Rabu, 2 Februari 2011

MESIR – ’KUASA RAKYAT’ MENCABAR HEGEMONI AMERIKA SYARIKAT

Perkembangan ’kebangkitan rakyat’ yang sedang melanda Tunisia, Mesir, Yemen, Jordan serta seluruh benua Arab kini cukup-cukup menggerunkan Amerika Syarikat serta sekutu mereka di Timur Tengah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila rakyat secara spontan bangkit dan keluar kejalan-jalanraya menuntut hak dan kebebasan mereka serta mahukan rejim yang ada digulingkan. Selepas Tunisia, lebih membimbangkan lagi mereka apabila ratusan ribu rakyat di Mesir dari semua lapisan masyarakat bangkit menuntut hak dan kebebasan mereka serta menuntut rejim Mubarak turun dari takhta pemerintahan.

Kenapa Amerika Syarikat dan sekutunya begitu bimbang dengan kemungkinan kejatuhan rejim Mubarak di Mesir? Tidak lain dari sebab-sebab berikut;
1. Mesir adalah sekutu terpenting Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah sejak lebih 4 dekad yang lalu.
2. Amerika Syarikat menyalurkan lebih US3 billion setiap tahun kepada rejim Mubarak terutamanya untuk persenjataan dan pertahanan.
3. Mesir merupakan ’buffer’ atau ’pintu penghalang’ bagi menyekat sebarang ancaman serta menjamin keselamatan dan keamanan Israel.
4. ’Terusan Suez’ yang terletak di Mesir adalah merupakan nadi kepentingan ekonomi Amerika Syarikat serta sekutunya bagi menyalurkan minyak dan gas.
5. Rejim Mesir juga adalah sahabat terbaik dalam usaha Amerika Syarikat menentang ’pengganas’ dan ekstrimis Islam.

Namun realiti yang yang sedang berlaku dijalan-jalanraya di seluruh Mesir ini tidak pernah dijangkakan oleh pembuat polisi di ’Rumah Putih’. Mereka telah bertahun melatih polis dan tentera elit Mesir bagi menentang ’keganasan’ dan ancaman ’kebangkitan rakyat’. Mereka juga membekalkan segala jenis persenjataan dan alatan komunikasi moden kepada tentera Mesir bagi menghadapi ancaman ’Musuh’. Dan musuh terbesar mereka adalah kumpulan Islam terutamanya Ikhwan muslimin.

Kenapa pula rakyat Mesir dari pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan muda telah bangkit walaupun menghadapi ancaman ditangkap ataupun dibunuh oleh pihak keselamatan Mesir yang amat digeruni selama ini? Tidak lain dari sebab-sebab berikut;
1. Rejim Mubarak telah memerintah hampir 30 tahun secara diktator dan kuku besi.

2. Tiada sebarang ruang demokrasi dan hak bersuara. Rejim Mubarak telah memenangi pilihanraya Presiden dan parlimen secara penipuan dengan memanipulasi undi serta menyekat hak dan kebebasan bersuara rakyat.

3. Kadar rasuah serta penyalahgunaan kuasa amat ketara terutamanya dari kalangan kerabat dan ahli keluarga Mubarak serta kelompok elit kecil yang menyokong Mubarak.

4. Kekayaan negara berputar di sekeliling pimpinan Parti politik yang menyokong Mubarak serta sekutu rapat mereka dengan kehidupan mereka yang terlalu mewah.

5. Kenaikan harga barang keperluan harian seperti gamdum, gula dan beras yang melambung tinggi sehinggga membebankan rakyat miskin.

6. Kadar pengganguran yang terlalu tinggi terutamanya dari kalangan golongan muda sehingga mencecah lebih 60 peratus.

7. Kadar kemiskinan yang terlalu tinggi sehingga mencecah lebih 70 peratus di mana rakyat Mesir hidup di bawah paras RM$4 sehari.

8. Kesedaran generasi muda untuk mendapatkan hak dan kebabasan mereka dari cengkaman rejim ini.

9. Penggunaan teknologi baru IT seperti Twitter dan Facebook. Di anggarkan lebih 30 peratus remaja Mesir mempunyai facebook sendiri dan mereka telah berhubung melalui Facebook dan Twitter bagi menggerakkan rakyat keluar ke jalan-jalanraya.

10. Kekejaman rejim Mubarak yang telah membunuh serta memenjarakan ribuan para ulama, para cendekiawan serta pejuang hak asasi di Mesir.


Ya, doktrin sejagat yang di perjuangkan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya sentiasa mengaku bahawa mereka mempertahankan nilai-nilai tradisi mereka iaitu pilihanraya, kebebasan sivil, hak asasi manusia serta kebebasan bersuara. Tetapi di dalam perkiraan mereka dengan negara-negara umat Islam, nilai-nilai ini seolah-olah sudah tidak menjadi releven. Malahan mereka melihat dan menilai kebangkitan rakyat yang sedang berlaku di merata pelusuk dunia Arab sebagai ancaman yang perlu dihapuskan. Apa yang sedang berlaku di Mesir seolah-olah telah menjadikan mereka ‘histeria’ sehinggakan tidak dapat menerima hakikat rakyat mahukan perubahan dan hak kebebasan mereka.

Perkembangan yang sedang berlaku di Mesir, dengan jelas menunjukkan sikap ‘berat sebelah’ Amerika Syarikat ini didalam polisinya ‘untuk mempertahankan rejim kejam serta mencabul hak asasi’. Persoalannya, apakah definasi serta kayu-ukur yang digunakan oleh Amerika Syarikat bagi melaksanakan keadilan antarabangsa ini terutamanya terhadap negara-negara umat Islam? Jawapannya jelas, mereka mahu menjaga kepentingan ‘minyak’, melindungi negara Zionis Israel serta meneruskan hegemoni mereka terhadap negara-negara umat Islam. Ini ditambah pula apabila pemimpin seperti Mubarak bertindak ‘memanggil Barat’ bagi menghadapi ancaman kebangkitan rakyat yang sedang berlaku ini.

Bagi Amerika Syarikat serta sekutunya, kekejaman rejim Mubarak tidak menjadi persoalan. Tiadanya hak serta kebebasan kepada rakyat juga tidak menjadi sebarang masalah. Bagi mereka, alasan terbaik kepada dunia antarabangsa bagi menolak tuntutan perubahan di Mesir adalah bahaya ancaman kumpulan Islam seperti Ikhwan Muslimin kerana sekiranya mereka berkuasa, mereka akan menubuhkan sebuah negara berbentuk ’Teokratik’ serta melaksanakan Syariah Islam.
Pakar-pakar pembuat polisi di Washington juga mengakui bahawa sekiranya di benarkan ‘ruang kebabasan dan demokrasi serta pemilihan berbentuk demokratik’ di Mesir dan negara-negara Timur Tengah nescaya rakyat akan memilih ‘pemimpin yang tidak mendokong polisi Washington serta bersifat anti-Amerika dan anti-Israel’.

Persoalan sekarang apakah benar Amerika Syarikat mahu ‘mengembangkan demokrasi’ serta ‘mengembalikan keadilan’ kepada rakyat di Mesir dan Timur Tengah. Atau apakah benar ‘perang keatas terroris’ yang di lancarkan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya benar-benar bermatlamatkan untuk memerangi pengganas? Ataupun kini ianya hanya sebagai ‘helah’ bagi mereka melaksanakan polisi jangka panjang mereka.

Namun kepentingan ‘strategik Amerika’ adalah merupakan faktor terpenting bagi mereka terus menguasai negara-negara Arab. Pemerintah yang ‘adil’ seperti Mubarak adalah pemerintah yang tunduk kepada arahan Amerika Syarikat dan kerajaan yang ‘demokratik’ yang ada di Mesir adalah ‘sokongan serta jaminan keselamatan terhadap Israel serta polisi minyak mereka untuk kepentingan Amerika Syarikat’.

Doktrin ‘Pax Americana’ yang meletakkan Amerika Syarikat dan Britain sebagai kuasa terunggul di dunia pasti akan berakhir. “Kuasa Rakyat’ yang sedang melanda dunia Islam tidak akan dapat disekat lagi walaupun dengan segala kepakaran dan persenjataan yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya. Rakyat akan terus bangkit dan menyemarakkan tuntutan ‘hak serta kebebasan mereka’ yang dinafikan oleh rejim boneka Amerika Syarikat selama ini.. Bagi saya, apa yang sedang berlaku di Mesir dan Tunisia akan merubah pola politik Dunia Islam dan antarabangsa buat selama-lamanya…

Selasa, 16 Mac 2010

SEPULUH TAHUN PENAFIAN ROYALTI MINYAK TERENGGANU – PENGAJARAN BESAR KEPADA RAKYAT KELANTAN



Pada 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak dalam ucapannya di Parlimen, menyatakan bahawa;
“Tuan Yang di-Pertua, semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974”. Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor pun telah bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut perjanjian itu, “Tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di dalam negeri masing-masing, sama ada yang diperolehi itu dalam perairan ataupun di luar perairan negeri tersebut yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”

Maka sejak dari tarikh tersebut Kerajaan Negeri Terengganu telah menerima wang royalti minyak secara langsung dengan tunai bernilai hampir RM7 bilion selama 22 tahun tanpa sebarang gangguan dan sekatan sepertimana yang terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu.

Namun sebaik sahaja Pas berjaya menawan Terengganu pada pilihanraya umum ke 11 tahun 1999, pelbagai usaha telah dijalankan bagi menyekat serta menafikan hak royalti kepada kerajaan Terengganu. Maka pada 5 September 2000, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menarik balik royalti minyak Terengganu dan menggunakan kaedah baru yang dikenali “Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan” tanpa menyalur terus kepada kerajaan negeri lima peratus royalti petroleum.

Malahan Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa “pembayaran royalti lima peratus kepada Terengganu selama 25 tahun oleh Petronas adalah satu kesilapan”. Lebih malang lagi ada menteri dan pimpinan UMNO negeri Terengganu sendiri yang sanggup mengkhianati hak dan amanah rakyat Terengganu ini serta menyatakan bawawa perjanjian antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas hanyalah merupakan suatu MOU sahaja. Apakah mereka ini buta dan memejamkan mata dan menolak hak yang telah termeterai dalam perjanjian yang dilaksanakan sejak 25 tahun yang lalu dengan Petronas?

Perlu di fahami bahawa dengan penarikan balik wang royalti kepada kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Pas pada tahun 2001 Kerajaan Pusat telah memaksa sebuah negeri yang merupakan sebahagian daripada negara Malaysia bertukar dari sebuah negeri yang berdaulat dan bebas yang menyertai Persekutuan Malaysia secara sukarela dan terhormat kepada sebuah negeri peminta sedekah yang hanya layak diberikan Ehsan dan bukannya hak yang termeterai didalam perjanjian.

Dengan tindakan yang tidak bermaruah ini, Kerajaan Pusat secara terbuka memaklumkan kepada dunia bahawa ia bersedia untuk menjajah mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia yang diingininya biarpun tindakan tersebut berlawanan dengan Perlembagaan Negara dan kehendak rakyat. Ini adalah kezaliman dan keterlanjuran yang amat jelek sekali. Lebih parah lagi ianya merupakan suatu pencabulan kepada prinsip demokrasi berparlimen, konsep Federalisma serta bertentangan dengan perlembagaan negara kita sendiri.

Begitu juga apakah yang sedang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Kelantan juga boleh dianggap sebagai ‘Ehsan’? Bagi saya ini sebenarnya adalah suatu lagi kezaliman yang dikenakan kepada sebuah Kerajaan Negeri yang mendapat mandat yang sah daripada rakyat melalui sistem demokrasi yang mereka sendiri angung-agungkan. Ini bukan bayaran Ehsan tetapi bayaran nazi ataupun bayaran zalim yang berniat meyiksa rakyat Kelantan yang telah memberi mandat kepada kerajaan PAS sepertimana yang telah berlaku kepada negeri Terengganu pada tahun 2001. Malah mereka kini sanggup menghina dan menghukum 1.8 juta rakyat Kelantan yang 96 peratus adalah berbangsa Melayu Islam.

Jika diimbas kembali implikasi kepada penafian royalti yang dilakukan terhadap kerajaan Terengganu dari tahun 2001, banyak pengajaran yang boleh didapati oleh kerajaan Kelantan yang kini berhadapan dengan situasi yang sama sekarang ini;
Yang pertama, bila wang royalti digantikan dengan Ehsan, adakah bermakna bahawa wang itu adalah daripada duit Petronas sebab tidak dijelaskan oleh Menteri Kewangan kita ataupun wang ini daripada duit Kerajaan Pusat ?
Yang kedua, kalau duit itu daripada Petronas, adakah Kerajaan Pusat dari segi perundangan dan undang-undang, berhak mengambil royalti bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu ?
Yang ketiga, kalau duit itu dari Kerajaan Pusat, di bawah item mana dalam buku Belanjawan yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun dari tahun 2001 yang menyatakan dengan jelas tentang wang Ehsan tersebut ?
Yang keempat ialah apabila wang ini diberikan kepada rakyat secara langsung oleh Kerajaan Pusat, apakah ini dikatakan sebagai menghormati rakyat? Apakah apabila kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan adanya pilihan raya setiap lima tahun, penghormatan kepada rakyat, bukan sahaja dengan kita membantu rakyat tetapi kita menghormati pilihan rakyat memilih sebuah kerajaan negeri untuk menguruskan sumber kewangan mengikut tatacaranya sendiri?

Namun apa yang berlaku di negeri Terenggnu adalah merupakan suatu pengajaran besar kepada seluruh rakyat Kelantan yang cintakan keadilan. Penarikan serta penafian royalti minyak kepada kerajaan Terenggan bukan sahaja telah menghukum rakyat Terengganu, malahan menghukum keseluruhan rakyat Malaysia yang selama ini amat mnghurmati sistem demokrasi berparlimen serta konsep Federalisma yang diamalkan di Malaysia. Malahan pelabur-pelabur asing juga mula ragu dan mula menarik diri serta menjauhi pelaburan mereka di Malaysia sedangkan pada masa yang sama ekonomi serantau menunjukkan kemakmuran.

Lebih memeritkan lagi sepanjang wang royalti Terengganu di rompak oleh kerajaan Persekutuan UMNO/BN dan diletakkan dibawah ‘Program Tabung Pembiayaan Wang Ehsan’ negeri Terengganu septutnya BERHAK menerima royalti berjumlah lebih dari RM15.4 billion dari tahun 2000-2009.

Jika diperincikan perbelanjaan ‘wang Ehsan’ yang diurus oleh Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh 9 tahun royalti yang di nafikan kepada kerajan Terengganu, mereka berbelanja semewah-mewahnya;
A. Projek-projek
- Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal
- Monsoon Cup
- Lebuhraya pantai Timur
- Stadium baru Sultan Mizan
- Pembinaan Lapangan Terbang Baru
Jumlah RM7.1 billion

B. Kementerian

Jumlah RM7.7 billion

C. Pembinaan rumah oleh Syarikat Perumahan Negara bhd. Di negeri Terengganu
Jumlah RM102 juta


D. Perbelanjaan kepada negeri-negeri lain selain Terengganu
Jumlh RM 900 juta


E. Pembinaan rumah Syarikat Perumahan Negara Bhd. Di negeri-negeri lain selain Terengganu
Jumlah RM771 juta


JUMLAH KESELURUHAN RM 16.5 BILLION TERMASUK PENGELUARAN


Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional selepas mereka menafikan hasil royalti ini? Yang nyata mereka telah berbelanjakan semewah-mewahnya royalti minyak secara langsung dengan tunai bernilai tidak kurang daripada RM15.4 bilion. Wang ihsan yang kononnya untuk membantu golongan miskin seperti nelayan, petani, penarik beca di Terengganu di jaja secara meluas sehinggakan rakyat Terengganu di perangkap dan terpenjara dengan ‘budaya subsidi’ UMNO/BN.

Amat menakjubkan apabila budget kerajaan Terengganu setiap tahun sepanjang lima tahun terakhir ini mencecah hampir RM 2 billion dan yang kedua tertinggi di Malaysia serta mengatasi negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Bayangkan tidak ada negeri di Malaysia ini yang memperuntukkan lebih RM 50 juta setiap tahun untuk berbelanja Hari Raya sahaja! Tidak ada negeri di Malaysia ini yang memperuntukkan lebih RM 7 juta untuk membeli buah kurma dan air zamzam untuk rakyatnya! Malah tidak ada negeri di Malaysia ini yang memperuntukkan lebih RM11 juta bagi memberi subsidi ‘atap biru’ kepada rakyat.

Begitu juga dengan ‘projek-projek runtuh’ seperti Stadium Sultan Mizan yang runtuh bumbungnya, Makmal komputer sekolah yang juga runtuh bumbungnya, pasar baru yang juga runtuh bumbungnya serta Kolam renang yang bocor dan tidak boleh digunakan. Inilahlah keajaiban Kerajaan Terengganu di bawah UMNO/BN sepanjang royalti di tarik dan di letakkan di bawah Dana Ehsan.

Namun, persoalan yang terus bermain di minda seluruh rakyat Terengganu sehingga kini adalah dengan wang yang sebesar jumlah ini, mengapakah rakyat Terengganu terus dihimpit kemiskinan dan mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi iaitu 17.3 peratus dengan rakyatnya kebanyakannya hidup merempat, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, walaupun pendapatan per kapita Terengganu adalah yang kedua tertinggi di seluruh negara.
Amat jelas, walaupun negeri Terengganu mendapat kekayaan yang besar dari sumber royalti minyak tetapi rakyat hidup dalam keadaan yang merempat. Adakah pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang ada sekarang ini menganggap rakyat Terengganu tunggul kayu, pak turut dan bodoh sehinggakan mereka boleh di perkotak-katikkan secara tidak bermaruah. Tetapi inilah cara yang dilakukan oleh UMNO/BN yang berbentuk, daylight robbery bagi menafikan hak yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Terengganu selama ini.

Ya ini ada pengajaran awal kepada seluruh rakyat Kelantan dan syabas kepada Tengku Razaligh Hamzah yang berjaya mengenepikan sentimen kepartaian sempit bagi membela rakyat Kelantan. Ya, saya yakin kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz akan menyeret UMNO dan Barisan Nasional ke mahkamah, tetapi bukan ke mahkamah yang ada ini, tetapi akan membawa mereka ke mahkamah rakyat. Biarlah rakyat yang akan menjadi hakim dan biarlah rakyat yang akan membuat perhukuman terhadap kezaliman-kezaliman pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang ada sekarang ini.
Ya, di Terengganu kite ini...Menteri Besarnya kini sibuk menguruskan kedatangan bintang Bollywood seperti Sharukh Khan dan Ranee Mukherjee serta beberapa selebreti filem bollywood untuk pengembaraan filem percintaan...Ya penyu akan terus menangis lagi...inilah nasib rakyat Terengganu

Isnin, 25 Januari 2010

Memperingati Serangan terhadap Gaza setahun


Memperingati genap setahun serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza – airmata kesedihan dan kepiluan

Sebagai memperingati genap setahun serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza, bunyi siren memecah suasana hening di segenap penjuru Kota pada 27 Desember 2009. Tepat setahun tentera rejim Zionis Israel menyerang serta menceroboh semenanjung Gaza dengan melakukan pelbagai kekejaman terhadap penduduk awam serta kemusnahan seluruh infrastruktur di sana.

Apakah masyarakat Dunia mahu melupakan terus rintihan serta tangisan yang memilukan penduduk Gaza ini? Pencerobohan yang dilakukan oleh tentera Zionis ke atas bumi suci ini telah genap setahun tanpa sebarang perikemanusiaan. Mereka menggunakan segala kelengkapan kereta kebal serta helicopter Apache buatan Amerika serta jet-jet pejuang bagi membunuh penduduk awam di Gaza. Malah tindakan ganas tentera Zionis telah melanggar segala batasan undang-undang antarabangsa, hak asasi kemanusiaan serta melakukan suatu jenayah perang yang besar.

Apa yang lebih menyedihkan lagi adalah sebahagian besar dari masyarakat umat Islam sendiri yang tidak peka untuk berbicara tentang masalah yang sedang berlaku di bumi Palestin ini. Tambahan pula sehingga kini boleh dikatakan semua badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), serta Pertubuhan Sidang Negara-Negara Islam (OIC) kesemuanya membisu seribu bahasa terhadap jenayah perang yang telah dilakukan oleh tentera rejim Zionis ini.


Namun setelah setahun tercetusnya perang selama 22 hari antara pergerakan Hamas dengan tentera rejim Zionis, suasana di bumi Gaza terus berada di dalam keadaan yang menyedihkan. Tentera Zionis Israel dengan sokongan kuasa besar Amerika Syarikat kini terus melakukan kepungan di bumi yang berpenduduk 1.4 juta orang itu bagaikan penjara terbesar dunia tanpa sebarang perikemanusiaan.

Mereka terus menyekat laluan udara, laluan laut serta darat dan memutuskan bekalan letrik dan air serta menghalang sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan dari sampai kepada penduduk di Gaza. Begitu juga sehingga kini mereka juga terus memenjarakan ramai pimpinan kerajaan HAMAS, anggota Parlimen serta gabenur dan ketua wilayah.

Malah terkini atas tekanan kepada kerajaan Mesir rejim Zionis ini telah menghalang suatu konvoi ‘Viva Palestina Convoy 3’ yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign bagi membawa masuk bahan perubatan dan makanan dari sampai kepada penduduk awam Gaza. Deligasi sukarelawan dari pelbagai negara ini diterajui oleh ahli Parlimen Britain, George Galloway dan telah berjaya mengumpulkan lebih dari 240 ambulan dan kenderaan pelbagai jenis untuk menghantar bantuan ubat-ubatan dan lain-lain barang keperluan harian kepada rakyat awam Gaza.

Pada awalnya ramai kalangan masyarakat dunia melihat suatu harapan baru dengan perlantikan Presiden Barrack Hussien Obama sebagi Presiden Amerika Syarikat, namun slogan ’Perubahan’ berteraskan keamanan dan perpaduan. Namun sehingga kini keamanan yang diimpikan di Gaza dan Palestin hanya tinggal mimpi. Dalam waktu yang sama rejim Zionis terus merampas harta dan rumah-rumah penduduk Palestin. Malah mereka terus membina tembuk-tembuk pemisah di tengah-tengah bumi Palestin tanpa mempedulikan bantahan masyarakat antarabangsa dan menjadikan lebih 1.5 juta penduduk Gaza di layan seperti binatang. Apakakah ’perdamaian’ begini yang Obama dan Barat mahukan? Mereka bercakap soal solusi 2 negara sedangkan di waktu yang sama di Tebing Barat tanah-tanah penduduk Palestin terus di rampas dan di jajah secara rakus

Perlu di ingati bahawa tujuan dan matlamat utama rejim Zionis Israel menyerang bumi Gaza adalah tiga; pertamanya untuk menghancurkan seluruh infrastruktur serta seluruh persenjataan yang dimiliki oleh pergerakan Hamas. Keduanya untuk menghapuskan serta membunuh semua kepimpinan tertinggi Hamas dan ketiganya bagi mengembalikan kepimpinan di Gaza kepada pemerintahan di bawah pergerakan Fatah. Namun ketiga-tiga matlamat ini gagal di capai oleh rejim Zionis serta sekutunya. Malahan mereka kini di hantui oleh kritikan dunia antarabangsa yang mahu mengheret pemimpin mereka ke muka keadilan Mahkamah Antarabangsa di kota Hague.

Lebih mengemparkan lagi apabila segala kekejaman rejim Zionis ini telah dibongkarkan sendiri oleh “Laporan Goldstone” yang menggariskan ‘Jenayah Perang’ yang di lakukan oleh pemimpin rejim Zionis ini. Malah Majlis Hak Asasi, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (HRC-UN) telah mengundi bagi mengiktiraf sepenuhnya Laporan Goldstone ini.

Laporan setebal 526 halaman itu merupakan hasil siasatan ke atas perang 22 hari di Semenanjung Gaza akhir tahun lalu dinamakan sempena nama mantan seorang hakim Mahkamah Persekutuan Afrika Selatan, Richard Goldstone. Ia telah merumuskan bahawa serangan rejim Zionis Israel pada 2008-2009 ke atas Hamas adalah sebenarnya mensasarkan kepada seluruh penduduk awam Gaza dan merupakan suatu ‘jenayah ‘Perang’ yang perlu di adili oleh Mahkamah Antarabangsa. Lebih menarik apabila Goldstone sendiri adalah seorang berketurunan Yahudi.

Begitu juga dengan lapuran yang di sediakan oleh lembaga kemanusiaan dunia termasuk Amnesti Internasional dan Oxfam yang mengariskan bahawa dunia antarabangsa telah mengkhianati warga awam di Gaza kerana gagal mencegah segala kekeaman serta sekatan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel. Lembaga pertubuhan Human Rights Watch juga telah meletakkan kesalahan kepada Israel dan dan melapurkan bahawa pemimpin Zionis Israel telah terlibat dalan ‘Jenayah Perang’ di Gaza. Inilah kejahatan yang di lakukan oleh mereka sehinggakan dunia antarabangsa kini bersedia mengheret pemimpin rejim zionis ini kemuka pengasdilan.

Antara fakta kemusnahan yang di lakukan oleh Zionis Israel sepanjang perang 22 hari di Gaza adalah;
1. Lebih 1400 orang awam terbunuh terbunuh
- 450 orang terdiri dari kanak-kanak yang terbunuh
- 510 terdiri dari wanita yang terbunuh
2. Lebih 5600 cedera parah
3. Masjid-masjid yang di musnahkan
- 42 musnah terus
- 111 rosak teruk
4. 47 institusi pengajian dan sekolah di bom
5. 27 bangunan kerajaan yang musnah

Bagi di Malaysia, kita amat berterima kasih kepada seluruh warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama yang telah membantu meringankan penderitaan umat Islam Palestin. Ini adalah sebahagian dari tuntutan dan kewajipan bersama bagi membantu saudara-saudara kita terutamanya yang sedang terkepung di Gaza sekarang ini.

Dan inilah juga pernegasan Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Mishaal sewaktu penulis bertemu di beliau di Damascus baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa bahawa seluruh rakyat Palestin kini sedang berada di belakang HAMAS. “Walaupun kami sedang dikepung oleh tentera Zionis Israel di segenap sudut dan menghadapi ujian yang amat getir, namun kami amat yakin dengan janji-janji Allah swt. terhadap mereka yang berjuang serta membela bumi suci Palestin dan Masjid Al-Aqsa”.

Beliau menegaskan bahawa seluruh warga dan rakyat Malaysia hendaknya terus mendukung perjuangan rakyat Palestin dan sentiasa mendoakan kejayaan dalam mempertahankan tanah suci yang telah di rampas dan hak semua tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak untuk dibebaskan dari penjara Zionis.

Begitu juga didalam menyampaikan berita dan maklumat kepada masyarakat umum terhadap masalah konflik Zionis Israel–Palestin. Ini boleh disampai melalui surat, media massa, perhimpunan dan pernyataan pendapat. Ingatlah bahawa isu ini bukan konflik antara Israel–Palestin semata-mata. Tapi ini adalah konflik perancangan Barat yang di dokong oleh Amerika Syarikat dan Zionis bagi menentang Islam dan gerakan Islam yang sedang bangkit. Atas dasar inilah beliau amat mengharapkan seluruh rakyat Malaysia, parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan NGO dan media massa berusaha menyampaikan maklumat yang sebenarnya apa yang sedang berlaku di bumi Gaza Palestin. Jenayah perang sedang dilakukan oleh tentera Zionis Israel dengan dokongan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Belau sekali lagi mengucapkan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah bersama-sama membantu serta membela rakyat Palestin yang tertindas. ”Doakan kejayaan kami agar kami sentiasa bersabar menghadapi ujian besar ini. Dengan izin Allah swt. Kita akan sama-sama bertemu di Masjid Al-Aqsa untuk bermunajat di hadapan yang maha agung”.

Inilah pesanan yang di sampaikan kepada kita semua di Malaysia. Sama-sama kita mengambil renungan dan berdoa agar kejahatan Zionis Israel akan hancur jua dan saudara-saudara kita di Gaza yang di berikan kemenangan.

Selasa, 15 September 2009



Sheikh Dr. Mahmud Siyyam – Masyarakat Palestin hargai sumbangan besar Pas


Bekas Imam besar Masjid Al Aqsa yang di halau oleh rejim Zionis Israel Sheikh Dr. Mahmud Siyyam telah mengadakan kungungan ke Malaysia sempena program ‘Jelajah Ramadhan’ yang di atur oleh lajnah hal Ehwal Antarabangsa Pas. Beliau juga sempat bertemu dan berbincang dengan saya sebagai Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa Pas. Dalam pertemuan tersebut beliau melahirkan rasa terimakasih serta berbangga dengan komitment yang di tunjukkan oleh pimpinan Pas serta seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dalam membantu penderitaan yang di lalui oleh saudara-saudara mereka di bumi Palestin.

Sepanjang beradadi Malaysia Sh Siyyam sempat mengadakan kuliah di masjid dan beberapa pusat pengajian tinggi awam serta menziarahi negeri Terengganu, Kedah. Kelantan serta Selangor. Kutipan derma serta sumbangan bagi membantu rakyat Palestin juga turut di lancarkan sepanjang program berjalan.

Beliau mengingatkan seluruh Umat islam Malaysia agar prihatin terhadap kejahatan Zionis Israel yang sekarang ini sedang berusaha merobohakan seluruh masjid Aqsa yang merupakan Qiblat pertama Umat Islam. “Umat Islam seluruh dunia mesti bangkit menentang perancangan jahat Zionis ini bagi menyelamatkan Masjid Aqsa” ujar beliau lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa bahawa seluruh rakyat Palestin kini sedang berada di belakang perjuangan gerakan Muqawammah (pembebasan) ”Walaupun kami sedang dikepung oleh tentera Zionis Israel di segenap sudut dan menghadapi ujian yang amat getir, namun kami amat yakin dengan janji-janji Allah swt. terhadap mereka yang berjuang serta membela bumi suci Palestin dan masjid Al-Aqsa”.

Di akhir pertemuan tersebut, Dr. Mahmud Siyyam sekali lagi menegaskan komitment seluruh warga Palestin yang cintakan Islam bahawa “Kami tidak akan mengiktiraf rejim Zionis Isreal kerana mereka merampas bumi kami, membunuh anak-anak serta ibu-ibu kami dan mereka merampas kiblat kami yang pertama iaitu Masjid Al-Aqsa. Sampaikan sallam perjuangan dan rasaterim,akasih kami kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan bumi Palestin”.

Rabu, 19 Ogos 2009

REFORMASI DAN DIALOG PENDEMOKRASIAN DI DUNIA ISLAM¬– CABARAN BARU KEPADA PENTADBIRAN OBAMA

Perkembangan yang amat menarik di Timur Tengah sejak Obama mengambil-alih kepimpinan Amerika Syarikat adalah arus kebangkitan yang mendesak kearah hak-hak ‘kebebasan bersuara’ dan ‘pendemokrasian’ yang melanda rantau itu. Tuntutan ini di pelupori oleh pertubuhan-pertubuhan Islam serta parti-parti politik liberal yang kembali menuntut hak mereka secara terbuka untuk bersama-sama terlibat secara bebas dan adil dalam proses demokrasi dan pilihanraya. Di Mesir, Syria, Arab Saudi serta Tunisia perhimpunan serta demonstrasi di jalan-jalan raya telah diadakan bagi mendesak pemerintah agar mengembalikan hak demokrasi serta kebebasan di negara masing-masing.

Amerika Syarikat pula yang merupakan kuasa terunggul yang menentukan percaturan di Timur Tengah dan dunia Islam di dalam reaksinya seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ kepada perubahan pendemokrasian di rantau ini. Mereka secara terbuka telah menggesa agar di berikan hak serta kebebasan di dalam amalan serta proses demokrasi. Reaksi ini merupakan suatu ‘policy shift’ yang baru di dalam penilaian Washington terhadap demokrasi dan kebebasan di dunia Islam dan Timur Tengah terutamanya yang melibatkan pertubuhan-pertubuhan serta gerakan Islam.

Malahan beberapa siri pertemuan dan dialog di antara pembuat polisi di Washington dengan pimpinan gerakan Islam yang di anggap ‘radikal dan ekstrimis’ di Timur Tengah dan negara-negara Islam telah di adakan. Perubahan polisi ini adalah akibat dari saranan beberapa ‘think thank’ yang berpengaruh di Washington agar kerajaan Amerika Syarikat ‘listen and talk’ (mendengar dan berbincang) dengan pemimpin-pemimpin gerakan Islam di Timur Tengah serta negara-negara Islam.

US Commissionon International Religious Freedom (USCIRF), sebuah think-thank yang menasihatkan Presiden Obama, Kongress serta Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai hak dan kebebasan agama telah mengatur pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kanan Ikhwan Muslimun di Mesir. Malahan Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menggariskan satu memo agar diadakan dialog dan perbioncangan secara berterusan dengan pemimpin pergerakan Ikhwan Muslimun. Mereka juga telah menganjurkan seminar US-Islamic World Forum di Doha, Qatar bagi membincangkan proses pendemokrasian di negara-negara Islam.

Perkembangan ini amat menarik kerana Ikhwan Muslimun adalah pergerakan yang ‘diharamkan’ sejak berpuluh-puluh tahun di kebanyakan negara di Timur Tengah. Malahan kebanyakan pimpinan tertinggi pertubuhan ini di penjara dan puluhan ribu pengikutnya di kenakan pelbagai tindakan oleh pemerintah. Mereka tidak dibenarkan langsung untuk terlibat dalam apa jua bentuk aktiviti bersifat politik yang dianggap boleh mengancam pemerintah.

Lebih menarik lagi apabila pegawai-pegawai tinggi Washington di seminar US-Islamic World Forum di Doha turut menegaskan bahawa mereka bersedia ‘menerima’ penglibatan kumpulan-kumpulan Islam yang sebelum ini di labelkan sebagai ‘terroris dan pengganas’ seperti Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lubnan di dalam proses pendemokrasian tetapi pertubuhan ini mesti memahami ‘the rules of the game’. Malah Peter Singer dari Brookings Institute yang berpengkalan di Washington turut menyarankan agar Hamas serta Hizbullah meninggalkan perjuangan bersenjata mereka dan terlibat terus dalam proses demokrasi yang sedang berjalan di negara masing-masing.

Selain dari itu, European Union (EU) juga telah membuat ‘perubahan polisi’ apabila mereka membuat keputusan agar di buka ‘pintu dailog’ dengan pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam di Timur Tengah bagi menggalakkan lagi transisi kearah pendemokrasian. EU melihat bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam di sana perlu di berikan ruang untuk sama-sama terlibat didalam proses pendemokrasian serta di berikan hak untuk bergerak bebas.

Persoalannya apakah ‘new policy shift’ Amerika Syarikat serta EU kearah pendemokrasian di Timur Tengah dan dunia Islam ini sudah mula merobah sikap serta prejudis mereka terhadap pertubuhan-pertubuhan Islam untuk turut sama terlibat didalan proses demokrasi?

Yang pastinya sejak sekian lama pertubuhan serta gerakan Islam yang dilihat dari kacamata Washington sinonim dengan ‘fundamentalis’, ‘radikal’, ‘militan’, ‘fanatik’ atau ‘ekstrimis’. Yang digambarkan adalah sekelompok Muslim yang berjambang serta menunjukkan sifat-sifat ‘bengis’ dan ‘ganas’. Lebih parah lagi apabila polisi Washington pasca September 11 melihat pertubuhan Islam sebagai mempunyai kaitan rapat dengan ancaman ‘Global terrorism’ .


Namun terlalu banyak persoalan yang perlu di jawab oleh pembuat polisi di Washington. Apakah mereka telah bersedia untuk merubah polisi luarnya di Timur Tengah serta negara-negara Islam yang selama ini bersifat ‘hostile’ dan ‘dangerous’? Profesor Bahram Fozooni, seorang pakar perhubungan Antarabangsa dari University of California menyatakan bahawa ada empat faktor utama yang mendorong polisi ‘double standard’ ini;

Pertamanya pengaruh rejim Zionis Israel yang begitu kuat keatas Kongres Amerika Syarikat. Mereka percaya bahawa kebangkitan Islam yang di pelopori oleh pertubuhan-pertubuhan Islam adalah amat bahaya kepada ‘keamanan’ di rantau tersebut. Masadepan serta survival rejim Zionis Israel perlu di pertahankan bagi menghadapi kebangkitan ini.

Keduanya, negara Arab yang dianggap ‘sederhana’ adalah merupakan sekutu rapat Washington. Kebimbangan mereka terhadap pertubuhan-pertubuhan Islam lebih besar bahayanya dari rejim Zionis itu sendiri dan dengan alasan ‘ancaman terroris’ inilah Amerika Syarikat membina kekuatan ‘ketenteraan’ mereka di sana.

Ketiganya selepas kehancuran Soviet Union, Amerika Syarikat terus mencari alternatif kepada musuh lama mereka. Yang pasti kebangkitan Islam serta gerakannya menjadi musuh utama selepas kejatuhan Soviet ini. Peluru-peluru berpandu nuklar yang dahulunya ditujukan kepada Soviet sekarang ini telah berpindah kepada ancaman baru di Iran dan Syria serta Sudan.

Dan keempat, pihak risikan Amerika seperti CIA dan FBI terus menerus meletakkan bahawa pertubuhan serta gerakan Islam adalah amat bahaya kepada masadepan Amerika dalam arena politik antarabangsa. Cadangan-cadangan yang di berikan untuk menghadapi pertubuhan-pertubuhan Islam adalahg bersifat “menghapuskan terroris dan pengganas”.

Persoalannya apakah Washington telah bersedia menerima kenyataan bahawa konflik yang berlaku di bumi Palestin, Afghanistan dan Iraq dengan jelas menunjukkan sikap ‘berat sebelah’ polisinya ‘untuk mempertahankan pencabulan undang-undang antarabangsa’? Bagi saya 4 persoalan pokok ini semestinya di jawab oleh kepimpinan Obama dan sekutunya;

1. Apakah Washington sudah bersedia ‘menghukum’ negara Zionis Israel yang mencabul hak asasi serta membunuh ribuan rakyat Palestin yang tidak berdosa?

2. Atau apakah Washington sudah bersedia melonggarkan hegemoni serta penguasaan mereka terhadap negara-negara umat Islam?

3. Bagimana pula pemimpin-pemimpin negara Islam yang menggunakan ‘ancaman pengganas agama’ pasca Septembar 11 bagi menyekat sebarang bentuk kebebasan serta pendemokrasian dari berlaku terutamanya terhadap pertubuhan-pertubuhan Islam?

4. Apakah ‘kuasa’ pemerintah yang di dokong oleh Washington ini sudah boleh di ganti dengan pihak lain terutamanya dari pertubuhan Islam melalui proses demokrasi?


Namun yang jelas Washington mesti menerima hakikat bahawa mereka mesti mengikis segala sifat prejudis, chuvanis, serta kekalutan terhadap Islam serta penganutnya. Pertubuhan-pertubuhan Islam di serata dunia sedia ‘berdialog’ dan ‘bertukar-tukar fikiran’ dengan mana-mana pihak termasuk penggubal polisi ‘Rumah Putih’ di Washington. Sebagai permulaan Washington mesti melihat gerakan serta pertubuhan Islam sebagai sebahagian dari unsur-unsur positif dan pengukuhan ke arah pendemokrasian di Timur Tengah serta negara-negara Islam seluruhnya..

Isnin, 20 Julai 2009

PERTEMUAN MENTERI PERTAHANAN MALAYSIA - ISRAEL DI PARIS? APA ‘AGENDA TERSIRAT’?

Adalah amat ‘pelik dan memalukan’ apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terpaksa ‘menafikan’ laporan awal yang di keluarkan oleh saluran berita resmi kerajaan Malaysia, Bernama bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa Pertunjukkan Udara Paris di Perancis pada Jun lepas. Sebaliknya menurut kenyataan. terbaru yang dikeluarkan pegawai khasnya, Halim Majid, Ahmad Zahid hanya menemui Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak semasa majlis koktel di pertunjukan udara tersebut.

Namun isu pokok disini bukanlah samada bertemu dengan batang tubuh Netanyahu atau Ehud Barak? Kedua-dua mereka adalah pemimpin kanan negara Zionis Israel dan terlibat secara aktif dalam kancah kepimpinan Zionis yang merampas tanahair serta membunuh penduduk Palestin yang tidak berdosa. Persoalan besar yang timbul sekarang adalah apakah motif sebenar pertemuan kedua-dua Menteri Pertahanan tersebut di kota Paris? Apakah sekadar ‘secara kebetulan’ untuk minum petang atau berkenalan semata-mata? Dan apakah pula implikasinya kepada dasar luar kerajaan Malaysia terhadap negara Zionis Israel? Begitu juga dengan pendirian rakyat serta umat Islam Malaysia terhadap pertemuan ‘sulit’ tersebut?

Malah lebih ‘pelik’ dan ‘dangkal’ lagi Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa pertemuan tersebut bukan atas permintaannya tetapi diminta sendiri oleh pemimpin Israel itu dan beliau adalah satu-satunya Menteri Pertahanan yang ditemui Ehud Barak. Alasan Ahmad Zahid menerima ‘jemputan pertemuan’ itu adalah untuk menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia berhubung isu di Asia Barat kepada Menteri Pertahanan Zionis Israel tersebut.

Persoalannya apakah begitu mudah seorang yang bertaraf Menteri Kanan kerajaan Malaysia boleh bersetuju untuk bertemu dengan seorang pimpinan kanan Zionis Israel walaupun bukan atas permintaan beliau tanpa melihat implikasi dan kesan keatas pertemuan yang di anggap ‘tidak diatur’ tersebut?. Di manakah Ahmad Zahid Hamidi mahu meletakkan ‘dasar luar’ yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia selama ini yang sehingga kini ‘mengharamkan’ setiap warga yang memiliki paspot Malaysia dari memasuki negara haram Israel? Begitu juga dengan ketegasan pengharaman warga Israel dari memasuki negara Malaysia.

Malah Zahid dilapurkan berkata bahawa; "Saya mengenakan syarat kepada beliau (Ehud Barak) sekiranya mahu bertemu dengan saya, iaitu tiada pegawai pengiring daripada pihak Israel, tiada jurugambar dan tiada "double standard", dan beliau akur,".
Bagi saya daya pemikiran daan bacaan politik Ahmad Zahid Hamidi adalah amat dangkal. Implikasi dari pertemuan tersebut bukanlah dengan “tiada pegawai pengiring daripada pihak Israel, tiada jurugambar dan tiada "double standard", tetapi beliau telah meletakkan ‘dasar luar’ Malaysia terhadap negara Zionis Israel itu semakin kabur dan bercelaru. Sedarkah Ahmad Zahid Hamidi bahawa samada beliau bertemu dengan Netanyahu atau Ehud Barak kedua-duanya adalah anggota ‘terroris Zionis’ yang terlibat secara langsung melakukan pelbagai bentuk ‘pencabulan hak asasi manusia’ dan kezaliman terhadap penduduk awan Palestin.

Bagi saya, Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang Menteri Pertahanan seharusnya menjawab persoalan ini;

Pertama kewujudan negara Zionis Israel adalah hasil dari kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan sejak berpuluh-puluh tahun dengan merampas bumi dan hak umat Islam Palestin. Rakyat Palestin telah menjadi mangsa lebih dari setengah abad dimana tanahair mereka dirompak, mereka dihalau daripada rumah kediaman dan tempat kediaman mereka diroboh, kebun-kebun buah Zaitun dan Tin yang merupakan sumber kehidupan mereka juga di bakar dan dimusnahkan. Di atas tanah rampasan inilah pula dibina tempat kediaman pendatang Zionis Yahudi, di mana rakyat Palestin pula dipaksa terus menjadi pelarian tanpa negara.

Kedua, negara Zionis Israel tidak pernah mengenal erti ‘keadilan dan hak asasi manusia’ apabila mereka terus menerus membunuh dan memenjarakan ribuan penduduk Palestin termasuk menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen Palestin. Lebih angkuh lagi sehingga kini mereka terus mengepung bumi Gaza yang berkependudukan sejumlah 1.5 juta orang tanpa sebarang perikemanusiaan. Mereka bertindak memutuskan bekalan letrik dan air serta menyekat sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan dari sampai kepada penduduk yang tidak berdosa.

Ketiga negara Zionis ini juga tidak pernah menghormati sebarang keputusan serta resolusi yang di keluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak mereka menghenti membina penempatan haram di tanah-tanah rampasan serta menyerahkannya kembali kepada penduduk Palestin di Tebing Barat. Malah negara Zionis ini sentiasa mendapat dokongan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuasai oleh Kuasa Besar Dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain yang menjadi anggota tetap yang mempunyai ‘Kuasa Veto’ bagi melindungi setiap kekejaman Zionis Israel. Tambahan pula boleh dikatakan semua badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), dan negara-negara Kuasa Besar G8 membisu seribu bahasa terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Zionis Israel ini.

Keempat di manakah pula pendirian Ahmad Zahid Hamidi terhadap pencerobohan berterusan yang di lakukan oleh Zionis Israel terhadap Qiblat pertama umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa? Apakah pembebasan Masjid Al-Aqsa kekal menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa bagi kerajaan Malaysia atau sudah sampai masanya kerajaan Malaysia mengambil pendirian untuk membuka jalan ‘hubungan diplomatik’ serta ‘mengiktiraf’ kewujudan negara Zionis ini?

Bagi saya, apakah Ahmad Zahid Hamidi tidak malu dengan tindakan protes terhadap kebiadapan Zionis Israel yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki Rejab Tayyeb Erdogan di Persidangan Davos dan Presiden Iran Mahmood Ahmadinejad di Geneva? Apakah Ahmad Zahid tidak merasa malu dengan contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin negara-negara kecil di Amerika Latin seperti Presiden Chavez di Venezuela dan Moralis di Bolivia yang sanggup secara terbuka menghalau duta Israel serta memutuskan hubungan diplomatik bagi menunjukkan rasa simpati kepada rakyat Palastin?

Pokoknya negara Zionis Israel ini telah berpuluh-puluh tahun mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta melakukan jenayah perang yang besar terhadap penduduk awam Palestin. Pertemuan Ahmad Zahid dengan Ehud Barak seharusnya menjadi pengajaran kepada kepimpinan negara bahawa sebahagian besar dari pemimpin dunia Islam termasuk Malaysia sendiri masih di kongkong dengan tekanan dan hegemoni Zionis di negara umat Islam sendiri?

Bagi saya, dasar Luar PAS terhadap negara Zionis Israel ini adalah jelas. PAS sentiasa berdiri teguh dan memberi sokongan padu terhadap intifadah yang di terajui oleh Harakah Muqawammah (Hamas) di bumi Palestin. PAS juga sentiasa mengutuk sikap ‘double standard’ Kuasa Barat khususnya Amerikat Syarikat dan Britain yang secara membabi buta mempertahankan segala tindakan zalim dan tidak bertamaddun negara Zionis ini kononnya atas dasar ‘memerangi keganasan’. Bagi PAS, keamanan dan perdamaian di rantau Asia Barat hanya akan wujud apabila dunia mengembalikan hak serta maruah penduduk Palestin yang di halau dari bumi tanah tumpah darah mereka sejak berpuluh-puluh tahun. Isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa akan tetap kekal menjadi agenda terpenting PAS di peringkat antarabangsa.

Ahad, 5 Julai 2009

IRAN – KEMENANGAN DEMOKRASI AHMADINEJAD DI CEMBURUI BARAT

Dengan terpilihnya Mahmoud Ahmadinejad menjadi Presiden Iran bagi penggal kedua telah membuktikan kepada dunia antarabangsa bahawa mereka amat demokratik dan lebih terbuka dari kebanyakan negara yang menjadi sekutu rapat Barat samada di rantau Teluk dan Timur Tengah. Ia juga menjadi contoh yang terbaik bagi menjadi simbol kemenangan demokrasi di sebuah negara Islam yang mengamalkan ketelusan ‘suara rakyat’. Apa tidaknya, Iran sebagai sebuah negara yang sering ditohmoh sebagai sebuah negara di bawah pemerintahan Mullah ‘berkuku besi’ dan tidak menjamin hak asasi rakyat.

Masyarakat dunia terpukau apabila pemerintah Mullah ini telah membenarkan diadakan debat terbuka di antara calon-calon Presiden dan disiarkan secara langsung di radio dan TV Iran. Dbegitu juga dengan rapat umum serta kempen pilihanraya yang dibenarkan diadakan tanpa sebarang halangan. Malahan media massa termasuk media Barat seperti CNN,BBC dan Al Jazeere telah diberikan kebebasan untuk membuat liputan serta pemberitaan sepanjang kempen berjalan.

Kemenangan Presiden Ahmadinejad dalam Pilihanraya presiden amat mengkagumkan. Beliau telah dengan mendapat 63.3% (24.5 juta undi) berbanding dengan pencabar terdekat Hossein Mousavi yang mendapat 34.2% (13.2 juta undi). Ramai melihat Ahmadinejad menang hasil dari dukungan kuat pengundi-pengundi kelas bawahan yang terdiri dari warga miskin serta kalangan ulamak yang berpengaruh di Iran.

Pemilihan presiden yang berjalan cukup lancar dan aman ini menjadi simbol kemenangan demokrasi di negeri Islam tersebut. Namun kemenangan besar Ahmadinejad ini amat dicemburui oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis serta sekutu Baratnya. Media Barat cuba menggambarkan kepada dunia bahawa Hossein Mousavi sebagai tokoh reformis yang mendapat sokongan majoriti rakyat Iran dan ‘pasti akan menang’. Dia dikatakan menjanjikan keterbukaan hubungan dengan Barat dan akan mengembalikan Iran kepada zaman gemilangnya seperti mana di zaman Shah. Begitu juga dengan kerjasama politik-ekonomi dengan Barat yang di lihat akan memajukan lagi ekonomi Iran. Amerika Syarikat sendiri berkerja keras bagi memastikan ‘kemenangan Mousavi’ dan mewarwar beliau sebagai seorang ‘reformis’ yang amat toleransi terhadap Barat.

Namun sebaik sahaja kemenangan Ahmadinejad di umumkan secara resmi, media Barat dengan propaganda secara agresif terus menyerang Iran dan cuba menggambarkan bahawa pilihanraya kali ini adalah ‘tidak adil’. ‘berat sebelah’ dan wujudnya penipuan besar-besaran oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya Iran. Serangan ‘perang saraf’ terus dilancarkan dengan menggunakan media massa utama seperti The New York Times, Washington Post, CNN dan BBC yang memberi liputan 24 jam secara berterusan terhadap bantahan dijalan-jalanraya oleh ‘ratusan ribu pengundi’ yang dikatakan tertipu dengan keputusan yang tidak munasabah itu. Malahan Kementerian Luar Israel dan pertubuhan Yahudi yang bepengkalan di Amerika Syarikat telah menggesa agar dikenakan tekanan serta sekatan terhadap Iran bagi ’mengembalikan demokrasi dan kebebasan’.

Sementara itu Presiden Amerika Syarikat Barrak Obama, yang sebelum berlangsungnya pilihanraya Iran telah menyatakan “akan mengulurkan tangan persahabatan kepada Iran walau siapapun yang terpilih sebagai presiden”. Namun setelah keputusan tidak menyebelahi mereka beliau telah mengeluarkan ‘kenyataan keras’ membantah kemenangan Ahmadinejad yang dianggap sebagai ‘meragukan’ dan ‘curiga’. Penggubal polisi Rumah Putih itu juga telah ‘membela’ rusuhan yang terjadi di Iran dan mengeluarkan kenyataan bahawa “Biarkan bangsa Iran menentukan sendiri siapa pemimpin mereka” dan “Bangsa Iran merasa dikhianati”.

Amat jelas, sehingga kini para pemimpin Barat dan media-media utama mereka terus mengumandangkan ‘propaganda licik dan jahat’ mereka terhadap kemenangan Ahmadinejad. Mereka melemparkan tuduhan bahawa ‘pilihanraya yang curang’, ‘rakyat mahukan perubahan reformasi’ serta mendukung demonstrasi jalanan yang mereka istilahkan sebagai ‘sedang memperjuangan demokrasi dan kebebasan’. Namun agenda tersirat mereka bukan semata-mata mahukan kemenangan Mousavi tetapi mahu mengguling seluruh kepimpinan Iran yang memerintah berpandukan kepada ‘Wilayat al-fakih’.

Ramai yang bertanya siapakan ‘dalang’ di belakang demonstrasi serta kekacauan yang berlaku selama lebih seminggu selepas pilihanraya tersebut? Dan siapakah pula yang dikatakan sebagai penyokong pro-reformis Houssien Mousavi? Kumpulan ini adalah terdiri dari kalangan penduduk ‘North Tehran Syndrome’ (Utara Tehran) yang hidup mewah yang terdiri dari kalangan peniaga-peniaga yang kaya, golongan kelas menengah atasan yang hidup mewah di Utara Tehran. Manakala golongan muda yang digambarkan oleh media Barat sebagai ‘pejuang demokrasi dan reformasi’ adalah juga dari kalangan anak-anak golongan Utara Tehran ini. Penunjuk-penunjuk perasaan ini di gambarkan oleh media Barat sebagai golongan ‘cerdik’, ‘berpakaian kemas’ dan fasih berbahasa inggeris tetapi mereka ini ternyata kalah teruk dalam pengundian yang telah dijalankan ini Ya, mereka menang di Utara Tehran tetapi dunia tidak pernah di beritahu bahawa mereka kalah teruk di kota besar lain seperti Isfahan, Qom, Kerman dan Khuzestan.

Begitu juga dengan persoalan kenapa Amerika Syarikat serta sekutu Barat mereka begitu ‘takut dan gerun’ terhadap Ahmadinejad dan Iran? Namun kebimbangan paling utama Amerika Syarikat adalah mengenai program nuklear Iran yang telah berjalan lebih 20 tahun. Ini ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan para pimpinan Washington sendiri yang menilai Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad sebagai ‘bukan kawan demokrasi tetapi musuh kepada kebebasan’. Washington juga menuduh program nuklear Iran ini sebagai salah satu usaha Iran untuk mengugat penguasaan Amerika Syarikat dan sekutunya di negara-negara Teluk. Malahan Iran juga di tuduh sebagai dalang kepada ‘ketidakstabilan’ berterusan yang sedang berlaku di Irak dan Afghanistan.

Namun Iran sehingga kini tetep bertegas bahawa program nuklear mereka adalah untuk kepentingan tenaga dan pembangunan negara dan bertepatan dengan piagam ‘Non Proliferation Treaty’ (NPT) yang membenarkan mana-mana negara membangunkan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan. Tambahan pula teknologi yang dibangunkan oleh Iran adalah hasil penelitian ilmiah saintis-saintis tempatan Iran sendiri.
Persoalan besar yang juga timbul sehingga sekarang adalah apakah Amerika Syarikat serta sekutunya Israel akan menyerang Iran? Malah pada awal tahun lalu, Seymour Hersh seorang pengkaji politik terkenal dari majalah The New Yorker telan membongkar 3 ‘tindakan keras’ yang telah digariskan oleh pimpinan Rumah Putih terhadap Tehran. Antaranya;

- merancang pelbagai operasi sulit terhadap Iran, Syria dan juga terhadap pertubuhan Hizbullah di Lebanon termasuk kepada peringkat memberi bantuan kepada kumpulan-kumpulan ekstrimis Sunni yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan Al-Qaeda.

- Menghantar ‘US special forces’ jauh kedalam sempadan Iran untuk melakukan operasi-operasi untuk ‘destabilize Iran’ (menimbulkan ketidakstabilan di Iran), operasi ketenteraan serta untuk melakukan intipan terhadap kepentingan pertahanan dan ketenteraan Iran.

- Kebanyakan ‘Operasi sulit’ yang dijalankan ini adalah di ongkoskan melalui negara sekutu di Teluk bagi mengelakkan persoalan timbul di Kongres Amerika Syarikat. “Wang hitam’ (black money) ini digunakan untuk pelbagai misi sulit di seluruh pelusuk dunia bagi menghadapi ancaman Iran.

Beliau menambah lagi satu ‘planning group’ peringkat tertinggi pegawai ketenteraan di Pantegon telah melebarkan rancangan serangan mereka bukan sahaja terhadap kepentingan nuklear di seluruh Iran tetapi juga terhadap pusat-pusat ketenteraan yang dianggap sebagai terlibat membantu kumpulan-kumpulan militia Syiah di Irak. Strategi baru ini adalah untuk menyekat kebangkitan pengaruh Iran di rantau Teluk yang kini di anggap sebagai ‘ancaman terbesar’ terhadap kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya Israel.

Malah mantan Presiden Bush telah mendapat kelulusan dari Kongres Amerika Syarikat peruntukan berjumlah lebih US$400 juta untuk melalukan aktiviti ‘covert’ (sulit) bagi ‘memporak-perandakan’ Iran serta mewujudkan ketidakstabilan politik dan kepimpinan mereka. Maltlamat terakhir mereka adalah untuuk menggulingkan kerajaan Islam Iran dan menggantikannya dengan boneka Amerika Syarikat di atas nama ‘demokrasi dan ‘kebebasan’.

Begitu juga dengan tindakan terbaru Washington menyenaraikan pasukan tentera elit ‘Iran Revolutionary Guard Corps’ atau IRGC sebagai kumpulan terroris antarabangsa. Washington menuduh tentera elit Iran ini sebagai dalang yang telah memainkan peranan besar bagi membantu serta menyalurkan senjata kepada pergerakan Hizbullah di Lebanon dan Hamas di Palestin. Begitu juga dengan konflik yang sedang berterusan berlaku di Iraq. Washington menuduh IRGC melatih pasukan militia “tentera Mehdi’ serta membekalkan mereka dengan senjata canggih yang telah mengorbankan ribuan tentera Amerika Syarikat di bumi Iraq.

Tindakan yang di ambil oleh Washington ini adalah yang julung-julung kali dilakukan terhadap sesebuah pasukan tentera dari sebuah negara yang di senaraikan sebagai ‘terroris’ oleh Washington. Matlamat utama Washington adalah untuk menyekat sebarang bentuk penyaluran kewangan serta membolehkan mereka menyiasat mana-mana induividu, organisasi atau negara yang mengadakan hubungan dengan pasukan tentera elit Iran ini. Adalah dianggarkan pasukan IRGC ini mempunyai lebih dari 125,000 anggota di seluruh Iran.

Sekutu rapat Amerika Syarikat, Israel juga amat bimbang dengan kemenangan Ahmadinejad ini. Sokongan moral dan ekonomi secara terbuka Presiden Iran ini kepada Pergerakan HAMAS di Palestin telah mengakibatkan Israel terpaksa menilai semula polisi mereka di Timur Tengah. Malahan Ahmadinejad secara konsisten ‘mengecam kewujudan sebuah negara haram Israel’ dan menyeru umat islam seluruh dunia bersatu menentang kezaliman Zionis Israel.

Namun ramai pengkaji-penkaji politik beranggapan bahawa ‘perang Barat terhadap Iran’ ini akan bermakna berlakunya krisis minyak dunia yang lebih teruk dan boleh mengakibatkan berlakunya krisis ekonomi dunia yang bertambah parah. Begitu juga dengan kedudukan Iran yang strategik dan berjiran dengan Iraq dan Afghanistan. Sebarang tindakan ‘perang’ terhadap Iran akan menyemarakkan lagi konflik berterusan yang sedang berlaku di kedua-dua negara tersebut. Malahan pengaruh politik Iran di kedua-dua negara tersebut juga tidak boleh di ambil ringan oleh Amerika Syarikat serta sekutunya.

Yang nyata polisi luar Amerika Syarikat di Timur Tengah di bawah pimpinan Barrak Obama terus tidak menentu dan kehilangan arah. Mereka kini tidak lagi mempunyai sebarang kredibiliti dan wibawa bagi mengembalikan keamanan serta kestabilan di rantau ini. Polisi ‘kuku besi’ serta ‘pro Zionis’ mereka tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada Washington. Jalan keluar mereka hanyalah satu iaitu segera tidak campurtangan di Iran serta membuat penilaian kembali polisi luar mereka terhadap Islam dan negara Islam secara keseluruhannya. Sejauh mana keikhlasan jambatan persahabatan Presiden Obama yang telah dihulurkan kepada Iran serta masyarakat Islam akan terus di nantikan…

Selasa, 23 Jun 2009

USTAZ FATHI YAKAN – ULAMA TARBIYYAH TERKENAL TELAH PERGI MENINGGALKAN KITA

Saya menerima berita sedih mengenai pemergian Ustaz Dr. Fathi Yakan menerusi kiriman sms dari sahabat di Beirut pada pagi Ahad lepas. Beliau yang lahir pada tahun 1933 wafat pada usia 76 tahun setelah lama mengalami keuzuran. Beliau adalah ulamak terkenal serata dunia dan juga merupakan antara penggerak awal gerakan Islam Ikhwan Muslimin di dunia Arab. Beliau juga adalah merupakan satu-satunya pimpinan Ikhwan Muslimin yang amat rapat dengan pimpinan Pas. Dari Al-marhum Datuk Fadzil Nor kepada Dato’ Sri Haji Abdul Hadi Awang kesemuanya banyak merujuk dan menerima tunjuk ajar dari ‘Sheikhul Tarbiyyah’ yang agong ini.

Malah bagi setiap pimpinan Pas yang berkunjung ke Syria atau Lubnan tidak pernah melepaskan peluang untuk menziarahi beliau. Dari situlah kami diberi nasihat dan tunjuk ajar melalui pengalaman serta ilmu tarbiyyah dan politik yang mendalam yang ada pada beliau. Sifat rendah diri, sentiasa menghormati tetamu serta tidak pernah kedekut berkongsi ilmu dan pengalaman menjadikan hubungan kami amat rapat dengan beliau.

Sheikh Fathi juga telah beberapa kali berkunjung ke Malaysia dan menjadi tetamu khas Pas. Malah sepatutnya beliau sekali lagi menjadi tetamu Pas di Muktamar yang di adakan di Ipoh, Perak pada tahun lepas. Walaupun semua persiapan telah di buat termasuk tempahan tikat kapalterbang, namun disaat akhir saya sendiri menerima panggilan talipon dari beliau yang menyatakan keuzuran untuk bersama di Muktamar Pas.

Ya, bila disebut sahaja nama Ustaz Fathi Yakan kepada masyarakat Malaysia maka akan teringat kita kepada puluhan buku-buku yang dikarang beliau dan yang paling terkenal adalah buku Apa Ertnya Saya Menganut Islam’, ‘Islam dan Cabaran Kini’ serta ‘Tuntutan Dakwah dan Pendakwah’. Ulamak terkenal ini amat disegani dan dihormati di seluruh pelusuk dunia kerana penulisan serta pemikiran beliau yang tajam dan bersifat semasa. Beliau telah mengarang berpuluh-puluh buah kitab mengenai dakwah dan gerakan Islam dan ianya tersebar luas di serata dunia dan di terjemah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, bahasa Cina serta bahasa Tamil. Sungguh besar jasanya dalam mewarnai dunia harakah islamiyyah

Masih lagi segar di ingatan kenangan manis sewaktu saya bersama Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berkunjung ke pejabat beliau di kota Tripoli di Selatan Lubnan setahun yang lalu. Pejabat yang terletak di pinggir bandar Tripoli itu juga merupakan sebahagian daripada kampus Universiti Jinnan yang telah dibangunkan oleh beliau bersama isterinya sejak lebih daripada 15 tahun. Kini universiti Jinnan berdiri tersergam indah dan telah berjaya menghasilkan ribuan graduan dari serata pelusuk dunia. Ustaz Fathi Yakan sewaktu kami berkunjung ke pejabat beliau dikelilingi oleh ratusan kitab-kitab dan buku-buku yang ditulis serta dirujuk oleh beliau setiap waktu.

Dalam pertemuan bersama Ustaz Fathi Yakan, beliau telah mengingatkan tentang tuntutan perjuangan serta cabaran yang sedang dihadapi oleh umat Islam serta dunia Islam. Bagi Ustaz Fathi musuh-musuh Islam kini sedang meletakkan Islam ‘dikandang orang salah’ dan sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan Islam dan kebangkitannya dengan apa cara sekalipun. Bagi beliau perkembangan yang sedang berlaku kini merupakan satu cabaran yang besar yang perlu ditanggapi oleh seluruh umat Islam dengan penuh kesabaran dan berhemah. Ustaz Fathi juga mengingatkan umat islam bahawa musuh-musuh Islam tidak akan sedikitpun berdiam dengan perkembangan kesdedaran dan kebangkitan Islam yang sedang berlaku di seluruh dunia Islam. Cabaran dan kebangkitan Islam di Palestin, Iraq. Afghanistan dan seluruh dunia Islam merupakan cabaran yang besar yang perlu dihadapi dengan penuh berhati-hati.

Sementara itu semasa berbincang soal politik dalaman Lubnan Ustaz Fathi Yakan menceritakan tentang percubaan Kuasa Besar Amerika Syarikat serta sekutu terdekatnya Zionis Israel yang berusaha untuk mengujudkan ketegangan dan perpecahan berlandaskan mazhab terutama di antara kelompok penduduk Sunni dan Syiah. Namun demikian beliau menegaskan bahawa percubaan ini berjaya digagalkan kerana gerakan Islam di Lubnan telah bersatu menentang konspirasi jahat ini tanpa mengira mazhab. Beliau dengan tegas menyatakan sokongan terbuka kepada gerakan pembebasan Hizbullah yang berjuang menentang penjajahan serta kekejaman zionis Israel. Apa jua percubaan untuk memecahbelahkan umat Islam serta rakyat Lubnan akan terus disanggah oleh umat Islam Lubnan sendiri.

Bagi Ustaz Fathi, situasi di Lubnan sekarang ini berada dalam keadaan yang amat kritikal. Pergolakan politik yang berterusan terutamanya di antaranya gerakan Hizbullah dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Fuad Sinora tidak menampakkan jalan penyelesaian. Beliau mengingatkan akan bahaya campurtangan kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat, Perancis serta sekutunya dalam politik dalaman Lubnan. Apabila ditanya kenapakah beliau secara terbuka memberi sokongan kepada Hizbullah, Ustaz Fathi Yakan dengan tegas menyatakan bahawa “kita bukan berhadapan dengan soal-soal yang remeh-temeh yang boleh memecahbelahkan umat islam sendiri tetapi kita berhadapan dengan musuh yang lebih besar iaitu Amerika Syarikat dan Zionis Israel yang sentiasa melakukan kezaliman terhadap umat islam di serata dunia”. Bagi beliau Hizbullah adalah sebahagian dari perjuangan Umat Islam menentang musuh yang besar ini. Beliau juga menegaskan bahawa penyelesaian kepada konflik politik Lubnan adalah dengan tidak membenarkan penglibatan mana-mana kuasa asing luar untuk turut campurtangan dalam menentukan masa depan politik Lubnan.

Perbincangan kami juga berkisar tentang persoalan konflik dunia Islam di bumi Palestin. Ustaz Fathi menyatakan bahawa gerakan Hamas yang menang dan berkuasa secara demokrasi sehingga kini tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya oleh dunia Barat. Malah mereka terus ditekan dengan pelbagai bentuk sekatan politik dan ekonomi yang tidak berperikemanusiaan terutamanya terhadap penduduk Palestin yang menderita kekurangan makanan harian dan bahan perubatan. Begitu juga usaha yang dilakukan bagi menyatukan kepimpinan politik Palestin tanpa mengira parti dan kelompok dengan membentuk sebuah ‘kerajaan kesatuan’ masih tidak di diiktiraf oleh Kuasa Besar Barat terutamanya Amerika Syarikat dan sekutunya. Gerakan Hamas terus dilabelkan sebagai sebuah pertubuhan terroris serta pengganas walaupun mereka terlibat dan mendapat sokongan daripada rakyat melalui sistem demokrasi yang disanjung oleh kuasa barat sendiri.

Begitu juga dengan situasi terkini di Irak. Ustaz Fathi melahirkan kesedihan beliau terhadap apa yang sedang berlaku di mana setiap hari ratusan rakyat yang terbunuh secara kejam akibat daripada penjajahan tentera Amerika dan sekutunya. Yang lebih membimbangkan beliau lagi adalah usaha memecahbelahkan penduduk Iraq berlandaskan mazhab. Ini adalah diadu-dombakan dengan perancangan rapi yang dilakukan oleh penjajah Amerika Syarikat dan sekutunya Zionis Israel yang menghantar ratusan agen-agen Mossad untuk beroperasi di Irak. Ustaz Fathi Yakan dengan tegas membantah serta mengutuk keras sebarang bentuk pertembungan dan pembunuhan berlandaskan fahaman mazhab yang sempit. Bagi beliau apa yang penting bagi rakyat Iraq adalah untuk berjuang bagi menghalau tentera-tentera penjajah dari bumi mereka sendiri. Begitu juga usaha penguasaan tentera penjajah untuk membolot kekayaan hasil minyak Iraq perlu disekat dengan apa cara sekalipun. Bagi Ustaz Fathi Yakan, penyelesaian di Iraq adalah dengan mendesak tentera penjajah segera berundur dari bumi Iraq secara terhormat dan pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin masyarakat Iraq perlu kembali bersatu di atas landasan Islam yang sebenarnya.

Ustaz Fathi yakan juga menyentuh tentang konflik yang sedang berlaku di Afghanistan dan juga di Chechenya. Sehingga kini ribuan umat Islam menjadi mangsa kepada kekejaman kuasa-kuasa besar yang angkuh. Ini semua berlaku dalam suasana dunia Barat bercakap soal demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan tetapi di waktu yang sama mereka sendirilah yang sedang membunuh demokrasi di negara-negara Islam dengan melakukan pelbagai bentuk ketidakadilan dan bersikap ‘double standard’ apabila berhadapan dengan dunia islam. Ustaz Fathi mengingatkan umat Islam agar sentiasa berwaspada dengan perancangan musuh-musuh Islam ini. Mereka kini dengan begitu mudah diatas nama ‘menghapus pengganas’ dan ‘mengwujudkan keamanan’ mereka seolah-olah di beri lesen menangkap dan membunuh mana-mana individu di serata dunia.

Di akhir pertemuan, Ustaz Fathi Yakan juga mengingatkan kami akan tiga cabaran besar yang dihadapi oleh gerakan Islam di serata dunia. Pertamanya adalah cabaran dalam bentuk global di mana dunia Islam kini diserang dengan pelbagai tuduhan dan ancaman dengan meletakkan Islam dikandang orang salah. Keduanya gerakan Islam di serata dunia akan terus ditekan tanpa mengira balas kasihan walaupun mereka menyerlahkan sikap yang sederhana serta terlibat secara terbuka dalam kancah politik dan demokrasi. Ketiganya pertembungan yang sedang berlaku kini di antara gerakan Islam dan kuasa-kuasa barat bukan hanya pertembungan pemikiran tapi ianya lebih merupakan pertembungan tamadun yang amat mencabar.

Dr. Fathi Yakan juga mengingatkan agar setiap aktivis Islam sentiasa bersabar menghadapi ujian yang besar ini. Persiapan yang mendalam perlu dilakukan oleh semua aktivis Islam bagi menghadapi situasi baru ini. Bagi beliau hanya dengan keimanan yang mendalam, persiapan ilmu yang cukup serta pengorbanan yang besar sahaja yang akan menjamin kemenangan serta masa depan gerakan Islam.

Ya, kenangan bersama Ustaz Fathi Yakan masih segar diingatan kami. Saya dapat mendengar nasihat-nasihat bernas dari seorang tokoh yang disegani di serata dunia. Walaupun pada waktu itu beliau terlalu uzur tetapi masih terus bersemangat untuk berjuang menegakkan kebenaran Islam terutamanya melalui tulisan penanya yang tajam serta bernas. Inilah peribadi seorang muraabi serta sheikh tarbiyah yang dirujuk oleh seluruh dunia Islam sehingga kini. Sifat rendah diri dan tawaduknya amat jelas sehingga terkesan kepada kami sehingga kini. Semoga sheikh yang kami sayangi ini ditempatkan bersama para syuhada'. Selamat tinggal ya Sheikh…

Isnin, 1 Jun 2009

‘KEPIMPINAN ULAMAK’ – PERMATA BERHARGA DIDALAM PERJUANGAN PAS

Betapa kerdil rasanya diri ini apabila saya berkesempatan hadir di sambutan Jubli Perak ‘kepimpinan ulamak’ Pas pada minggu lepas. Programnya sarat dengan pelbagai pembentangan terutamanya tentang pengkisahan serta mengenangkan pengurbanan besar ulamak-ulamak silam Pas. Nama-nama seperti Ustaz Abu Bakar Baqir yang menubuhkan Hizbul Muslimin membawa kepada Tuan Guru Haji Ahmad Fuad, Dr. Burhanuddin Al-Hilmy, Haji Yusuf Rawa serta Datuk Fadzil Mohd Nor mengingatkan kita tentang pengorbanan besar yang telah mereka lakukan untuk perjuangan ini.

Namun bagi saya di antara nama-nama agong ulamak di dalam sejarah perjuangan Pas ini, nama Datuk Fadzil Nor yang paling dekat dengan denyutan perjuangan yang saya sendiri lalui. Kehebatan kepimpinan beliau sentiasa segar dalam minda setiap pimpinan dan ahli Pas kerana ketokohan yang ada padanya. Beliau juga telah berjaya menyediakan tapak perjuangan bagi Pas untuk berada di persada dakwah dan politik di tanahair kita.

Bagi saya, al-Marhum adalah seorang peribadi pemimpin ulamak yang menguasai konteks, realiti dan cabaran pentas perjuangannya. Ini adalah intisari kekuatan fikrah al-Marhum sebagai seorang ulamak yang sekaligus mempamerkan penguasaan kepemimpinannya. Beliau juga amat teliti menyorot setiap tindak rencana politiknya dalam menangani pergolakan politik dan persimpangan getir bagi menjamin kesinambungan perjuangan parti.

Seluruh tenaga kepimpinan Pas berjaya beliau gabungkan dengan mantap walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan displin ilmu. Malah pada tahun 1997 sewaktu saya masih lagi menjadi pensyarah di Universiti Malaya saya sendiri pernah diberi amanah besar oleh al-Marhum untuk menubuhkan serta memimpin Pusat Kajian Pas (PPP). Saya merasa bertuah mengenali dengan dekat peribadi al-Marhum sebagai seorang ulamak agong pada fasa kemuncak perjuangannya.

Malahan ‘Haibah’ atau kehebatan penguasaan fikrah al-Marhum serta kepemimpinannya amat terserlah ketika negara diancam krisis politik yang tercetus akibat pemecatan dan tangkapan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim. Begitu juga diwaktu negara dilanda kegawatan ekonomi dan krisis matawang pada tahun 1997.

Di waktu krisis kepimpinan negara yang memuncak inilah kepimpinan Al-marhum terserlah dengan hebat sekali. Al-Marhum dengan penuh keyakinan ‘ijtihad’ sebagai seorang pemimpin agong telah melebarkan lembayung kepimpinannya secara praktik. Beliau berjaya menaungi seluruh kepentingan negara dan umat dengan penuh kesabaran walaupun mendapat tentangan dari dalam parti pada tahap awalnya.

Begitu juga di tengah-tengah kegawatan ekonomi negara beliau sendiri telah mengambil inisiatif bersama-sama dengan beberapa pakar ekonomi yang menyokong Pas telah menggerakkan satu jawatankuasa khas bagi menyiapkan ‘Memorandum Penyelesaian Kemelut Ekonomi Negara’ yang bernas dengan saranan dan cadangan serta disampaikan terus kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.

Sejarah mencatat secara abadi bagaimana dibawah kepimpinan al-Marhum mencetuskan telah Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menangani kemelut politik negara. Teringat saya di waktu itu bersama saudara Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Dr. Hatta Ramli dan rakan-rakan lain telah berjaya menggerakkan seluruh parti-parti pembangkang serta NGO seperti ABIM, JIM, PUM, PKPIM, MAUFAKAT serta kalangan masyarakat Cina dan India. Bagaikan suatu mimpi besar apabila berbekalkan waktu kurang dua puluh empat jam kami telah menempa sejarah apabila berjaya menghimpunkan massa lebih dari 100,000 orang untuk berkumpul di Taman Melewar bagi membantah kepimpinan Dr. Mahathir yang rakus dengan kuasa dan bersifat ‘kuku besi’.

Natijahnya amat jelas apabila berlaku perubahan besar dalam politik negara. Pas mengambil dimensi gabungan politik pembangkang atas wadah Barisan Alternatif atau BA. Hasilnya sehingga kini, betapa kebijaksanaan tindakan al-marhum telah merubah landskap politik negara. Malah ia telah mematangkan lagi dan mengangkat keberanian rakyat untuk menentang setiap kezaliman. Bagi saya penubuhan GERAK ini cukup istimewa pada kepemimpinan politik al-Marhum.

Saya masih ingat bagaimana al-Marhum menekankan kepentingan untuk ‘bersikap terbuka’ dalam menghormati rakan-rakan dari pelbagai latarbelakang serta pertubuhan Islam lain seperti PUM, ABIM dan JIM. Tidak ada sedikitpun sikap prajudis serta keraguan beliau apabila menerima ahli-ahli dari pelbagai latarbelakang ini. Malah beliau sendiri mengambil inisiatif bagi menonjolkan beberapa pimpinan pertubuhan ini untuk bertanding atas tikat Pas pada pilihanraya 1999 dan seterusnya memegang beberapa jawatan penting dalam Pas. Tidak pernah saya mendengar ungkapan ‘musuh dalam selimut’ dari al-marhum, malah beliau mengungguli ciri kepimpinan yang sentiasa ‘berjiwa besar’ dan tidak mudah melatah.

Sukar untuk saya rumuskan. Yang nyata al marhum sebagai seorang ulamak agong tidak pernah bersifat ‘jumud’ menilai serta menafsir setiap isu yang di hadapi oleh Pas. Malah di bawah kepimpinan beliau ‘pintu ijtihad’ di buka luas dengan mengambil pendekatan politik yang ternyata membuahkan hasil bagi Pas. Al Marhum juga tidak pernah kedekut untuk berkongsi pengalaman dengan ramai kalangan golongan intelek berpendidikan barat dan sentiasa berusaha keras menggabungkan kekuatan kepimpinan Pas dari pelbagai latar belakang pendidikan serta displin ilmu sesuai dengan Pas sebagai parti dan gerakan Islam terbesar di Malaysia.

Bagi saya al-Marhum adalah sosok peribadi ulamak-profesional yang telah berjaya meletakkan Pas di persada politik negara. Al-marhum berkawan dan kenal rapat dengan siapa sahaja, dari kepimpinan tertinggi Pas kepada setiap ahli bawahan Pas tanpa sebarang tembok pemisah. Saya yakin tidak ada ahli Pas bahkan rakyat awam yang boleh 'mentajrih'nya atau mencari keburukannya cara al-Marhum melayani atau bermuamalat dengan mereka. Lazimnya, akan ada saja ingatan manis untuk dikongsi bersama tentang keistimewaan peribadi al-Marhum. Beliau bukan sahaja sebagai seorang ulamak tetapi adalah seorang 'negarawan' yang sentiasa mendepani isu kepentingan negara dan masyarakat dengan penuh prihatin.

Ya, inilah juga ‘permata berharga kepimpinan ulamak’ yang kini ada pada kedua-dua pimpinan tertinggi Pas. Murshid Am Pas, Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat terkenal sebagai ulamak yang memimpin bukan sahaja di geruni tapi di segani oleh kawan dan lawan kerana ketegasan serta sifat zuhud dan rendah diri yang sentiasa ada pada beliau. Begitu juga dengan Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga amat di segani oleh kawan dan lawan kerana kehebatan ilmu serta peribadi yang ada pada beliau. Malah gabungan kemantapan kedua-dua pimpinan agong ini telah berjaya meletakkan Pas sebagai ‘kerajaan-menanti’ (government in-waiting) di persada politik nasional.

Apa yang pasti kemantapan kepimpinan kedua-dua ulamak besar ini bersama gabungan pimpinan dari pelbagai displin ilmu dan pengalaman, Pas kini berada ditahap yang amat membanggakan. Ia terus mendapat kepercayaan serta sokongan dan dokongan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari kalangan masyarakat Cina dan India. Ya, jangan ada lagi keraguan ‘ulamak-profesional dan professional-ulamak’ di dalam menerajui saf kepimpinan Pas kerana inilah rahsia kekuatan yang ada pada Pas selama ini.

Selasa, 19 Mei 2009

KONSEP SATU MALAYSIA – IMPIAN MENYELAMATKAN UMNO/BN


Saban hari media arus perdana sering memperkatakan tentang ‘Konsep Satu Malaysia’, yang di cetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Ia kini meniti dibibir setiap pemimpin UMNO/BN di seluruh negara yang melaungkan slogan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”, Sebagai Perdana Menteri yang baru dilantik, slogan ini di utarakan kepada rakyat sebagai kesinambungan dua kepimpinan terdahulu dalam impian membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju . Malah Ia mirip seperti konsep “bersih, cekap dan amanah” yang diperjuangkan perdana menteri keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad serta slogan “cemerlang, gemilang dan terbilang” yang diperjuangkan perdana menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pelbagai kalangan masyarakat kini cuba memahami apa itu konsep Satu Malaysia yang dihasratkan oleh Perdana Menteri yang baru dilantik ini? Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri berkata bahawa ia bukan sekadar satu slogan sebaliknya merupakan suatu agenda perlaksanaan “bagi memastikan tiada golongan atau kaum yang akan terpinggir di negara ini. Ia antara lain bererti rakyat berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan keluar daripada bertindak dalam tembok etnik sekian lama di samping saling percaya dan menghormati”.

Namun bagi saya, jika diteliti secara mendalam, apa yang diamalkan oleh kedua-dua mantan perdana menteri terdahulu hanya tinggal sekadar slogan yang usang dan tidak memberi apa-apa erti kepada rakyat Malaysia. Di era pemerintahan Tun Mahathir, slogan ‘bersih cekap dan amanah’ hanya tinggal menjadi omongan kosong apabila sepanjang pemerintahan beliau sarat dengan budaya ‘kuku besi’ dan ‘authoritarian’ yang mengerikan. Hak-hak asasi rakyat terus dinafikan serta berlakunya pencabulan barleluasa dalam tiga cabang kuasa dalam sistem demokrasi iaitu sistem kehakiman yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, eksekutif yang diketuai oleh Tun mahathir dan parlimen yang sepatutnya berfungsi dan beroperasi secara berasingan dengan pengawasan dan keseimbangan antara satu sama lain. Begitu juga dengan slogan ‘“cemerlang, gemilang dan terbilang’ di era pemerintahan Tun Abdullah Badawi. Beliau di nilai oleh ramai kalangan sebagai seorang pemimpin yang terlalu lemah mentadbir, dan begitu mudah di manipulasi oleh orang disekelilingnya. Malah era pemerintahan Pak Lah di anggap ramai sebagai berstatus “kabinet kroni dan anak menantu”.

Persoalan besar di pemikiran setiap rakyat kini adalah bagaimana pula dengan pengamalan slogan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”? Bagi saya ia hanya sekadar slogan yang bersifat kosmetik semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Malah pengamalan “Satu Malaysia” adalah terlalu ampuh dan setelah didapati dukungan Cina dan India terhadap Umno-BN merosot parah, maka dikumandangkan semula slogan Satu Malaysia. Ianya tidak lebih untuk menawan hati pengusaha kaya Cina asalkan tidak menjejaskan kepentingan projek, kontrak dan habuan kroni mereka.

Yang jelas, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak beliau cuba menutup segala kelemahannya dengan satu lagi slogan kosong yang tidak akan banyak memberi erti kepada rakyat Malaysia yang dahagakan suatu transformasi dan perubahan yang menyeluruh dalam pemerintahan. Bagaimana mungkin ia terlaksana sekiranya budaya rasuah, kronisma, amalan boros dan pembaziran serta perkauman masih hidup subur dalam budayanya?

Malahan, pemimpin-pemimpin UMNO terpaksa mencerna satu lagi slogan bagi mengelirukan rakyat walhal hakikat yang dilaku adalah sebaliknya. Kalau di teliti slogan Satu Malaysia tersebut, sejak bila rakyat Malaysia didahuluka dan sejak bila pula prestasi di utamakankan oleh kerajaan UMNO/BN? Dan isu lebih mendesak dari sudut prosedur tender, ketelusan, mengelak amalan boros, rasuah dan pembaziran tidak ditangani sehingga sekarang.

Bagi saya slogannya terlalu ampuh kerana sudah sejak sekian lama pemimpin-pemimpin UMNO/BN menjadikan senjata ‘agama dan kaum’ sebagai alat utama bagi mengabui mata rakyat serta menyerang pembangkang. Malah sehingga kehari ini mesaj bersifat perkauman sempit serta usaha menakut-nakutkan kaum Cina dan India terhadap ‘bahaya agama’ yang di bawa oleh Pas terus di canang dan di propagandakan oleh pemimpin UMNO/BN.
Lihat sahajalah apa yang berlaku di Perak sebagai contoh. Bagaimana mungkin mereka melaksanakan konsep satu Malaysia apabila sentimen perkauman yang sempit terus di mainkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO bagi meraih sokongan dari kalangan masyarakat Melayu. Pas dan Dato Sri Nizar yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak difitnah sebagai “alat Cina” dengan sewenang-wenangnya tanpa mengira implikasi dan kesannya kepada perpaduan kaum yang wujud di negara kita. Begitu juga dengan perjalanan sistem kehakiman negara yang berterusan diragui oleh sebilangan masyarakat apabila adanya kess-kes berprofil tinggi telah di adili dengan cara yang amat meragukan masyarakat. Ini di tambah pula dengan kes-kes rasuah dan salahguna kuasa berstatus ‘jerung-jerung’ yang melibatkan pemimpin tertinggi UMNO/BN yang sehingga sekarang di ‘cold storage’ tanpa sebarang kesudahan. Yang nyata ‘bilis-bilis kecil’ terus menjadi mangsa kepada perjalanan sistem yang amat pincang ini.

Malah bagi saya gagasan Satu Malaysia itu akan terus dimanipulasi oleh pemimpin UMNO terutamanya bagi menjamin ‘talian hayat’ politik mereka di persada politik tanahair. Namun mereka sudah tidak dapat lari lagi dari sikap serta amalan diskriminatif serta perkauman mereka yang sememangnya wujud sejak sekian lama yang kini sedang menjerat setiap pimpinan UMNO sehinggakan mereka kehilangan kredibiliti serta keyakinan di kalangan rakyat terutamanya dari kalangan masyarata Cina dan India.

Sebaliknya Pas dan rakan-rakan Pakatan Rakyat telah dapat membuktikan semangaat kerjasama dan setiakawan yang baik tanpa mengira kaum dan agama. Bagi Pas slogan ‘Pas untuk Semua’ telah berjaya memenangi hati nurani rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan India. Mereka dapat menilai keikhlasan pemimpin-pemimpin Pas serta polisi yang dilaksanakan berlandaskan ‘keadilan Islam’ yang tidak bersifat perkauman dan sempit. Malah Pakatan Rakyat sendiri yang kini memerintah lima negeri telah dapat membuktikan pembinaan negara dengan berpaksikan kepada perpaduan dan integrasi kamu yang mantap serta kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama yang di lindungi bagi melonjakkan kemajuan negara ke era baru.

Yang penting adalah reformasi besar yang sedang ditunggu-tunggu oleh setiap warga Malaysia; kearah perubahan ketelusan dan keadilan di dalam sistem kehakiman, hak-hak asasi setiap rakyat terjamin, sistem pilihanraya yang lebih bersih dan adil serta sebuah sistem pemerintahan yang adil dan saksama berpaksikan kepada kepentingan rakyat jelata tanpa tanpa mengira status dan kedudukan. Inilah impian sebuah “Malaysia yang adil’.

Rabu, 13 Mei 2009

ULAMA DAN PROFESIONAL – POLEMIK ATAU RAHMAT?

Media arus perdana seolah-olah ‘berpesta’ sejak akhir-akhir ini apabila mereka membuat liputan meluas tentang ‘polemik’ kepimpinan Pas menjelang pemilihan parti pada muktamar Jun ini. Kehangatan ini ditambah lagi dengan penulisan di pelbagai blog yang memberikan pandangan pro dan kontra mengenai pemilihan kepimpinan Pas. Adanya gambaran seolah-olah kepimpinan Pas kini berpecah kepada dua kelompok yang saling bersaing dengan wujudnya ‘team kerajaan Unity’ yang mendokong kepimpinan ulama dan ‘team Erdogan’ yang mahukan merebut dominasi golongan profesional dalam kepimpinan Pas.

Namun saya tidak berminat untuk mengulas lebih lanjut mengenai isu ‘team kerajaan unity’ dan ‘team Erdogan’ kerana ianya telah terlalu banyak di perkatakan oleh pelbagai pihak sejak kebelakangan ini. Namun bagi saya, usaha mewujudnya kelompok dalam Pas adalah perancangan sulit dari luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan dan kemantapan yang sedia ada dalam kepimpinan Pas.

Terkini timbul pula perbincangan hangat mengenai kedudukan ulama dan golongan profesional didalam Pas. Timbul perbahasan mengenai siapa yang lebih layak memimpin Pas dari kedua-dua kelompok kepimpinan ini. Ada yang menyatakan ulama lebih layak memimpin Pas sesuai dengan kedudukan dan martabat yang ada pada mereka. Begitu juga ada yang memberi pandangan bahawa institusi ulama didalam Pas mesti diperkasakan dengan lebih mantap lagi sesuai dengan perkembangan politik tanahair terkini.
Bagi saya berbeza pandangan atau pendapat didalam membincangkan persoalan kepimpinan ulama dan profesional tidak menjadi sebarang masalah kerana sejak sekian lama kekuatan Pas adalah terbina dari gabungan kemantapan kedua-dua kelompok ini. Cuma yang amat tidak sihat adalah apabila adanya unsur luar yang cuba mengheret kepimpinan Pas kedalam kancah polemik yang tidak menguntungkan ini.

Bukankah kekuatan Pas selama ini adalah hasil dari gabungan mantap daripada kalangan pimpinan ulama, profesional, intelektual dan para aktivis parti yang sangat dekat dengan rakyat? Malah mereka dipilih untuk memimpin Pas di segenap peringkat sehingga kepad kepimpinan tertinggi melalui pelbagai proses yang paling demokratik dan akhirnya disaring dan diluluskan oleh Majlis Syura' Ulama Pas sendiri.

Apa yang jelas, dari sudut sejarah perjuangan Pas, ia tidak pernah meminggirkan kedua-dua kelompok ini. Malah sejak sekian lama mereka inilah yang menjadi tunjang dan nadi kekuatan Pas. Pemimpin bertaraf ulama amat diperlukan untuk memimpin sebuah parti yang memperjuangkan Islam seperti Pas tetapi pada masa yang sama Pas juga tidak pernah menafikan kebolehan dan kapasiti pemimpin lain yang bukan terdiri dari kalangan ulama.

Justeru itu Pas jauh berbeza daripada organisasi dan parti lain termasuk UMNO kerana Pas adalah ‘terbuka’ dan tidak menetapkan golongan mana berhak menerajui kepimpinan tertinggi sama ada ulama atau professional asalkan ia memenuhi cirri-ciri kepimpinan Islam yang di perjuangkan oleh Pas.

Begitu juga dengan keyakinan rakyat kini untuk berpayung dibawah Pas sebagai wadah alternatif kepada UMNO/BN. Mereka yakin dengan ‘keterbukaan Pas’ yang telah menyediakan kesempatan dan peluang luas untuk mereka merialisasikan cita-cita perjuangan mereka khususnya untuk membela Islam dan menegakkan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Ini ditambah lagi disaat rakyat sedang melalui suatu anjakan perubahan minda dalam menilai cirri-ciri kepimpinan negara. Sokongan yang diterima adalah akibat dari keyakinan rakyat bahawa kepimpinan Pas adalah berwibawa, dan bersih. Lebih membanggakan lagi apabila Pas telah berjaya menawarkan ramai pimpinannya yang berwibawa, berilmu dan bersifat amanah. Malahan kehebatan pimpinan Pas jauh mengatasi pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang dinilai rakyat sebagai tidak berwibawa, bergelumang dengan rasuah dan tidak bersih.

Bagi saya sokongan setiap ahli Pas kepada kedua-dua kelompok pemimpin utama parti samada dari kalangan ulama ataupun profesional tidak sesekali akan mewujudkan pengaruh yang berbeza-beza. Malahan setiap ahli Pas mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama sesuai dengan perjuangan Pas yang berteraskan Islam dan keadilan sejagat.
Malah hasil tarbiyah berterusan yang ditekankan oleh para ulama Pas selama ini yang menitikberatkan mengenai akhlak, ilmu, ketrampilan sebagai pemimpin Islam, cerdas dan dinamik. Jelas kesan dari pentarbiyahan ini telah menghasilkan kepimpinan Pas yang berkualiti tinggi dipelbagai peringkat. Malahan hampir semuanya pimpinan Pas adalah lulusan universiti dalam dan luar negara. Kebanyakan mereka fasih bertutur dalam bahasa Arab dan Inggeris, berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan ilmu-ilmu pemerintahan lain.

Begitu juga sumbangan golongan intelek professional didalam Pas. Pimpinan Pas kini kebanyakannya ‘celik IT’ dan mampu menguasai bidang IT, mempunyai bacaan yang luas dan terdedah di peringkat nasional dan internasional. Di samping itu mereka banyak terlibat dengan kerja kemasyarakat dan kemanusiaan seperti membantu umat islam di Palestin, menghantar pasukan perubatan membantu mangsa tsunami, banjir besar, kebakaran, kemarau dan pelbagai misi kemanusiaan lagi di segenap pelusuk negara.
Yang jelas kekuatan Pas pada hari ini adalah lahir melalui gabungan yang wujud diantara para ulama dan profesional. Dengan terlaksananya gabungan mantap ulama dan profesional dalam Pas, tidak ada satu parti politik pun di Malaysia yang boleh menandingi kekuatan PAS. Malahan gabungan kerjasama erat yang wujud inilah yang menjadi ‘ramuan’ utama PAS terus kekal kuat dan dekat dihati rakyat Malaysia sehingga kini.

Jangan disis-siakan pengurbanan besar serta laluan yang telah di buka luas oleh Al Marhum Dato Fadzil Nor, mantan Presiden Pas. Bagi saya al-Marhum adalah sosok peribadi pemimpin yang menguasai konteks, realiti dan cabaran pentas perjuangannya. Gabungan antara ulama dan professional didalam Pas telah berjaya dimantapkan bersesuaian dengan kedudukan dan bidang yang dikuasai oleh masing-masing tanpa sebaran perasaan prasangka buruk.

Inilah intisari kekuatan fikrah al-Marhum yang di bina didalam Pas. Beliau telah mempamerkan penguasaan kepemimpinannya, mempengaruhi setiap tindak rencana politiknya dalam menangani setiap pergolakan politik dan persimpangan getir dalam kesinambungan perjuangan parti. Ketelitian fikrahnya juga dapat saya rasakan sehingga kini. Setiap ahli dan penyokong Pas semestinya berbangga dengan penerokaan Al marhum Dato Fadzil Nor yang telah berjaya memecahkan segala tembok tebal yang terbina sejak sekian lama dan meletakkan Pas terus gah tertegak dan berkembang di bumi Malaysia sehingga kini.

Jumaat, 1 Mei 2009

KEPIMPINAN Pas - 'kumpulan ulama' Vs.'kumpulan Erdogan'?



Membaca pelbagai penulisan serta ‘analisa politik dalaman Pas’ yang begitu rancak di sebarkan di media perdana sejak beberapa hari lalu amat menarik untuk di ulas. Ini ditambah pula dengan kerancakan mesyuarat kawasan-kawasan Pas yang sedang berlangsung di seluruh negara. Pokok utama perbincangan adalah mengenai pemilihan pucuk pimpinan parti yang bakal menerajui pimpinan Pas menjelang muktamar Pas yang ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada awal Jun ini.

Gambaran yang di paparkan adalah pertarungan sebenar aliran-aliran utama di dalam Pas, khususnya golongan pro-muzakarah yang di labelkan sebagai ‘kumpulan ulama’ dan pro-Pakatan Rakyat yang di labelkan sebagai ‘kumpulan Erdogan’. Isu ini kian hangat diperkatakan apabila adanya bererapa pertandingan di peringkat kawasan serta pencalonan untuk menerajui jawatan tertinggi didalam Pas.

Dua persoalan utama yang sering di perdebatkan serta dilemparkan kepada umum adalah; pertamanya, apakah Pas telah menggadaikan prinsip perjuangannya setelah menjalinkan kerjasama di dalam Pakatan bersama PKR dan DAP? Dan keduanya, apakah benar-benar wujud golongan pro-muzakarah yang di labelkan sebagai ‘kumpulan ulama’ dan pro-Pakatan Rakyat yang di labelkan sebagai ‘kumpulan Erdogan’ ?

Namun saya lebih berminat untuk mengulas kenyataan dua orang ‘tokoh akademik’ yang bergelar Profesor yang sering di beri liputan meluas untuk menyerang Pas terutama di saat adanya pilihanraya Umum, pilihanraya kecil maupun pemilihan parti Pas. Saya ingin merujuk kenyataan Prof. Dato' Dr. Zainal Kling, mantan pensyarah Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya dan Prof. Dr. Mohamad Mustafa, pensyarah Undang-undang dan Sains Politik Universiti Utara Malaysia yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian minggu lepas.

Pertamanya Dr. Zainal Kling, seorang profesor yang terkenal dengan sikap ultra nasionalis serta sentiasa dilihat sebagai pembela Melayu/UMNO sejak sekian lama beliau menjadi pensyarah di Univeristi Malaya lagi. Beliau menyatakan bahawa keadaan kontradiksi antara dua puak didalam Pas iaitu golongan ulama dan golongan professional menjadikan suasana dalaman Pas sentiasa ‘tegang’ demi memenuhi cita-cita masing-masing.

Beliau menambah lagi bahawa “Pas terpaksa berlagak sekular dengan mengenepikan ideologi ketuhanan dalam Islam. Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah akui akan kerjasama dengan syaitan. Ini dapat di buktikan dengan jelas. Pas tidak lagi bercakap tentang negara islam tetapi hanya mempertahankan gagasan kemanusiaan dan kebajikan”.

Bagi beliau disebabkan pertentangan dalaman ini, Pas terpaksa berhadapan dengan tuduhan ‘hamba kepada idealogi sekular’ di semping terpaksa berkorban untuk mencairkan ideology Islam pada asalnya. Malah beliau menyatakan lagi bahawa; “Jika golongan ulama gagal menerajui kepimpinan tertinggi Pas bermakna ia akan merubah parti tersebut menjadi semakin secular. Pas juga akan dilihat sebagai sebuah parti ‘pelakon politik’ yang menggunakan islam sahaja”.

Manakala pandangan seorang lagi pensyarah, Dr. Mohamad Mustafa seorang profesor Undang-undang dan Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) juga dirujuk. Beliau juga terkenal sebagai seorang penganalisis politik tanahair yang lebih barsifat menjadi pembela Melayu/UMNO. Beliau menyatakan bahawa Pas akan mudah mengikut telunjuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) satelah kumpulan yang menyokong Datuk Sri Anwar Ibrahim berjaya menyingkirkan kumpulan Presidan Pas Datuk Sri Abdul Hadi Awang. Tambahnya lagi kewujudan puak yang menyokong Anwar ini akan menyebabkan Pas terbahagi kepada dua kumpulan dan berpuak-puak.

Malah beliau menyatakan bahawa; “mereka (PKR) telahpun menguasai Mursyidul Am Pas, Datuk Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan akan menjatuhkan Hadi Awang dan Timbalannya Nasharuddin Mat Isa kerana tidak bersependapat dalam isu gabungan Pas-UMNO pada Muktamar nanti. Tujuan utama golongan tersebut adalah untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat antara Pas dan PKR, golongan itu berusaha untuk menguasai Pas demi kepentingan PKR dan seterusnya menuruti telunjuk PKR”.

Bagi saya adalah tidak mengejutkan sama sekali apabila kenyataan terbuka Datuk Dr. Zainal Kling seakan-akan senada dengan Dr. Mohamad Mustafa terhadap Pas. Bagi saya, memberi pendapat kedua-dua tokoh akademik pro-UMNO ini adalah lebih berbentuk kecaman negatif terhadap Pas. Adalah tidak sedikitpun menghairankan kerana mereka ini sudah sejak sekian lama membuat pelbagai ‘analisa akademik’ (?) dan melihat peranan Pas di dalam kancah politik tanahair dengan penuh sinis dan negatif. Kedua-duanya terkenal dengan sikap ‘ultra nasionalis’ dan sentiasa berpandangan ‘pro-UMNO’ hatta di dalam kajian akademik mereka sendiri.
Namum bagi saya adalah amat memualkan apabila kedua-duanya ada bergelar profesor boleh membuat kenyataan sedemikian rupa. Di manakah etika akademik yang mereka pakai apabila pandangan mereka ini lebih berbentuk ‘emosi kebencian’ terhadap Pas, begitu cetek dan tidak mempunyai daya akademik (scholarly) langsung. Apakah mereka mahu meletakkan daya pemikiran politik mereka setaraf dengan JKKK kampong dan tidak di hormati oleh masyarakat umum?

Amat malang jika seseorang profesor masih dalam kotak pemikiran lamanya mengenai perkembang semasa dan gagal memahami perubahan politik tanahair. Terlalu dangkal daya pemikiran Dr. Zainal Kling apabila menyatakan bahawa
Maka terfikir juga saya di manakah daya pemikiran mahasiswa yang mereka pimpin di menara gading selama ini yang sejak sekian lama di kongkong bagaikan anak-anak sekolah oleh AUKU dan pentadbir Universiti sendiri?

Yang nyata, Pas bukan sebuah parti politik murahan yang boleh diperkudakan oleh mana-mana pihak. Pas mempunyai organisasinya yang tersendiri dan setiap kepimpinan perlu patuh kepada displin dan adab-adab parti. Tidak timbul soal golongan pro-muzakarah yang di labelkan sebagai ‘kumpulan ulama’ dan pro-Pakatan Rakyat yang di labelkan sebagai ‘kumpulan Erdogan’.

Isnin, 20 April 2009

KEMELUT KEPIMPINAN TERENGGANU – KEMBALIKAN MANDAT KEPADA RAKYAT

KEMELUT KEPIMPINAN TERENGGANU – KEMBALIKAN MANDAT KEPADA RAKYAT
– Oleh Dr. Syed Azman Syed Ahmad – AJK Pas Pusat & ADUN Batu Buruk
Kemelut kepimpinan politik Terengganu mencapai kemuncaknya apabila buat kali pertama dalam sejarah negeri ‘Penyu bertelur’ itu sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak ‘secara berani’ memulaukan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Pemulauan ini dilihat oleh ramai kalangan sebagai mengenakan ‘tekanan’ dan ‘perang psykologi’ bagi memaksa Menteri Besar Trengganu Datuk Ahmad Said meletakkan jawatan seberapa segera.
Ahmad Said yang dilantik mengetuai kerajaan negeri dalam suasana penuh ‘drama dan kontroversi’ pada Mac 2008 kini berhadapa dengan ‘krisis keyakinan’ yang amat parah. Beliau dilihat telah hilang kepercayaan dari kalangan majoriti Adun UMNO serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Lebih parah lagi di bawah kepimpinan beliau di lihat bagaikan ‘memikul biawah hidup’ dan berhadapan dengan kepimpinan kerajaan negeri yang diibaratkan ‘bagaikan duri dalam daging’.
Mereka yang bertindak tidak hadir hari ini ialah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Wan Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).
Tindakan mereka pada umumnya dilihat mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh Adun Permaisuri, Paka dan Ajil berhubung kemelut politik dalaman negeri. Isu itu dipercayai berlaku selepas Menteri Besar membuat kenyataan untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat mana-mana Adun BN sekiranya mereka membentangkan usul undi tidak percaya terhadap beliau.
Namun di sebalik isu ‘SMS ugutan’ tersebut, dikalangan pimpinan UMNO dan pegawai-pegawai kerajaan mereka melihat isu ‘kegagalan’ Ahmad Said menerajui kepimpinan kerajaan negeri dengan baik sebagai punca utama. Beliau di lihat telah hilang kepercayaan kebanyakan ahli-ahli UMNO sendiri, pegawai-pegawai kerajaan serta rakyat jelata. Antara ‘isu panas’ yang kini menjadi perbualan hangat ramai kaalangan pimpinan UMNO sendiri di bawah pentadbiran beliau adalah;
1. Melantik mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengetuai beberapa agensi kerajaan negeri, termasuk Terengganu Inc.
2. Memecat pegawai dan tokoh politik dalam era pentadbiran Datuk Idris Jusuh termasuklah ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Terengganu (TDI) Dr Azmi Omar, dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan negeri Terengganu Inc. Datuk Seri Azlan Hashim dan Tan Sri Razali Ismail dengan alasan berlakunya penyelewengan dan salahguna kuasa.
3. Tidak melantik Adun sebagai pengarah penyelaras Dun dan semua peruntukan di salurkan melalui penyelaras yang dilantik atau Ketua bahagian yang dilihat menyokong Ahmad Said.
4. Jawatan senator diberi kepada ketua-ketua Wanita Umno yang menjadi kroni tetapi tidak mempunyai wibawa langsung serta tidak lagi mampu menyumbang kepada pembanguunan negeri.
5. Memecat Pengarah eksekutif Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, pengurus besar Kemaman Supply Base (KSB), dan pengurus besar Konsortium Pelabuhan Kemaman tanpa alasan yang kukuh serta mengheret kes ini ke mahkamah.
6. Membahagi-bahagikan ribuan ekar kawasan pembalakan kepada kroni tanpa pemberian tender yang telus
7. Menangguhkan banyak mesyuarat exco dan mengenepikan pandangan kebanyakan exco yang di lantik
8.Melantik dua bekas guru sekolah rendah untuk memimpin Unit Terengganu Bestari (U-Best) dan KMC yang dianggap "tidak tepat" dan boleh menjejaskan reputasi kerajaan negeri
9.Membuat pertukaran besar-besaran serta menurunkan pangkat 67 orang para pegawai tadbir kerajaan negeri pada Disember 2008.
Namun apa jua hujah dan alasan yang di berikan di atas, tindakan kesemua adun-adun UMNO yang memboikot sidang Dun telah menjejas serta mencemar kesucian Dewan undangan Negeri, Dari kacamata rakyat umum di Terengganyu, ianya juga telah menjejaskan kedudukan serta reputasi UMNO sebagai tonggak kerajaan negeri Darul Iman. Kredibiliti serta keyakina terhadap kepimpinan Ahmad Said sebagai menteri Besar juga dilihat terjejas teruk di kalangan rakyat jelata.
Begitu juga di sepanjang sidang Dun pada kali ini. Ianya agak tidak konstruktif dan boleh menjejaskan kredibiliti Dun;

i. Ucapan menyokong menjunjung kasih terhadap yang Teramat Mulia Tengku Sri Panglima Raja hanya di sertai oleh seorang Adun Umno dan dilihat berucap dengan begitu hambar. Sebaliknya kesemua lapan Adun dari Pas telah mengambil bahagian berucap dengan bernas tanpa sebarang gangguan.

ii. Hampir tiada satu pun soalan lisan dan bertulis yang di kemukakan oleh adun-adun UMNO/BN sedangkan kelapan-lapan Adun Pas mengemukan soalan penuh sepanjang sidang.

iii. Jawapan-jawapan lisan yang di kemukakan oleh adun-adun Pas dijawab oleh sebahagian exco kerajaan negeri bagaikan ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja

Trend politik ‘perebutan kuasa’ dan ‘perpecahan dalaman UMNO’ yang sedang berlaku ini amat merugikan rakyat Terengganu. Rakyat Terengganu seolah-oleh telah di heret bersama didalam kancah yang tidak berkesudahan ini. Bagi saya, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said tidak mempunyai pilihan kecuali melaksanakan tiga langkah berikut;
a. Terus memimpin kerajaan negeri dan bersedia menghadapi apa jua kemelut yang akan di hadapi beliau serta tekanan dari Adun-Adun Umno sendiri termasuk kemungkinan usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

b. Meletakkan jawatan seberapa segera dan diganti oleh mana-mana Adun lain yang mendapat sokongan dan mandat majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

c. membubarkan Dewan Undangan Negeri Terengganu seberapa segera bagi mengembalikan mandat kepada rakyat Terengganu membuat pilihan untuk menentukan siapa yang paling layak menerajui tapuk pimpinan negeri

Namun bagi saya, langkah ketiga adalah jalan penyelesaian terbaik bagi merungkai kekusutan kemelut politik Terengganu. Ahmad said sebagai Menteri Besar harus ‘berjiwa besar’ dengan mengambil tindakan pro-aktif bagi membubarkan DUN seberapa segera sebelum berlaku krisis yang lebih kronik yang melibatkan perlembagaan sebagaimana yang dihadapi oleh negeri Perak.
Saya yakin Ahmad Said akan dipuji dan dikenang oleh rakyat Terengganu sekiranya beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dengan membubarkan DUN dan mengembalikan mandat kepada rakyat menentukan kepimpinan serta halatuju negeri Terengganu Darul Iman ini. Sekiranya Ahmad Said berjiwa besar untuk melakukan sedemikian, penyu di Terengganu tidak akan menangis lagi…