Jumaat, 5 September 2008

Permatang Pauh Menguji Kematangan ‘Berpolitik’ Pas

Ramai yang bertanya kepada saya kenapa pemimpin Partai Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mampu memenangi pilihanraya kecil di Permatang Pauh dengan jumlah perolehan majoriti yang lebih besar dari yang di jangkakan oleh ramai kalangan pengamat politik tanahair. Malah majoriti lebih 15 ribu yang di perolehi oleh beliau menjangkaui batasan kaum dan agama. Boleh dikatakan kesemua saluran pengundi samada yang muda, remaja, wanita dan yang tua telah memberi undi ‘selesa’ kepada beliau.

Pilihanraya kecil ini berjalan di dalam suasana terdapat pelbagai bentuk ‘propaganda murahan’ yang di canangkan agar pimpinan Pas mengambil keputusan ‘memboikot’ sahaja pilihanraya kecil tersebut dek kerana Pas telah di ‘pencilkan’ dari apa-apa peranan di Pulau Pinang. Ini di tambah dengan publisiti sensasi media perdana yang cuba memaparkan ‘desakan’ dari beberapa kalangan perwakilan Muktamar Pas di Ipoh yang mahukan pimpinan parti menilai semula kedudukan Pas di dalam Pakatan dengan alasan Islam dan Melayu kini telah terpinggir. Namun keputusan yang di buat oleh pimpinan Pas dan perwakilan di dalam Muktamar di Ipoh amat jelas iaitu ‘terus kekal bersama Pakatan dan mengukuhkan lagi gabungan Pakatan’. Bagi saya ini merupakan suatu keputusan yang amat bijak dan matang.

Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa Pas mempunyai perbezaan dengan PKR mahupun Dap. Namun apakah perbezaan tersebut boleh menjadikan kita berpecah dan keluar dari Pakatan? Apakah kita mahu ‘mengkhianati’ mandat serta mesej yang disampaikan oleh rakyat dalam Pilihan raya Umum ke-12 baru-baru ini? Lima buah negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN turut hilang majoriti dua pertiga. Buat julung kalinya pengundi-pengundi berbangsa Cina dan India memberi undi secara ‘terbuka’ kepada Pas. Ada dari kalangan mereka yang bukan sahaja berkempen tapi menjadi tenaga parti sepenuh masa untuk Pas. Malahan tidak sedikit kerusi-kerusi campuran (mixed seat) yang kita menangi.

Ya kita berbeza dengan PKR dan Dap dalam soal ‘Negara Islam’ yang dikatakan menjadi pegangan Pas. Kita juga berbeza dengan pegangan Dap yang mahukan konsep ‘Malaysian Malaysia’ diketengahkan kepada rakyat Malaysia. Begitu juga dengan pandangan PKR mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB). Namun apakah tidak ada langsung ruang kita berdakwah dan memperkenalkan dasar pentadbiran Islam kita seperti yang telah dan sedang di lakukan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan?

Persoalannya apakah konsep ‘Negara Islam’ yang di bawa oleh Pas mampu di terima oleh pemimpin-pemimpin UMNO? Yang jelas selama ini yang lebih banyak menjadi penghalang perlaksanaan Islam dan ‘mengelirukan’ (atau bahasa yang lebih keras ‘menyesatkan’) umat Islam di Malaysia adalah dari kalangan pimpinan UMNO serta ulamak-ulamak upahan mereka yang terus menerus mencanangkan agama baru ‘Islam Hadhari’. Kita juga tidak mungkin ‘lupa sejarah’ apa yang di lakukan oleh mereka terhadap pemerintahan Pas di Kelantan dan Terengganu. Siapakah yang menyekat perlaksanaan Islam di Kelantan dan Terengganu? Siapakah yang menarik bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat? Siapakah yang menjadi penghalang kepada pemimpin Pas berkhutbah dan berkuliah di masjid dan surau? Siapakah pula yang selama ini mencaci dan memaki hamun ulamak-ulamak Pas?

Lebih penting lagi setakat ini gabungan Pakatan terus memerintah dengan baik di negeri-negeri seperti Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan propaganda jahat UMNO/BN. Malah usaha mensabotaj kelima-lima negeri pimpinan Pakatan ini terus berjalan tanpa mengenal etika serta adab berpolitik.

Namun saya amat gembira apabila arus ‘tsunami’ pilihanraya terus melanda persada politik negara sehingga ke Permatang Pauh. Kita terus berpegang teguh kepada thiqah perjuangan kita.Kita terus maju kehadapan bukan sahaja sebagai parti yang tahu berpolitik tapi juga parti yang tahu berdakwah. Soal dasar perjuangan Pas tidak sekali-kali kita berkompromi apatah lagi soal maruah dan martabat Islam.
Amat besar ertinya perpaduan Pakatan apabila saya melihat contoh bagaimana ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi yang setia seperti Ustaz Abu dan kak Minah dapat bergabung tenaga dengan pekerja parti dari Dap seperti Ah Chong dan Ranjit serta pekerja parti dari PKR seperti William dan Menachi. Mereka berkempen dari rumah ke rumah bersama, memasang poster bersama serta makan dan minum bersama tanpa mengira perbezaan kaum dan agama. Saya bertanya kepada diri saya kenapa mereka boleh begitu mesra sedangkan Ustaz Abu berserban, Kak Minah pula bertudung labuh dan berjubah, sedangkan Ah Chong beseluar pendek dan Menachi memakai jeans dan tidak bertudung. Tidakkan Ah Chong, Ranjit, Menachi dan William ‘gerun’ dengan penampilan Ustaz Abu yang berserban dan berjanggut panjang itu? Atau apakah kak Minah tidak mahu bertegur sapa dengan Menachi kerana memakai jeans dan tidak bertudung?

Siapa sahaja yang berada sepanjang kempen di Permatang Pauh akan dapat merasa deyut pengorbanan yang dilakukan oleh ahli-ajhli Pas dari seluruh negara yang ‘turun berkempen’ selaras dengan kehendak dan arahan pimpinan parti. Mereka ini tidak pernah meminta apa-apa habuan malah mengeluarkan wang saku mereka sendiri untuk turut sama berkempen. Ada di antara mereka terdiri dari kalangan pensyarah universiti, ada yang menjadi jurutera malah ada juga yang terdiri dari kalangan surirumah, nelayan dan petani. Mereka datang ke Permatang Pauh semata-mata mahukan UMNO dinyahkan!

Yang pasti cara berkempen UNMO /BN di Permatang Pauh amat memalu dan memualkan. Tidak ada isu lain dari ‘Anwar liwat’, ‘Anwar menggadai hak Melayu’ . “Kalau Anwar PM Islam dan Melayu akan terhakis’ serta . seperti biasa jentera 3M (Money, machinery dan Media) mereka mereka terus di beri peranan penting. Media perdana seperti RTM, TV3 setrta Utusan Malaysia dan Berita Haria tidap pernah mahu belajar dari penolakan rakyat terhadap mereka dalam pemilu yang lepas. Kebiadapan etika pemberitaan serta keangkuhan mereka terus terserlah dengan propaganda murahan tanpa henti sepanjang kempen. Mungkin mereka masih merasa bahawa pengundi di Permatang Pauh ‘bodoh’ dan boleh di suap dengan apa sahaja hidangan propaganda UMNO/BN.

Amat berbeza dengan gaya berkempen Anwar Ibrahim. Selama kempennya, beliau telah menawarkan kepada rakyat Malaysia alternatif pembenterasan korupsi dan salahguna kuasa, menurunkan harga minyak serta meningkatkan daya saing ekonomi, membuka peluang pekerjaan yang lebih luas untuk semua rakyat Malaysia serta berkempen diatas landasan ‘Malaysia untuk semua’ tanpa mengira fahaman kaum dan agama yang sempit.
Namun yang jelas natijah dari keputusan di Permatang Pauh membawa mesej agar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur segera bukan sahaja datang dari rakyat dan parti pembangkang sahaja, bahkan dari kalangan Umno dan BN sendiri. SAPP, sebuah komponen BN dari Sabah secara terang-terangan menyatakan tidak percaya kepada Abdullah Badawi, manakala bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir serta anaknya beliau Mukhriz Mahathir terus menerus mendesak agar Perdana Menteri berundur segera.

Yang pasti, keputusan Permatang Pauh telah menghantar mesej yang jelas kepada Abdullah Badawi bahawa kepemimpinannya sudah tidak relevan dan beliau mesti berhenti segera. Politik perkauman dan fahaman yang sempit yang di bawa oleh UMNO/BN akan terus ditolak oleh rakyat Malaysia. Ayuh rakyat Malaysia kita perkasakan Pakatan Rakyat dan nyahkan UMNO/BN dari persada politik negara.