Khamis, 22 Januari 2009

Rakyat Malaysia di Dubai derma RM50 ribu untuk Palestin


HarakahdailyWed | Jan 21, 09 | 3:28:08 pm MYT- DUBAI, 21 Jan (Hrkh) - Kempen kesedaran isu Palestin dan kekejaman regim Israel seperti yang berlaku di Gaza berjaya menarik perhatian bukan sahaja penduduk Malaysia malah meliputi juga rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.Kempen tersebut juga meletakkan matlamat untuk memastikan apa jua kutipan yang diberikan oleh rakyat Malaysia benar-benar sampai kepada saluran perjuangan Islam yang amat memerlukannya pada masa ini.

Ini terbukti dengan kejayaan program khas yang dianjurkan oleh pertubuhan yang mengumpulkan penduduk Malaysia yang bekerja di Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang dikenali Persatuan MyUAE-Pro dengan kerjasama Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) yang berjaya mengumpulkan dana berjumlah hampir RM50 ribu hasil sumbangan rakyat yang berada di Dubai 19 Januari lalu.

Program tersebut berjaya dianjurkan dengan kehadiran Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Syed Nawawi dan juga wakil Muslim Care Malaysian Society (Muslim Care), Ahmad Sayuti Bashiron.

Kunjungan itu adalah sebahagian daripada aktiviti yang diatur sepanjang program perjumpaan mereka bersama pimpinan Hamas disamping menyerahkan secara terus semua dana kutipan yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada tangan pejuang Islam di dalam negara bergolak tersebut.

Dalam ucapan tersebut, Syed Azman menekankan bahawa adalah menjadi suatu kewajipan secara peribadi ke atas setiap umat Islam di mana sahaja untuk turut melakukan apa jua sumbangan yang termampu demi membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin. "Matlamatnya kelak yang mesti do'akan adalah untuk seluruh ummat Islam dapat menunaikan solah berjamaah di Masjidil Aqsa sama seperti mereka melaksanakannya di dua buah lagi Masjid Suci yang lain", tegas beliau di majlis tersebut.

Beliau turut menekankan hikmah dengan isu kezaliman 3 minggu Israel mengempur Gaza ini telah membuka mata rakyat seluruh dunia yang selama ini amat lalai terhadap penjenayah sebenar dunia yang masih bermaharajalela walau sudah 60 tahun perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin telah dilancarkan.

Sumbangan daripada MyUAE-Pro turut diserahkan melalui Presidennya, Ariffin Mamat kepada Syed Aman dan Muslim Care selepas taklimat yang dihadiri hampir 50 rakyat Malaysia tersebut.

Dalam ucapannya Ariffin menegaskan bahawa sessi penerangan secara khusus seperti ini amat penting bagi mereka terutama rakyat yang bekerja di negara Arab yang langsung tidak bersungguh menangani isu Palestin dan ummat Islam seperti di sini.

Melalui MyUAE beliau juga mengambil initiatif malakukan kutipan dana untuk Palestin ketika perhimpunan tahunan My-UAE serta hari keluarga yang diadakan pada 1 Januari 2009 baru-baru ini dengan melancarkan tabung khas dana Palestin tersebut. - mr_

Tiada ulasan: