaskan mazhab. Ini adalah diadu-dombakan dengan perancangan rapi yang dilakukan oleh penjajah Amerika Syarikat dan sekutunya Zionis Israel yang menghantar ratusan agen-agen Mossad untuk beroperasi di Irak. Ustaz Fathi Yakan dengan tegas membantah serta mengutuk keras sebarang bentuk pertembungan dan pembunuhan berlandaskan fahaman mazhab yang sempit. Bagi beliau apa yang penting bagi rakyat Iraq adalah untuk berjuang bagi menghalau tentera-tentera penjajah dari bumi mereka sendiri. Begitu juga usaha penguasaan tentera penjajah untuk membolot kekayaan hasil minyak Iraq perlu disekat dengan apa cara sekalipun. Bagi Ustaz Fathi Yakan, penyelesaian di Iraq adalah dengan mendesak tentera penjajah segera berundur dari bumi Iraq secara terhormat dan pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin masyarakat Iraq perlu kembali bersatu di atas landasan Islam yang sebenarnya.

Ustaz Fathi yakan juga menyentuh tentang konflik yang sedang berlaku di Afghanistan dan juga di Chechenya. Sehingga kini ribuan umat Islam menjadi mangsa kepada kekejaman kuasa-kuasa besar yang angkuh. Ini semua berlaku dalam suasana dunia Barat bercakap soal demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan tetapi di waktu yang sama mereka sendirilah yang sedang membunuh demokrasi di negara-negara Islam dengan melakukan pelbagai bentuk ketidakadilan dan bersikap ‘double standard’ apabila berhadapan dengan dunia islam. Ustaz Fathi mengingatkan umat Islam agar sentiasa berwaspada dengan perancangan musuh-musuh Islam ini. Mereka kini dengan begitu mudah diatas nama ‘menghapus pengganas’ dan ‘mengwujudkan keamanan’ mereka seolah-olah di beri lesen menangkap dan membunuh mana-mana individu di serata dunia.

Di akhir pertemuan, Ustaz Fathi Yakan juga mengingatkan kami akan tiga cabaran besar yang dihadapi oleh gerakan Islam di serata dunia. Pertamanya adalah cabaran dalam bentuk global di mana dunia Islam kini diserang dengan pelbagai tuduhan dan ancaman dengan meletakkan Islam dikandang orang salah. Keduanya gerakan Islam di serata dunia akan terus ditekan tanpa mengira balas kasihan walaupun mereka menyerlahkan sikap yang sederhana serta terlibat secara terbuka dalam kancah politik dan demokrasi. Ketiganya pertembungan yang sedang berlaku kini di antara gerakan Islam dan kuasa-kuasa barat bukan hanya pertembungan pemikiran tapi ianya lebih merupakan pertembungan tamadun yang amat mencabar.

Dr. Fathi Yakan juga mengingatkan agar setiap aktivis Islam sentiasa bersabar menghadapi ujian yang besar ini. Persiapan yang mendalam perlu dilakukan oleh semua aktivis Islam bagi menghadapi situasi baru ini. Bagi beliau hanya dengan keimanan yang mendalam, persiapan ilmu yang cukup serta pengorbanan yang besar sahaja yang akan menjamin kemenangan serta masa depan gerakan Islam.

Ya, kenangan bersama Ustaz Fathi Yakan masih segar diingatan kami. Saya dapat mendengar nasihat-nasihat bernas dari seorang tokoh yang disegani di serata dunia. Walaupun pada waktu itu beliau terlalu uzur tetapi masih terus bersemangat untuk berjuang menegakkan kebenaran Islam terutamanya melalui tulisan penanya yang tajam serta bernas. Inilah peribadi seorang muraabi serta sheikh tarbiyah yang dirujuk oleh seluruh dunia Islam sehingga kini. Sifat rendah diri dan tawaduknya amat jelas sehingga terkesan kepada kami sehingga kini. Semoga sheikh yang kami sayangi ini ditempatkan bersama para syuhada'. Selamat tinggal ya Sheikh…

Isnin, 1 Jun 2009

‘KEPIMPINAN ULAMAK’ – PERMATA BERHARGA DIDALAM PERJUANGAN PAS

Betapa kerdil rasanya diri ini apabila saya berkesempatan hadir di sambutan Jubli Perak ‘kepimpinan ulamak’ Pas pada minggu lepas. Programnya sarat dengan pelbagai pembentangan terutamanya tentang pengkisahan serta mengenangkan pengurbanan besar ulamak-ulamak silam Pas. Nama-nama seperti Ustaz Abu Bakar Baqir yang menubuhkan Hizbul Muslimin membawa kepada Tuan Guru Haji Ahmad Fuad, Dr. Burhanuddin Al-Hilmy, Haji Yusuf Rawa serta Datuk Fadzil Mohd Nor mengingatkan kita tentang pengorbanan besar yang telah mereka lakukan untuk perjuangan ini.

Namun bagi saya di antara nama-nama agong ulamak di dalam sejarah perjuangan Pas ini, nama Datuk Fadzil Nor yang paling dekat dengan denyutan perjuangan yang saya sendiri lalui. Kehebatan kepimpinan beliau sentiasa segar dalam minda setiap pimpinan dan ahli Pas kerana ketokohan yang ada padanya. Beliau juga telah berjaya menyediakan tapak perjuangan bagi Pas untuk berada di persada dakwah dan politik di tanahair kita.

Bagi saya, al-Marhum adalah seorang peribadi pemimpin ulamak yang menguasai konteks, realiti dan cabaran pentas perjuangannya. Ini adalah intisari kekuatan fikrah al-Marhum sebagai seorang ulamak yang sekaligus mempamerkan penguasaan kepemimpinannya. Beliau juga amat teliti menyorot setiap tindak rencana politiknya dalam menangani pergolakan politik dan persimpangan getir bagi menjamin kesinambungan perjuangan parti.

Seluruh tenaga kepimpinan Pas berjaya beliau gabungkan dengan mantap walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan displin ilmu. Malah pada tahun 1997 sewaktu saya masih lagi menjadi pensyarah di Universiti Malaya saya sendiri pernah diberi amanah besar oleh al-Marhum untuk menubuhkan serta memimpin Pusat Kajian Pas (PPP). Saya merasa bertuah mengenali dengan dekat peribadi al-Marhum sebagai seorang ulamak agong pada fasa kemuncak perjuangannya.

Malahan ‘Haibah’ atau kehebatan penguasaan fikrah al-Marhum serta kepemimpinannya amat terserlah ketika negara diancam krisis politik yang tercetus akibat pemecatan dan tangkapan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim. Begitu juga diwaktu negara dilanda kegawatan ekonomi dan krisis matawang pada tahun 1997.

Di waktu krisis kepimpinan negara yang memuncak inilah kepimpinan Al-marhum terserlah dengan hebat sekali. Al-Marhum dengan penuh keyakinan ‘ijtihad’ sebagai seorang pemimpin agong telah melebarkan lembayung kepimpinannya secara praktik. Beliau berjaya menaungi seluruh kepentingan negara dan umat dengan penuh kesabaran walaupun mendapat tentangan dari dalam parti pada tahap awalnya.

Begitu juga di tengah-tengah kegawatan ekonomi negara beliau sendiri telah mengambil inisiatif bersama-sama dengan beberapa pakar ekonomi yang menyokong Pas telah menggerakkan satu jawatankuasa khas bagi menyiapkan ‘Memorandum Penyelesaian Kemelut Ekonomi Negara’ yang bernas dengan saranan dan cadangan serta disampaikan terus kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.

Sejarah mencatat secara abadi bagaimana dibawah kepimpinan al-Marhum mencetuskan telah Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menangani kemelut politik negara. Teringat saya di waktu itu bersama saudara Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Dr. Hatta Ramli dan rakan-rakan lain telah berjaya menggerakkan seluruh parti-parti pembangkang serta NGO seperti ABIM, JIM, PUM, PKPIM, MAUFAKAT serta kalangan masyarakat Cina dan India. Bagaikan suatu mimpi besar apabila berbekalkan waktu kurang dua puluh empat jam kami telah menempa sejarah apabila berjaya menghimpunkan massa lebih dari 100,000 orang untuk berkumpul di Taman Melewar bagi membantah kepimpinan Dr. Mahathir yang rakus dengan kuasa dan bersifat ‘kuku besi’.

Natijahnya amat jelas apabila berlaku perubahan besar dalam politik negara. Pas mengambil dimensi gabungan politik pembangkang atas wadah Barisan Alternatif atau BA. Hasilnya sehingga kini, betapa kebijaksanaan tindakan al-marhum telah merubah landskap politik negara. Malah ia telah mematangkan lagi dan mengangkat keberanian rakyat untuk menentang setiap kezaliman. Bagi saya penubuhan GERAK ini cukup istimewa pada kepemimpinan politik al-Marhum.

Saya masih ingat bagaimana al-Marhum menekankan kepentingan untuk ‘bersikap terbuka’ dalam menghormati rakan-rakan dari pelbagai latarbelakang serta pertubuhan Islam lain seperti PUM, ABIM dan JIM. Tidak ada sedikitpun sikap prajudis serta keraguan beliau apabila menerima ahli-ahli dari pelbagai latarbelakang ini. Malah beliau sendiri mengambil inisiatif bagi menonjolkan beberapa pimpinan pertubuhan ini untuk bertanding atas tikat Pas pada pilihanraya 1999 dan seterusnya memegang beberapa jawatan penting dalam Pas. Tidak pernah saya mendengar ungkapan ‘musuh dalam selimut’ dari al-marhum, malah beliau mengungguli ciri kepimpinan yang sentiasa ‘berjiwa besar’ dan tidak mudah melatah.

Sukar untuk saya rumuskan. Yang nyata al marhum sebagai seorang ulamak agong tidak pernah bersifat ‘jumud’ menilai serta menafsir setiap isu yang di hadapi oleh Pas. Malah di bawah kepimpinan beliau ‘pintu ijtihad’ di buka luas dengan mengambil pendekatan politik yang ternyata membuahkan hasil bagi Pas. Al Marhum juga tidak pernah kedekut untuk berkongsi pengalaman dengan ramai kalangan golongan intelek berpendidikan barat dan sentiasa berusaha keras menggabungkan kekuatan kepimpinan Pas dari pelbagai latar belakang pendidikan serta displin ilmu sesuai dengan Pas sebagai parti dan gerakan Islam terbesar di Malaysia.

Bagi saya al-Marhum adalah sosok peribadi ulamak-profesional yang telah berjaya meletakkan Pas di persada politik negara. Al-marhum berkawan dan kenal rapat dengan siapa sahaja, dari kepimpinan tertinggi Pas kepada setiap ahli bawahan Pas tanpa sebarang tembok pemisah. Saya yakin tidak ada ahli Pas bahkan rakyat awam yang boleh 'mentajrih'nya atau mencari keburukannya cara al-Marhum melayani atau bermuamalat dengan mereka. Lazimnya, akan ada saja ingatan manis untuk dikongsi bersama tentang keistimewaan peribadi al-Marhum. Beliau bukan sahaja sebagai seorang ulamak tetapi adalah seorang 'negarawan' yang sentiasa mendepani isu kepentingan negara dan masyarakat dengan penuh prihatin.

Ya, inilah juga ‘permata berharga kepimpinan ulamak’ yang kini ada pada kedua-dua pimpinan tertinggi Pas. Murshid Am Pas, Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat terkenal sebagai ulamak yang memimpin bukan sahaja di geruni tapi di segani oleh kawan dan lawan kerana ketegasan serta sifat zuhud dan rendah diri yang sentiasa ada pada beliau. Begitu juga dengan Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga amat di segani oleh kawan dan lawan kerana kehebatan ilmu serta peribadi yang ada pada beliau. Malah gabungan kemantapan kedua-dua pimpinan agong ini telah berjaya meletakkan Pas sebagai ‘kerajaan-menanti’ (government in-waiting) di persada politik nasional.

Apa yang pasti kemantapan kepimpinan kedua-dua ulamak besar ini bersama gabungan pimpinan dari pelbagai displin ilmu dan pengalaman, Pas kini berada ditahap yang amat membanggakan. Ia terus mendapat kepercayaan serta sokongan dan dokongan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari kalangan masyarakat Cina dan India. Ya, jangan ada lagi keraguan ‘ulamak-profesional dan professional-ulamak’ di dalam menerajui saf kepimpinan Pas kerana inilah rahsia kekuatan yang ada pada Pas selama ini.