Selasa, 19 Mei 2009

KONSEP SATU MALAYSIA – IMPIAN MENYELAMATKAN UMNO/BN


Saban hari media arus perdana sering memperkatakan tentang ‘Konsep Satu Malaysia’, yang di cetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Ia kini meniti dibibir setiap pemimpin UMNO/BN di seluruh negara yang melaungkan slogan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”, Sebagai Perdana Menteri yang baru dilantik, slogan ini di utarakan kepada rakyat sebagai kesinambungan dua kepimpinan terdahulu dalam impian membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju . Malah Ia mirip seperti konsep “bersih, cekap dan amanah” yang diperjuangkan perdana menteri keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad serta slogan “cemerlang, gemilang dan terbilang” yang diperjuangkan perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pelbagai kalangan masyarakat kini cuba memahami apa itu konsep Satu Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri yang baru dilantik ini? Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri berkata bahawa ia bukan sekadar satu slogan sebaliknya merupakan suatu agenda perlaksanaan “bagi memastikan tiada golongan atau kaum yang akan terpinggir di negara ini. Ia antara lain bererti rakyat berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan keluar daripada bertindak dalam tembok etnik sekian lama di samping saling percaya dan menghormati”.

Namun bagi saya, jika diteliti secara mendalam, apa yang diamalkan oleh kedua-dua mantan perdana menteri terdahulu hanya tinggal sekadar slogan yang usang dan tidak memberi apa-apa erti kepada rakyat Malaysia. Di era pemerintahan Tun Mahathir, slogan ‘bersih cekap dan amanah’ hanya tinggal menjadi omongan kosong apabila sepanjang pemerintahan beliau sarat dengan budaya ‘kuku besi’ dan ‘authoritarian’ yang mengerikan. Hak-hak asasi rakyat terus dinafikan serta berlakunya pencabulan barleluasa dalam tiga cabang kuasa dalam sistem demokrasi iaitu sistem kehakiman yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, eksekutif yang diketuai oleh Tun mahathir dan parlimen yang sepatutnya berfungsi dan beroperasi secara berasingan dengan pengawasan dan keseimbangan antara satu sama lain. Begitu juga dengan slogan ‘“cemerlang, gemilang dan terbilang’ di era pemerintahan Tun Abdullah Badawi. Beliau di nilai oleh ramai kalangan sebagai seorang pemimpin yang terlalu lemah mentadbir, dan begitu mudah di manipulasi oleh orang disekelilingnya. Malah era pemerintahan Pak Lah di anggap ramai sebagai berstatus “kabinet kroni dan anak menantu”.

Persoalan besar di pemikiran setiap rakyat kini adalah bagaimana pula dengan pengamalan slogan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”? Bagi saya ia hanya sekadar slogan yang bersifat kosmetik semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Malah pengamalan “Satu Malaysia” adalah terlalu ampuh dan setelah didapati dukungan Cina dan India terhadap Umno-BN merosot parah, maka dikumandangkan semula slogan Satu Malaysia. Ianya tidak lebih untuk menawan hati pengusaha kaya Cina asalkan tidak menjejaskan kepentingan projek, kontrak dan habuan kroni mereka.

Yang jelas, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak beliau cuba menutup segala kelemahannya dengan satu lagi slogan kosong yang tidak akan banyak memberi erti kepada rakyat Malaysia yang dahagakan suatu transformasi dan perubahan yang menyeluruh dalam pemerintahan. Bagaimana mungkin ia terlaksana sekiranya budaya rasuah, kronisma, amalan boros dan pembaziran serta perkauman masih hidup subur dalam budayanya?

Malahan, pemimpin-pemimpin UMNO terpaksa mencerna satu lagi slogan bagi mengelirukan rakyat walhal hakikat yang dilaku adalah sebaliknya. Kalau di teliti slogan Satu Malaysia tersebut, sejak bila rakyat Malaysia didahuluka dan sejak bila pula prestasi di utamakankan oleh kerajaan UMNO/BN? Dan isu lebih mendesak dari sudut prosedur tender, ketelusan, mengelak amalan boros, rasuah dan pembaziran tidak ditangani sehingga sekarang.

Bagi saya slogannya terlalu ampuh kerana sudah sejak sekian lama pemimpin-pemimpin UMNO/BN menjadikan senjata ‘agama dan kaum’ sebagai alat utama bagi mengabui mata rakyat serta menyerang pembangkang. Malah sehingga kehari ini mesaj bersifat perkauman sempit serta usaha menakut-nakutkan kaum Cina dan India terhadap ‘bahaya agama’ yang di bawa oleh Pas terus di canang dan di propagandakan oleh pemimpin UMNO/BN.
Lihat sahajalah apa yang berlaku di Perak sebagai contoh. Bagaimana mungkin mereka melaksanakan konsep satu Malaysia apabila sentimen perkauman yang sempit terus di mainkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO bagi meraih sokongan dari kalangan masyarakat Melayu. Pas dan Dato Sri Nizar yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak difitnah sebagai “alat Cina” dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira implikasi dan kesannya kepada perpaduan kaum yang wujud di negara kita. Begitu juga dengan perjalanan sistem kehakiman negara yang berterusan diragui oleh sebilangan masyarakat apabila adanya kess-kes berprofil tinggi telah di adili dengan cara yang amat meragukan masyarakat. Ini di tambah pula dengan kes-kes rasuah dan salahguna kuasa berstatus ‘jerung-jerung’ yang melibatkan pemimpin tertinggi UMNO/BN yang sehingga sekarang di ‘cold storage’ tanpa sebarang kesudahan. Yang nyata ‘bilis-bilis kecil’ terus menjadi mangsa kepada perjalanan sistem yang amat pincang ini.

Malah bagi saya gagasan Satu Malaysia itu akan terus dimanipulasi oleh pemimpin UMNO terutamanya bagi menjamin ‘talian hayat’ politik mereka di persada politik tanahair. Namun mereka sudah tidak dapat lari lagi dari sikap serta amalan diskriminatif serta perkauman mereka yang sememangnya wujud sejak sekian lama yang kini sedang menjerat setiap pimpinan UMNO sehinggakan mereka kehilangan kredibiliti serta keyakinan di kalangan rakyat terutamanya dari kalangan masyarata Cina dan India.

Sebaliknya Pas dan rakan-rakan Pakatan Rakyat telah dapat membuktikan semangaat kerjasama dan setiakawan yang baik tanpa mengira kaum dan agama. Bagi Pas slogan ‘Pas untuk Semua’ telah berjaya memenangi hati nurani rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan India. Mereka dapat menilai keikhlasan pemimpin-pemimpin Pas serta polisi yang dilaksanakan berlandaskan ‘keadilan Islam’ yang tidak bersifat perkauman dan sempit. Malah Pakatan Rakyat sendiri yang kini memerintah lima negeri telah dapat membuktikan pembinaan negara dengan berpaksikan kepada perpaduan dan integrasi kamu yang mantap serta kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama yang di lindungi bagi melonjakkan kemajuan negara ke era baru.

Yang penting adalah reformasi besar yang sedang ditunggu-tunggu oleh setiap warga Malaysia; kearah perubahan ketelusan dan keadilan di dalam sistem kehakiman, hak-hak asasi setiap rakyat terjamin, sistem pilihanraya yang lebih bersih dan adil serta sebuah sistem pemerintahan yang adil dan saksama berpaksikan kepada kepentingan rakyat jelata tanpa tanpa mengira status dan kedudukan. Inilah impian sebuah “Malaysia yang adil’.

Tiada ulasan: