Selasa, 19 Mei 2009

KONSEP SATU MALAYSIA – IMPIAN MENYELAMATKAN UMNO/BN


Saban hari media arus perdana sering memperkatakan tentang ‘Konsep Satu Malaysia’, yang di cetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Ia kini meniti dibibir setiap pemimpin UMNO/BN di seluruh negara yang melaungkan slogan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”, Sebagai Perdana Menteri yang baru dilantik, slogan ini di utarakan kepada rakyat sebagai kesinambungan dua kepimpinan terdahulu dalam impian membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju . Malah Ia mirip seperti konsep “bersih, cekap dan amanah” yang diperjuangkan perdana menteri keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad serta slogan “cemerlang, gemilang dan terbilang” yang diperjuangkan perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pelbagai kalangan masyarakat kini cuba memahami apa itu konsep Satu Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri yang baru dilantik ini? Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri berkata bahawa ia bukan sekadar satu slogan sebaliknya merupakan suatu agenda perlaksanaan “bagi memastikan tiada golongan atau kaum yang akan terpinggir di negara ini. Ia antara lain bererti rakyat berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan keluar daripada bertindak dalam tembok etnik sekian lama di samping saling percaya dan menghormati”.

Namun bagi saya, jika diteliti secara mendalam, apa yang diamalkan oleh kedua-dua mantan perdana menteri terdahulu hanya tinggal sekadar slogan yang usang dan tidak memberi apa-apa erti kepada rakyat Malaysia. Di era pemerintahan Tun Mahathir, slogan ‘bersih cekap dan amanah’ hanya tinggal menjadi omongan kosong apabila sepanjang pemerintahan beliau sarat dengan budaya ‘kuku besi’ dan ‘authoritarian’ yang mengerikan. Hak-hak asasi rakyat terus dinafikan serta berlakunya pencabulan barleluasa dalam tiga cabang kuasa dalam sistem demokrasi iaitu sistem kehakiman yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, eksekutif yang diketuai oleh Tun mahathir dan parlimen yang sepatutnya berfungsi dan beroperasi secara berasingan dengan pengawasan dan keseimbangan antara satu sama lain. Begitu juga dengan slogan ‘“cemerlang, gemilang dan terbilang’ di era pemerintahan Tun Abdullah Badawi. Beliau di nilai oleh ramai kalangan sebagai seorang pemimpin yang terlalu lemah mentadbir, dan begitu mudah di manipulasi oleh orang disekelilingnya. Malah era pemerintahan Pak Lah di anggap ramai sebagai berstatus “kabinet kroni dan anak menantu”.

Persoalan besar di pemikiran setiap rakyat kini adalah bagaimana pula dengan pengamalan slogan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”? Bagi saya ia hanya sekadar slogan yang bersifat kosmetik semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Malah pengamalan “Satu Malaysia” adalah terlalu ampuh dan setelah didapati dukungan Cina dan India terhadap Umno-BN merosot parah, maka dikumandangkan semula slogan Satu Malaysia. Ianya tidak lebih untuk menawan hati pengusaha kaya Cina asalkan tidak menjejaskan kepentingan projek, kontrak dan habuan kroni mereka.

Yang jelas, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak beliau cuba menutup segala kelemahannya dengan satu lagi slogan kosong yang tidak akan banyak memberi erti kepada rakyat Malaysia yang dahagakan suatu transformasi dan perubahan yang menyeluruh dalam pemerintahan. Bagaimana mungkin ia terlaksana sekiranya budaya rasuah, kronisma, amalan boros dan pembaziran serta perkauman masih hidup subur dalam budayanya?

Malahan, pemimpin-pemimpin UMNO terpaksa mencerna satu lagi slogan bagi mengelirukan rakyat walhal hakikat yang dilaku adalah sebaliknya. Kalau di teliti slogan Satu Malaysia tersebut, sejak bila rakyat Malaysia didahuluka dan sejak bila pula prestasi di utamakankan oleh kerajaan UMNO/BN? Dan isu lebih mendesak dari sudut prosedur tender, ketelusan, mengelak amalan boros, rasuah dan pembaziran tidak ditangani sehingga sekarang.

Bagi saya slogannya terlalu ampuh kerana sudah sejak sekian lama pemimpin-pemimpin UMNO/BN menjadikan senjata ‘agama dan kaum’ sebagai alat utama bagi mengabui mata rakyat serta menyerang pembangkang. Malah sehingga kehari ini mesaj bersifat perkauman sempit serta usaha menakut-nakutkan kaum Cina dan India terhadap ‘bahaya agama’ yang di bawa oleh Pas terus di canang dan di propagandakan oleh pemimpin UMNO/BN.
Lihat sahajalah apa yang berlaku di Perak sebagai contoh. Bagaimana mungkin mereka melaksanakan konsep satu Malaysia apabila sentimen perkauman yang sempit terus di mainkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO bagi meraih sokongan dari kalangan masyarakat Melayu. Pas dan Dato Sri Nizar yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak difitnah sebagai “alat Cina” dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira implikasi dan kesannya kepada perpaduan kaum yang wujud di negara kita. Begitu juga dengan perjalanan sistem kehakiman negara yang berterusan diragui oleh sebilangan masyarakat apabila adanya kess-kes berprofil tinggi telah di adili dengan cara yang amat meragukan masyarakat. Ini di tambah pula dengan kes-kes rasuah dan salahguna kuasa berstatus ‘jerung-jerung’ yang melibatkan pemimpin tertinggi UMNO/BN yang sehingga sekarang di ‘cold storage’ tanpa sebarang kesudahan. Yang nyata ‘bilis-bilis kecil’ terus menjadi mangsa kepada perjalanan sistem yang amat pincang ini.

Malah bagi saya gagasan Satu Malaysia itu akan terus dimanipulasi oleh pemimpin UMNO terutamanya bagi menjamin ‘talian hayat’ politik mereka di persada politik tanahair. Namun mereka sudah tidak dapat lari lagi dari sikap serta amalan diskriminatif serta perkauman mereka yang sememangnya wujud sejak sekian lama yang kini sedang menjerat setiap pimpinan UMNO sehinggakan mereka kehilangan kredibiliti serta keyakinan di kalangan rakyat terutamanya dari kalangan masyarata Cina dan India.

Sebaliknya Pas dan rakan-rakan Pakatan Rakyat telah dapat membuktikan semangaat kerjasama dan setiakawan yang baik tanpa mengira kaum dan agama. Bagi Pas slogan ‘Pas untuk Semua’ telah berjaya memenangi hati nurani rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan India. Mereka dapat menilai keikhlasan pemimpin-pemimpin Pas serta polisi yang dilaksanakan berlandaskan ‘keadilan Islam’ yang tidak bersifat perkauman dan sempit. Malah Pakatan Rakyat sendiri yang kini memerintah lima negeri telah dapat membuktikan pembinaan negara dengan berpaksikan kepada perpaduan dan integrasi kamu yang mantap serta kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama yang di lindungi bagi melonjakkan kemajuan negara ke era baru.

Yang penting adalah reformasi besar yang sedang ditunggu-tunggu oleh setiap warga Malaysia; kearah perubahan ketelusan dan keadilan di dalam sistem kehakiman, hak-hak asasi setiap rakyat terjamin, sistem pilihanraya yang lebih bersih dan adil serta sebuah sistem pemerintahan yang adil dan saksama berpaksikan kepada kepentingan rakyat jelata tanpa tanpa mengira status dan kedudukan. Inilah impian sebuah “Malaysia yang adil’.

Rabu, 13 Mei 2009

ULAMA DAN PROFESIONAL – POLEMIK ATAU RAHMAT?

Media arus perdana seolah-olah ‘berpesta’ sejak akhir-akhir ini apabila mereka membuat liputan meluas tentang ‘polemik’ kepimpinan Pas menjelang pemilihan parti pada muktamar Jun ini. Kehangatan ini ditambah lagi dengan penulisan di pelbagai blog yang memberikan pandangan pro dan kontra mengenai pemilihan kepimpinan Pas. Adanya gambaran seolah-olah kepimpinan Pas kini berpecah kepada dua kelompok yang saling bersaing dengan wujudnya ‘team kerajaan Unity’ yang mendokong kepimpinan ulama dan ‘team Erdogan’ yang mahukan merebut dominasi golongan profesional dalam kepimpinan Pas.

Namun saya tidak berminat untuk mengulas lebih lanjut mengenai isu ‘team kerajaan unity’ dan ‘team Erdogan’ kerana ianya telah terlalu banyak di perkatakan oleh pelbagai pihak sejak kebelakangan ini. Namun bagi saya, usaha mewujudnya kelompok dalam Pas adalah perancangan sulit dari luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan dan kemantapan yang sedia ada dalam kepimpinan Pas.

Terkini timbul pula perbincangan hangat mengenai kedudukan ulama dan golongan profesional didalam Pas. Timbul perbahasan mengenai siapa yang lebih layak memimpin Pas dari kedua-dua kelompok kepimpinan ini. Ada yang menyatakan ulama lebih layak memimpin Pas sesuai dengan kedudukan dan martabat yang ada pada mereka. Begitu juga ada yang memberi pandangan bahawa institusi ulama didalam Pas mesti diperkasakan dengan lebih mantap lagi sesuai dengan perkembangan politik tanahair terkini.
Bagi saya berbeza pandangan atau pendapat didalam membincangkan persoalan kepimpinan ulama dan profesional tidak menjadi sebarang masalah kerana sejak sekian lama kekuatan Pas adalah terbina dari gabungan kemantapan kedua-dua kelompok ini. Cuma yang amat tidak sihat adalah apabila adanya unsur luar yang cuba mengheret kepimpinan Pas kedalam kancah polemik yang tidak menguntungkan ini.

Bukankah kekuatan Pas selama ini adalah hasil dari gabungan mantap daripada kalangan pimpinan ulama, profesional, intelektual dan para aktivis parti yang sangat dekat dengan rakyat? Malah mereka dipilih untuk memimpin Pas di segenap peringkat sehingga kepad kepimpinan tertinggi melalui pelbagai proses yang paling demokratik dan akhirnya disaring dan diluluskan oleh Majlis Syura' Ulama Pas sendiri.

Apa yang jelas, dari sudut sejarah perjuangan Pas, ia tidak pernah meminggirkan kedua-dua kelompok ini. Malah sejak sekian lama mereka inilah yang menjadi tunjang dan nadi kekuatan Pas. Pemimpin bertaraf ulama amat diperlukan untuk memimpin sebuah parti yang memperjuangkan Islam seperti Pas tetapi pada masa yang sama Pas juga tidak pernah menafikan kebolehan dan kapasiti pemimpin lain yang bukan terdiri dari kalangan ulama.

Justeru itu Pas jauh berbeza daripada organisasi dan parti lain termasuk UMNO kerana Pas adalah ‘terbuka’ dan tidak menetapkan golongan mana berhak menerajui kepimpinan tertinggi sama ada ulama atau professional asalkan ia memenuhi cirri-ciri kepimpinan Islam yang di perjuangkan oleh Pas.

Begitu juga dengan keyakinan rakyat kini untuk berpayung dibawah Pas sebagai wadah alternatif kepada UMNO/BN. Mereka yakin dengan ‘keterbukaan Pas’ yang telah menyediakan kesempatan dan peluang luas untuk mereka merialisasikan cita-cita perjuangan mereka khususnya untuk membela Islam dan menegakkan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Ini ditambah lagi disaat rakyat sedang melalui suatu anjakan perubahan minda dalam menilai cirri-ciri kepimpinan negara. Sokongan yang diterima adalah akibat dari keyakinan rakyat bahawa kepimpinan Pas adalah berwibawa, dan bersih. Lebih membanggakan lagi apabila Pas telah berjaya menawarkan ramai pimpinannya yang berwibawa, berilmu dan bersifat amanah. Malahan kehebatan pimpinan Pas jauh mengatasi pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang dinilai rakyat sebagai tidak berwibawa, bergelumang dengan rasuah dan tidak bersih.

Bagi saya sokongan setiap ahli Pas kepada kedua-dua kelompok pemimpin utama parti samada dari kalangan ulama ataupun profesional tidak sesekali akan mewujudkan pengaruh yang berbeza-beza. Malahan setiap ahli Pas mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama sesuai dengan perjuangan Pas yang berteraskan Islam dan keadilan sejagat.
Malah hasil tarbiyah berterusan yang ditekankan oleh para ulama Pas selama ini yang menitikberatkan mengenai akhlak, ilmu, ketrampilan sebagai pemimpin Islam, cerdas dan dinamik. Jelas kesan dari pentarbiyahan ini telah menghasilkan kepimpinan Pas yang berkualiti tinggi dipelbagai peringkat. Malahan hampir semuanya pimpinan Pas adalah lulusan universiti dalam dan luar negara. Kebanyakan mereka fasih bertutur dalam bahasa Arab dan Inggeris, berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan ilmu-ilmu pemerintahan lain.

Begitu juga sumbangan golongan intelek professional didalam Pas. Pimpinan Pas kini kebanyakannya ‘celik IT’ dan mampu menguasai bidang IT, mempunyai bacaan yang luas dan terdedah di peringkat nasional dan internasional. Di samping itu mereka banyak terlibat dengan kerja kemasyarakat dan kemanusiaan seperti membantu umat islam di Palestin, menghantar pasukan perubatan membantu mangsa tsunami, banjir besar, kebakaran, kemarau dan pelbagai misi kemanusiaan lagi di segenap pelusuk negara.
Yang jelas kekuatan Pas pada hari ini adalah lahir melalui gabungan yang wujud diantara para ulama dan profesional. Dengan terlaksananya gabungan mantap ulama dan profesional dalam Pas, tidak ada satu parti politik pun di Malaysia yang boleh menandingi kekuatan PAS. Malahan gabungan kerjasama erat yang wujud inilah yang menjadi ‘ramuan’ utama PAS terus kekal kuat dan dekat dihati rakyat Malaysia sehingga kini.

Jangan disis-siakan pengurbanan besar serta laluan yang telah di buka luas oleh Al Marhum Dato Fadzil Nor, mantan Presiden Pas. Bagi saya al-Marhum adalah sosok peribadi pemimpin yang menguasai konteks, realiti dan cabaran pentas perjuangannya. Gabungan antara ulama dan professional didalam Pas telah berjaya dimantapkan bersesuaian dengan kedudukan dan bidang yang dikuasai oleh masing-masing tanpa sebaran perasaan prasangka buruk.

Inilah intisari kekuatan fikrah al-Marhum yang di bina didalam Pas. Beliau telah mempamerkan penguasaan kepemimpinannya, mempengaruhi setiap tindak rencana politiknya dalam menangani setiap pergolakan politik dan persimpangan getir dalam kesinambungan perjuangan parti. Ketelitian fikrahnya juga dapat saya rasakan sehingga kini. Setiap ahli dan penyokong Pas semestinya berbangga dengan penerokaan Al marhum Dato Fadzil Nor yang telah berjaya memecahkan segala tembok tebal yang terbina sejak sekian lama dan meletakkan Pas terus gah tertegak dan berkembang di bumi Malaysia sehingga kini.

Jumaat, 1 Mei 2009

KEPIMPINAN Pas - 'kumpulan ulama' Vs.'kumpulan Erdogan'?



Membaca pelbagai penulisan serta ‘analisa politik dalaman Pas’ yang begitu rancak di sebarkan di media perdana sejak beberapa hari lalu amat menarik untuk di ulas. Ini ditambah pula dengan kerancakan mesyuarat kawasan-kawasan Pas yang sedang berlangsung di seluruh negara. Pokok utama perbincangan adalah mengenai pemilihan pucuk pimpinan parti yang bakal menerajui pimpinan Pas menjelang muktamar Pas yang ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada awal Jun ini.

Gambaran yang di paparkan adalah pertarungan sebenar aliran-aliran utama di dalam Pas, khususnya golongan pro-muzakarah yang di labelkan sebagai ‘kumpulan ulama’ dan pro-Pakatan Rakyat yang di labelkan sebagai ‘kumpulan Erdogan’. Isu ini kian hangat diperkatakan apabila adanya bererapa pertandingan di peringkat kawasan serta pencalonan untuk menerajui jawatan tertinggi didalam Pas.

Dua persoalan utama yang sering di perdebatkan serta dilemparkan kepada umum adalah; pertamanya, apakah Pas telah menggadaikan prinsip perjuangannya setelah menjalinkan kerjasama di dalam Pakatan bersama PKR dan DAP? Dan keduanya, apakah benar-benar wujud golongan pro-muzakarah yang di labelkan sebagai ‘kumpulan ulama’ dan pro-Pakatan Rakyat yang di labelkan sebagai ‘kumpulan Erdogan’ ?

Namun saya lebih berminat untuk mengulas kenyataan dua orang ‘tokoh akademik’ yang bergelar Profesor yang sering di beri liputan meluas untuk menyerang Pas terutama di saat adanya pilihanraya Umum, pilihanraya kecil maupun pemilihan parti Pas. Saya ingin merujuk kenyataan Prof. Dato' Dr. Zainal Kling, mantan pensyarah Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya dan Prof. Dr. Mohamad Mustafa, pensyarah Undang-undang dan Sains Politik Universiti Utara Malaysia yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian minggu lepas.

Pertamanya Dr. Zainal Kling, seorang profesor yang terkenal dengan sikap ultra nasionalis serta sentiasa dilihat sebagai pembela Melayu/UMNO sejak sekian lama beliau menjadi pensyarah di Univeristi Malaya lagi. Beliau menyatakan bahawa keadaan kontradiksi antara dua puak didalam Pas iaitu golongan ulama dan golongan professional menjadikan suasana dalaman Pas sentiasa ‘tegang’ demi memenuhi cita-cita masing-masing.

Beliau menambah lagi bahawa “Pas terpaksa berlagak sekular dengan mengenepikan ideologi ketuhanan dalam Islam. Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah akui akan kerjasama dengan syaitan. Ini dapat di buktikan dengan jelas. Pas tidak lagi bercakap tentang negara islam tetapi hanya mempertahankan gagasan kemanusiaan dan kebajikan”.

Bagi beliau disebabkan pertentangan dalaman ini, Pas terpaksa berhadapan dengan tuduhan ‘hamba kepada idealogi sekular’ di semping terpaksa berkorban untuk mencairkan ideology Islam pada asalnya. Malah beliau menyatakan lagi bahawa; “Jika golongan ulama gagal menerajui kepimpinan tertinggi Pas bermakna ia akan merubah parti tersebut menjadi semakin secular. Pas juga akan dilihat sebagai sebuah parti ‘pelakon politik’ yang menggunakan islam sahaja”.

Manakala pandangan seorang lagi pensyarah, Dr. Mohamad Mustafa seorang profesor Undang-undang dan Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) juga dirujuk. Beliau juga terkenal sebagai seorang penganalisis politik tanahair yang lebih barsifat menjadi pembela Melayu/UMNO. Beliau menyatakan bahawa Pas akan mudah mengikut telunjuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) satelah kumpulan yang menyokong Datuk Sri Anwar Ibrahim berjaya menyingkirkan kumpulan Presidan Pas Datuk Sri Abdul Hadi Awang. Tambahnya lagi kewujudan puak yang menyokong Anwar ini akan menyebabkan Pas terbahagi kepada dua kumpulan dan berpuak-puak.

Malah beliau menyatakan bahawa; “mereka (PKR) telahpun menguasai Mursyidul Am Pas, Datuk Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan akan menjatuhkan Hadi Awang dan Timbalannya Nasharuddin Mat Isa kerana tidak bersependapat dalam isu gabungan Pas-UMNO pada Muktamar nanti. Tujuan utama golongan tersebut adalah untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat antara Pas dan PKR, golongan itu berusaha untuk menguasai Pas demi kepentingan PKR dan seterusnya menuruti telunjuk PKR”.

Bagi saya adalah tidak mengejutkan sama sekali apabila kenyataan terbuka Datuk Dr. Zainal Kling seakan-akan senada dengan Dr. Mohamad Mustafa terhadap Pas. Bagi saya, memberi pendapat kedua-dua tokoh akademik pro-UMNO ini adalah lebih berbentuk kecaman negatif terhadap Pas. Adalah tidak sedikitpun menghairankan kerana mereka ini sudah sejak sekian lama membuat pelbagai ‘analisa akademik’ (?) dan melihat peranan Pas di dalam kancah politik tanahair dengan penuh sinis dan negatif. Kedua-duanya terkenal dengan sikap ‘ultra nasionalis’ dan sentiasa berpandangan ‘pro-UMNO’ hatta di dalam kajian akademik mereka sendiri.
Namum bagi saya adalah amat memualkan apabila kedua-duanya ada bergelar profesor boleh membuat kenyataan sedemikian rupa. Di manakah etika akademik yang mereka pakai apabila pandangan mereka ini lebih berbentuk ‘emosi kebencian’ terhadap Pas, begitu cetek dan tidak mempunyai daya akademik (scholarly) langsung. Apakah mereka mahu meletakkan daya pemikiran politik mereka setaraf dengan JKKK kampong dan tidak di hormati oleh masyarakat umum?

Amat malang jika seseorang profesor masih dalam kotak pemikiran lamanya mengenai perkembang semasa dan gagal memahami perubahan politik tanahair. Terlalu dangkal daya pemikiran Dr. Zainal Kling apabila menyatakan bahawa
Maka terfikir juga saya di manakah daya pemikiran mahasiswa yang mereka pimpin di menara gading selama ini yang sejak sekian lama di kongkong bagaikan anak-anak sekolah oleh AUKU dan pentadbir Universiti sendiri?

Yang nyata, Pas bukan sebuah parti politik murahan yang boleh diperkudakan oleh mana-mana pihak. Pas mempunyai organisasinya yang tersendiri dan setiap kepimpinan perlu patuh kepada displin dan adab-adab parti. Tidak timbul soal golongan pro-muzakarah yang di labelkan sebagai ‘kumpulan ulama’ dan pro-Pakatan Rakyat yang di labelkan sebagai ‘kumpulan Erdogan’.