Khamis, 22 Januari 2009

Rakyat Malaysia di Dubai derma RM50 ribu untuk Palestin


HarakahdailyWed | Jan 21, 09 | 3:28:08 pm MYT- DUBAI, 21 Jan (Hrkh) - Kempen kesedaran isu Palestin dan kekejaman regim Israel seperti yang berlaku di Gaza berjaya menarik perhatian bukan sahaja penduduk Malaysia malah meliputi juga rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.Kempen tersebut juga meletakkan matlamat untuk memastikan apa jua kutipan yang diberikan oleh rakyat Malaysia benar-benar sampai kepada saluran perjuangan Islam yang amat memerlukannya pada masa ini.

Ini terbukti dengan kejayaan program khas yang dianjurkan oleh pertubuhan yang mengumpulkan penduduk Malaysia yang bekerja di Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang dikenali Persatuan MyUAE-Pro dengan kerjasama Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) yang berjaya mengumpulkan dana berjumlah hampir RM50 ribu hasil sumbangan rakyat yang berada di Dubai 19 Januari lalu.

Program tersebut berjaya dianjurkan dengan kehadiran Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Syed Nawawi dan juga wakil Muslim Care Malaysian Society (Muslim Care), Ahmad Sayuti Bashiron.

Kunjungan itu adalah sebahagian daripada aktiviti yang diatur sepanjang program perjumpaan mereka bersama pimpinan Hamas disamping menyerahkan secara terus semua dana kutipan yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada tangan pejuang Islam di dalam negara bergolak tersebut.

Dalam ucapan tersebut, Syed Azman menekankan bahawa adalah menjadi suatu kewajipan secara peribadi ke atas setiap umat Islam di mana sahaja untuk turut melakukan apa jua sumbangan yang termampu demi membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin. "Matlamatnya kelak yang mesti do'akan adalah untuk seluruh ummat Islam dapat menunaikan solah berjamaah di Masjidil Aqsa sama seperti mereka melaksanakannya di dua buah lagi Masjid Suci yang lain", tegas beliau di majlis tersebut.

Beliau turut menekankan hikmah dengan isu kezaliman 3 minggu Israel mengempur Gaza ini telah membuka mata rakyat seluruh dunia yang selama ini amat lalai terhadap penjenayah sebenar dunia yang masih bermaharajalela walau sudah 60 tahun perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin telah dilancarkan.

Sumbangan daripada MyUAE-Pro turut diserahkan melalui Presidennya, Ariffin Mamat kepada Syed Aman dan Muslim Care selepas taklimat yang dihadiri hampir 50 rakyat Malaysia tersebut.

Dalam ucapannya Ariffin menegaskan bahawa sessi penerangan secara khusus seperti ini amat penting bagi mereka terutama rakyat yang bekerja di negara Arab yang langsung tidak bersungguh menangani isu Palestin dan ummat Islam seperti di sini.

Melalui MyUAE beliau juga mengambil initiatif malakukan kutipan dana untuk Palestin ketika perhimpunan tahunan My-UAE serta hari keluarga yang diadakan pada 1 Januari 2009 baru-baru ini dengan melancarkan tabung khas dana Palestin tersebut. - mr_

Rabu, 21 Januari 2009

Misi bantuan ke Gaza

Dr. Syed Azman kini berada di Timur Tengah dengan sepasukan unit dari NGO/PAS dalam siri lawatan ke Dubai dan Syria sebagai sebahagian dari misi untuk menyampaikan bantuan kewangan segera kepada penduduk Gaza. InsyaAllah, beliau akan pulang dalam masa 10 hari.

Sabtu, 10 Januari 2009

Bersama doakan kemenangan perjuangan rakyat Palestin - Dr Syed Azman

HARAKAHDAILY, KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Hrkh) - Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan kemenangan perjuangan rakyat Palestin yang kini sedang dihimpit kekejaman rejim Zionis.Beliau yang berceramah di Kampung Kuala Bekah dekat sini malam tadi menegaskan, kegilaan rejim Zionis membedil rakyat Palestin di Gaza membungkam kebencian seluruh masyarakat dunia.

Namun, pihak-pihak berkuasa dunia termasuk PBB, OIC dan Liga Arab seolah-olah tidak bermaya untuk menentang kezaliman tentera Yahudi hingga menyebabkan ratusan nyawa rakyat Palestin terkorban, katanya.

Syed Azman menyatakan rasa kesal dengan sikap pertubuhan-pertubuhan dunia tersebut yang sebenarnya takut kepada Amerika Syarikat yang menyokong kuat Israel.

"Saya menyeru rakyat Malaysia agar bermunajat dan berdoa kepada Allah supaya memberikan pertolongan kepada saudara-saudara kita di Palestin," katanya.

Sementara itu, khutbah yang dibacakan khatib di beberapa buah masjid sekitar Parlimen Kuala Terengganu semalam banyak berkisarkan isu di Palestin.

Khatib-khatib turut mengingatkan sidang jemaah agar meneruskan solat hajat dan mengeluarkan bantuan kepada rakyat Palestin melalui tabung-tabung yang disediakan oleh pertubuhan-pertubuhan di negara ini.

Siri-siri solat hajat juga diteruskan di setiap masjid dan surau di sini sejurus selepas solat Jumaat.Poster-poster kempen calon PAS turut memuatkan isu-su kekejaman Israel di Palestin. - mks.

Sumbangan boleh dibuat menerusi tabung Palestin PAS,
Maybank Berhad
564070703248

Rakyat KT tidak akan termakan 'gula-gula' BN - Syed Azman

HARAKAHDAILY, WAKAF MEMPELAM, 10 Jan (Hrkh) - Rakyat atau lebih khusus pengundi di Parlimen Kuala Terengganu tidak akan termakan dengan 'gula-gula' yang dijanjikan Umno/BN dalam kempen pilihan raya kecil di sini.Demikian kata Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dalam satu ceramahnya di Kampung Kuala Bekah malam tadi.

Turut hadir ialah, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman; Exco Kedah, Dr Ismail Salleh dan Adun Seri Setia, Nik Nazmi (KeADILan).

"Rakyat di sini sudah matang dan tahu permainan yang dilakukan Umno/BN ini.Mereka hanya mahu menipu rakyat dengan janji-janji mereka, sedangkan selepas pilihan raya mereka akan hilang entah ke mana," kata beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Sebelum ini ketika PAS memerintah Terengganu, wang royalti minyak dirompak oleh kerajaan Pusat, katanya.

Sebaliknya selepas BN memerintah semula Terengganu, wang tersebut diberi semula namun begitupun rakyat di sini tidak mendapat faedahnya, kata beliau.

"Rakyat Terengganu terus miskin sedangkan pemimpin BN kaya raya," katanya.

Beliau yakin, rakyat di sini boleh menilai prestasi buruk yang ditunjukkan kerajaan negeri selain calon BN yang jarang sekali turun padang melihat kesengsaraan rakyat.

Baginya, apa sahaja yang ditabur termasuk janji wang, projek dan kemudahan sudah tidak termakan oleh pengundi di Kuala Terengganu.

Sebaliknya, rakyat di sini sudah muak ditipu oleh BN di setiap kali pilihan raya berlangsung, katanya.

"Rakyat di sini tidak laparkan wang ringgit dan janji projek, tetapi mereka mahukan perubahan kerana berasa semakit terhimpit di bawah pemerintahan BN," katanya.

Beliau yakin pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini akan dimenangi calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan seterusnya akan mewakili suara rakyat di sini.

Rakyat di sini juga tidak akan termakan dengan janji Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyatakan akan melantik calon BN, Dato' Wan Farid Wan Saleh sebagai Timbalan Menteri jika menang, katanya.

Sebaliknya rakyat di sini mahu kesejahteraan hidup dan seorang wakil rakyat yang benar-benar dekat kepada rakyat, katanya.

Sehubungan itu PAS menyertai pilihan raya kali ini untuk menghantar seorang lagi wakil ke Parlimen untuk menyuarakan hak rakyat, katanya.

Sejurus selepas ucapan Syed Azman itu, Presiden PAS telah dijemput untuk menerima penyerahan borang pembukaan cawangan baru di Kampung Kuala Bekah.

Kira-kira 100 penduduk kampung menghadiri ceramah sempena majlis penyerahan borang penubuhan cawangan baru tersebut.

Pada masa yang sama, kira-kira 50 orang anggota polis ditempatkan semasa ceramah tersebut berlangsung.

Berikutan kehadiran ramai anggota polis di hadapan tempat ceramah tersebut, jalan agak sesak, malah beberapa orang penduduk melahirkan rasa kesal dengan kehadiran terlalu ramai polis di kawasan mereka. - wann/mks. _

Isnin, 5 Januari 2009

Selamatkan Al-Aqsa. Selamatkan Palestin. Selamatkan Islam.

Bismillahirrahmanirrahim.
Marilah kita sama-sama berdoa untuk saudara-saudara kita di seluruh dunia, terutamanya di bumi Palestin yang kini sedang dibedil dengan kejam oleh tentera rejim zionis. Bumi dimana terdapatnya kiblat pertama umat islam, Masjidil Al-Aqsa. Berdoalah dan sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka tiap-tiap kali selepas solat dan apabila berkesempatan. Inilah perkara paling kurang yang kita mampu lakukan. Teruskan perjuangan menegakkan syiar islam. Semoga Allah melindungi mereka dan memberikan kemenangan kepada islam.

Sumbangan boleh dibuat menerusi tabung Palestin PAS,
MayBank Berhad
564070703248