Sabtu, 10 Januari 2009

Rakyat KT tidak akan termakan 'gula-gula' BN - Syed Azman

HARAKAHDAILY, WAKAF MEMPELAM, 10 Jan (Hrkh) - Rakyat atau lebih khusus pengundi di Parlimen Kuala Terengganu tidak akan termakan dengan 'gula-gula' yang dijanjikan Umno/BN dalam kempen pilihan raya kecil di sini.Demikian kata Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dalam satu ceramahnya di Kampung Kuala Bekah malam tadi.

Turut hadir ialah, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman; Exco Kedah, Dr Ismail Salleh dan Adun Seri Setia, Nik Nazmi (KeADILan).

"Rakyat di sini sudah matang dan tahu permainan yang dilakukan Umno/BN ini.Mereka hanya mahu menipu rakyat dengan janji-janji mereka, sedangkan selepas pilihan raya mereka akan hilang entah ke mana," kata beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Sebelum ini ketika PAS memerintah Terengganu, wang royalti minyak dirompak oleh kerajaan Pusat, katanya.

Sebaliknya selepas BN memerintah semula Terengganu, wang tersebut diberi semula namun begitupun rakyat di sini tidak mendapat faedahnya, kata beliau.

"Rakyat Terengganu terus miskin sedangkan pemimpin BN kaya raya," katanya.

Beliau yakin, rakyat di sini boleh menilai prestasi buruk yang ditunjukkan kerajaan negeri selain calon BN yang jarang sekali turun padang melihat kesengsaraan rakyat.

Baginya, apa sahaja yang ditabur termasuk janji wang, projek dan kemudahan sudah tidak termakan oleh pengundi di Kuala Terengganu.

Sebaliknya, rakyat di sini sudah muak ditipu oleh BN di setiap kali pilihan raya berlangsung, katanya.

"Rakyat di sini tidak laparkan wang ringgit dan janji projek, tetapi mereka mahukan perubahan kerana berasa semakit terhimpit di bawah pemerintahan BN," katanya.

Beliau yakin pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini akan dimenangi calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan seterusnya akan mewakili suara rakyat di sini.

Rakyat di sini juga tidak akan termakan dengan janji Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyatakan akan melantik calon BN, Dato' Wan Farid Wan Saleh sebagai Timbalan Menteri jika menang, katanya.

Sebaliknya rakyat di sini mahu kesejahteraan hidup dan seorang wakil rakyat yang benar-benar dekat kepada rakyat, katanya.

Sehubungan itu PAS menyertai pilihan raya kali ini untuk menghantar seorang lagi wakil ke Parlimen untuk menyuarakan hak rakyat, katanya.

Sejurus selepas ucapan Syed Azman itu, Presiden PAS telah dijemput untuk menerima penyerahan borang pembukaan cawangan baru di Kampung Kuala Bekah.

Kira-kira 100 penduduk kampung menghadiri ceramah sempena majlis penyerahan borang penubuhan cawangan baru tersebut.

Pada masa yang sama, kira-kira 50 orang anggota polis ditempatkan semasa ceramah tersebut berlangsung.

Berikutan kehadiran ramai anggota polis di hadapan tempat ceramah tersebut, jalan agak sesak, malah beberapa orang penduduk melahirkan rasa kesal dengan kehadiran terlalu ramai polis di kawasan mereka. - wann/mks. _

Tiada ulasan: