Rabu, 2 Februari 2011

MESIR – ’KUASA RAKYAT’ MENCABAR HEGEMONI AMERIKA SYARIKAT

Perkembangan ’kebangkitan rakyat’ yang sedang melanda Tunisia, Mesir, Yemen, Jordan serta seluruh benua Arab kini cukup-cukup menggerunkan Amerika Syarikat serta sekutu mereka di Timur Tengah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila rakyat secara spontan bangkit dan keluar kejalan-jalanraya menuntut hak dan kebebasan mereka serta mahukan rejim yang ada digulingkan. Selepas Tunisia, lebih membimbangkan lagi mereka apabila ratusan ribu rakyat di Mesir dari semua lapisan masyarakat bangkit menuntut hak dan kebebasan mereka serta menuntut rejim Mubarak turun dari takhta pemerintahan.

Kenapa Amerika Syarikat dan sekutunya begitu bimbang dengan kemungkinan kejatuhan rejim Mubarak di Mesir? Tidak lain dari sebab-sebab berikut;
1. Mesir adalah sekutu terpenting Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah sejak lebih 4 dekad yang lalu.
2. Amerika Syarikat menyalurkan lebih US3 billion setiap tahun kepada rejim Mubarak terutamanya untuk persenjataan dan pertahanan.
3. Mesir merupakan ’buffer’ atau ’pintu penghalang’ bagi menyekat sebarang ancaman serta menjamin keselamatan dan keamanan Israel.
4. ’Terusan Suez’ yang terletak di Mesir adalah merupakan nadi kepentingan ekonomi Amerika Syarikat serta sekutunya bagi menyalurkan minyak dan gas.
5. Rejim Mesir juga adalah sahabat terbaik dalam usaha Amerika Syarikat menentang ’pengganas’ dan ekstrimis Islam.

Namun realiti yang yang sedang berlaku dijalan-jalanraya di seluruh Mesir ini tidak pernah dijangkakan oleh pembuat polisi di ’Rumah Putih’. Mereka telah bertahun melatih polis dan tentera elit Mesir bagi menentang ’keganasan’ dan ancaman ’kebangkitan rakyat’. Mereka juga membekalkan segala jenis persenjataan dan alatan komunikasi moden kepada tentera Mesir bagi menghadapi ancaman ’Musuh’. Dan musuh terbesar mereka adalah kumpulan Islam terutamanya Ikhwan muslimin.

Kenapa pula rakyat Mesir dari pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan muda telah bangkit walaupun menghadapi ancaman ditangkap ataupun dibunuh oleh pihak keselamatan Mesir yang amat digeruni selama ini? Tidak lain dari sebab-sebab berikut;
1. Rejim Mubarak telah memerintah hampir 30 tahun secara diktator dan kuku besi.

2. Tiada sebarang ruang demokrasi dan hak bersuara. Rejim Mubarak telah memenangi pilihanraya Presiden dan parlimen secara penipuan dengan memanipulasi undi serta menyekat hak dan kebebasan bersuara rakyat.

3. Kadar rasuah serta penyalahgunaan kuasa amat ketara terutamanya dari kalangan kerabat dan ahli keluarga Mubarak serta kelompok elit kecil yang menyokong Mubarak.

4. Kekayaan negara berputar di sekeliling pimpinan Parti politik yang menyokong Mubarak serta sekutu rapat mereka dengan kehidupan mereka yang terlalu mewah.

5. Kenaikan harga barang keperluan harian seperti gamdum, gula dan beras yang melambung tinggi sehinggga membebankan rakyat miskin.

6. Kadar pengganguran yang terlalu tinggi terutamanya dari kalangan golongan muda sehingga mencecah lebih 60 peratus.

7. Kadar kemiskinan yang terlalu tinggi sehingga mencecah lebih 70 peratus di mana rakyat Mesir hidup di bawah paras RM$4 sehari.

8. Kesedaran generasi muda untuk mendapatkan hak dan kebabasan mereka dari cengkaman rejim ini.

9. Penggunaan teknologi baru IT seperti Twitter dan Facebook. Di anggarkan lebih 30 peratus remaja Mesir mempunyai facebook sendiri dan mereka telah berhubung melalui Facebook dan Twitter bagi menggerakkan rakyat keluar ke jalan-jalanraya.

10. Kekejaman rejim Mubarak yang telah membunuh serta memenjarakan ribuan para ulama, para cendekiawan serta pejuang hak asasi di Mesir.


Ya, doktrin sejagat yang di perjuangkan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya sentiasa mengaku bahawa mereka mempertahankan nilai-nilai tradisi mereka iaitu pilihanraya, kebebasan sivil, hak asasi manusia serta kebebasan bersuara. Tetapi di dalam perkiraan mereka dengan negara-negara umat Islam, nilai-nilai ini seolah-olah sudah tidak menjadi releven. Malahan mereka melihat dan menilai kebangkitan rakyat yang sedang berlaku di merata pelusuk dunia Arab sebagai ancaman yang perlu dihapuskan. Apa yang sedang berlaku di Mesir seolah-olah telah menjadikan mereka ‘histeria’ sehinggakan tidak dapat menerima hakikat rakyat mahukan perubahan dan hak kebebasan mereka.

Perkembangan yang sedang berlaku di Mesir, dengan jelas menunjukkan sikap ‘berat sebelah’ Amerika Syarikat ini didalam polisinya ‘untuk mempertahankan rejim kejam serta mencabul hak asasi’. Persoalannya, apakah definasi serta kayu-ukur yang digunakan oleh Amerika Syarikat bagi melaksanakan keadilan antarabangsa ini terutamanya terhadap negara-negara umat Islam? Jawapannya jelas, mereka mahu menjaga kepentingan ‘minyak’, melindungi negara Zionis Israel serta meneruskan hegemoni mereka terhadap negara-negara umat Islam. Ini ditambah pula apabila pemimpin seperti Mubarak bertindak ‘memanggil Barat’ bagi menghadapi ancaman kebangkitan rakyat yang sedang berlaku ini.

Bagi Amerika Syarikat serta sekutunya, kekejaman rejim Mubarak tidak menjadi persoalan. Tiadanya hak serta kebebasan kepada rakyat juga tidak menjadi sebarang masalah. Bagi mereka, alasan terbaik kepada dunia antarabangsa bagi menolak tuntutan perubahan di Mesir adalah bahaya ancaman kumpulan Islam seperti Ikhwan Muslimin kerana sekiranya mereka berkuasa, mereka akan menubuhkan sebuah negara berbentuk ’Teokratik’ serta melaksanakan Syariah Islam.
Pakar-pakar pembuat polisi di Washington juga mengakui bahawa sekiranya di benarkan ‘ruang kebabasan dan demokrasi serta pemilihan berbentuk demokratik’ di Mesir dan negara-negara Timur Tengah nescaya rakyat akan memilih ‘pemimpin yang tidak mendokong polisi Washington serta bersifat anti-Amerika dan anti-Israel’.

Persoalan sekarang apakah benar Amerika Syarikat mahu ‘mengembangkan demokrasi’ serta ‘mengembalikan keadilan’ kepada rakyat di Mesir dan Timur Tengah. Atau apakah benar ‘perang keatas terroris’ yang di lancarkan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya benar-benar bermatlamatkan untuk memerangi pengganas? Ataupun kini ianya hanya sebagai ‘helah’ bagi mereka melaksanakan polisi jangka panjang mereka.

Namun kepentingan ‘strategik Amerika’ adalah merupakan faktor terpenting bagi mereka terus menguasai negara-negara Arab. Pemerintah yang ‘adil’ seperti Mubarak adalah pemerintah yang tunduk kepada arahan Amerika Syarikat dan kerajaan yang ‘demokratik’ yang ada di Mesir adalah ‘sokongan serta jaminan keselamatan terhadap Israel serta polisi minyak mereka untuk kepentingan Amerika Syarikat’.

Doktrin ‘Pax Americana’ yang meletakkan Amerika Syarikat dan Britain sebagai kuasa terunggul di dunia pasti akan berakhir. “Kuasa Rakyat’ yang sedang melanda dunia Islam tidak akan dapat disekat lagi walaupun dengan segala kepakaran dan persenjataan yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya. Rakyat akan terus bangkit dan menyemarakkan tuntutan ‘hak serta kebebasan mereka’ yang dinafikan oleh rejim boneka Amerika Syarikat selama ini.. Bagi saya, apa yang sedang berlaku di Mesir dan Tunisia akan merubah pola politik Dunia Islam dan antarabangsa buat selama-lamanya…

Tiada ulasan: